IHH Healthcare Terus Perkukuh Perjalanan Transformasi Pada FY2025; Semua Resolusi Diluluskan Pada AGM Ke-16

“FY2025 merupakan tahun pelaksanaan yang berdisiplin, di mana Kumpulan memperkukuh teras perniagaannya, memperdalam keupayaan klinikal dan terus memberikan nilai kepada para pemegang taruh kami. Bayaran dividen yang lebih tinggi bagi FY2025 mencerminkan komitmen kami untuk berkongsi kemajuan IHH dengan para pemegang saham, sambil mengekalkan kekuatan kewangan untuk mencapai Strategi 2030 kami.” — Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani bin N Hassan Thani, Pengerusi Bukan Eksekutif, IHH Healthcare

“Kami menunjukkan kekuatan rangkaian bersepadu dan pelbagai IHH pada FY2025 dengan mencatat pertumbuhan kukuh, sambil memperluas kapasiti, memajukan kepimpinan klinikal dan memperkukuh inovasi untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit. Ketika kami memacu transformasi berbilang tahun ini, kami akan memperkasakan tenaga kerja kami dengan produktiviti berasaskan teknologi bagi mencapai ROE dua digit menjelang 2028 — dan yang paling penting — mencipta nilai mampan untuk pesakit, rakan kongsi dan pemegang saham kami.” — Dr Prem Kumar Nair, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, IHH Healthcare

MALAYSIA – IHH Healthcare (“IHH” atau “Kumpulan”), penyedia penjagaan kesihatan multinasional terkemuka, hari ini mengalu-alukan kehadiran para pemegang saham ke Mesyuarat Agung Tahunan (“AGM”) ke-16 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Diadakan secara hibrid di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur dan menerusi penstriman langsung, para pemegang saham dan proksi meluluskan kesemua 10 resolusi biasa yang dibentangkan, termasuk pemilihan semula para pengarah, pelantikan semula KPMG sebagai juruaudit, dan pembaharuan kuasa pembelian semula saham Kumpulan.

FY2025: Prestasi teras kukuh sokong dividen lebih tinggi; berada di landasan capai pulangan atas ekuiti dua digit menjelang 2028

IHH mencatat pertumbuhan asas yang kukuh pada FY2025. Hasil teras meningkat 18% tahun ke tahun kepada RM26.2 bilion, EBITDA meningkat 14% kepada RM5.8 bilion, dan PATMI (tidak termasuk item luar biasa) meningkat 3% kepada RM2.3 bilion. Prestasi ini dipacu terutamanya oleh pelaksanaan kukuh di Malaysia dan India.

Sehubungan itu, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen tunai akhir sebanyak 5.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen biasa FY2025 sebanyak 10.5 sen sesaham, meningkat daripada 10.0 sen bagi FY2024. Jumlah pembayaran dividen itu mewakili lebih 40% daripada PATMI (tidak termasuk item luar biasa), jauh melebihi dasar dividen Kumpulan yang ditetapkan sekurang-kurangnya 30%.

Pulangan atas ekuiti (“ROE”), tidak termasuk item luar biasa dan kesan MFRS129, adalah sekitar 9% bagi FY2025, sekali gus memastikan IHH terus berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran ROE dua digit menjelang 2028.

Transformasi semakin dipercepat

Transformasi berbilang tahun IHH — yang direka untuk memastikan perniagaan kekal relevan pada masa depan dan memacu pertumbuhan mampan — menunjukkan kemajuan yang lebih pantas pada FY2025.

Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan platform pengurusan perbendaharaan berasaskan awan dengan alat AI terbina dalam yang mengautomasikan tugasan penting seperti pengurusan tunai dan ramalan, perancangan kecairan dan perakaunan lindung nilai. Fasa 1 telah bermula di Singapura, Malaysia dan Hong Kong, manakala fasa 2 akan diperluaskan secara berperingkat ke pasaran lain.

Satu lagi inisiatif menggabungkan sistem perusahaan IHH merentasi kewangan, sumber manusia dan perolehan ke dalam satu platform bersepadu dan boleh diskala. Tiga modul utama platform tersebut — Enterprise Resource Planning, Human Capital Management, dan Supply Chain Management — akan meningkatkan keberkesanan proses, memperkukuh pemahaman tenaga kerja, dan meningkatkan keterlihatan terhadap inventori serta daya tahan rantaian bekalan. Pelaksanaannya akan bermula di Malaysia, Singapura dan Hong Kong secara berperingkat mulai Q4 2026.

Kemajuan mampan yang stabil; pelan hala tuju 2030 dilancarkan

IHH mencapai prestasi baik terhadap Sasaran Kelestarian 2025 dengan memenuhi 14 daripada 16 sasaran merentasi empat tonggak iaitu Patients, People, Public dan Planet. Berdasarkan pencapaian ini, Kumpulan melancarkan sasaran kelestarian 2030 pada April 2026, termasuk pengurangan 42% pelepasan Scope 1 dan 2 (berdasarkan garis asas 2025), penglibatan pembekal untuk menggalakkan pelaporan pelepasan karbon, serta sasaran baharu berkaitan air dan sisa. Butiran lanjut boleh didapati dalam Sustainability Report 2025 milik IHH.

Kedudukan kukuh untuk pertumbuhan mampan jangka panjang

Keadaan makroekonomi jangka pendek dijangka terus tidak menentu, namun Kumpulan menjangkakan permintaan terhadap penjagaan kesihatan berkualiti kekal kukuh. IHH akan terus meningkatkan jumlah rawatan harian di Malaysia, mempercepat sumbangan daripada Mount Elizabeth Orchard di Singapura, memanfaatkan sinergi klinikal dan operasi antara Fortis Healthcare dan Gleneagles di India, serta mengekalkan kedudukan peneraju pasaran Acibadem di Türkiye, antara keutamaan lain.

Melalui pelaksanaan inisiatif khusus mengikut negara, peruntukan modal yang berdisiplin dan produktiviti yang dipacu teknologi, Kumpulan berada dalam kedudukan baik untuk mencapai ROE dua digit menjelang 2028 serta memberikan nilai mampan kepada pesakit, rakan kongsi dan pemegang saham, selaras dengan aspirasi untuk Care. For Good.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.