Bursa Sosial Pertama Malaysia Perkukuh Akses Kepada Pembiayaan Impak Sosial

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh ekosistem impak sosial negara menerusi pelancaran rasmi Bursa Sosial.

Majlis tersebut menyaksikan pelancaran logo rasmi Bursa Sosial serta pengenalan kepada Impakrintas, platform Bursa Sosial pertama di Malaysia.

Inisiatif ini mengukuhkan komitmen SC dalam memperluas akses kepada pembiayaan berimpak sosial, sejajar dengan keutamaan negara yang termasuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Beroperasi sejak 19 Februari 2026, Impakrintas menyediakan saluran yang dikawal selia dan telus bagi membolehkan pertubuhan bukan untung (NPO) mengumpul sumbangan untuk projek berimpak sosial yang layak. Platform ini juga memberi keterlihatan yang lebih baik kepada penderma individu dan korporat bagi projek berimpak sosial, sekaligus memudah cara peluang pembiayaan.

Sehingga kini, platform tersebut telah menerima penyertaan sebanyak lapan NPO merangkumi pelbagai bidang impak sosial, termasuk akses kepada penjagaan kesihatan, program intervensi awal dan pendidikan kesihatan untuk golongan belia, keterjaminan makanan, mata pencarian inklusif serta kelestarian alam sekitar.

Projek-projek impak sosial ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan golongan rentan di seluruh Malaysia.

Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan komitmen daripada tiga badan korporat[1]  berjumlah keseluruhan sebanyak RM60,000. Ini mencerminkan minat yang semakin meningkat daripada sektor swasta untuk menyokong projek berimpak sosial yang layak melalui Bursa Sosial.

Inisiatif ini merupakan antara hasil utama di bawah Teras Kelestarian Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP), yang bertujuan memperluas akses kepada pembiayaan impak sosial. Ia mencerminkan pendekatan seluruh negara dalam memperkukuh daya tahan ekonomi melalui kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta.

Bagi menyokong NPO yang menyertai platform Bursa Sosial, Kerajaan telah memperuntukkan geran berjumlah RM2 juta yang akan ditadbir oleh SC untuk membantu menampung sebahagian kos penyertaan dan pengumpulan dana bagi NPO yang layak.

Langkah ini bertujuan mengurangkan halangan penyertaan serta membolehkan NPO memberi tumpuan kepada penyampaian hasil impak sosial yang bermakna.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, sambutan awal yang menggalakkan terhadap Bursa Sosial membuktikan peranan pasaran modal dalam menyokong agenda impak sosial dengan menghubungkan pembiayaan kepada keperluan sosial sebenar.

“Bursa Sosial merupakan platform yang mempertemukan modal dengan nilai kemanusiaan. Dengan menyediakan ekosistem yang dikawal selia dan telus, kami bukan sahaja memudah cara sumbangan, malah turut membina keyakinan dan kepercayaan.

“Platform ini memastikan setiap ringgit dapat dijejaki penggunaannya dan setiap projek menghasilkan pulangan sosial yang bermakna. Pada masa yang sama, geran RM2 juta ini akan menjadi pemangkin kepada NPO untuk terus menjana impak sosial yang signifikan. “Melangkah ke hadapan, Bursa Sosial akan diperluaskan secara berperingkat untuk melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan, termasuk perusahaan sosial dan inisiatif berasaskan komuniti, sambil meneroka lebih banyak mekanisme berasaskan pasaran yang dapat menyokong hasil sosial dan daya tahan iklim,” katanya.

Sumbangan yang dibuat melalui Bursa Sosial layak menerima layanan cukai di bawah subseksyen 44(6) dan perenggan 13(1), Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967, sekaligus memberi manfaat kepada NPO yang mengumpul dana serta penderma yang menyokong projek impak sosial yang disenaraikan di platform Bursa Sosial.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.sc.com.my/development/social-exchange atau https://impakrintas.com. 

Maklumat lanjut mengenai geran, termasuk kriteria kelayakan dan proses permohonan, boleh didapati di https://www.sc.com.my/development/social-exchange/incentivesavailable.


[1] Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia masing-masing menyumbang sebanyak RM30,000 dan RM25,000 kepada YOKUK Foundation. Selain itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI).

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.