Bursa Tolak Permohonan Ivory Properties Lanjut Masa Kemuka Pelan Regularisasi

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Permohonan Ivory Properties Group Bhd untuk melanjutkan tempoh mengemukakan pelan regularisasi untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) ditolak oleh Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata dagangan sekuriti Ivory Properties akan digantung berkuat kuasa pada 29 Ogos 2025.

Menurutnya sekuriti syarikat itu akan dinyahsimpan pada 3 Sept 2025 melainkan rayuan terhadap nyahsenarai itu dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 28 Ogos 2025.

“Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh masa rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities,“ katanya.

Bursa Securities berkata sekiranya Ivory Properties mengemukakan rayuan dalam tempoh masa rayuan, nyahsenarai akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan.

“Bagaimanapun Bursa Securities akan meneruskan penggantungan dagangan sekuriti syarikat ini pada 29 Ogos 2025 walaupun keputusan rayuan masih belum selesai.

“Selepas dinyahsenarai, Ivory Properties akan terus wujud sebagai entiti yang tidak tersenarai. Ia masih boleh meneruskan operasi dan perniagaan serta melaksanakan penstrukturan korporatnya, dan pemegang saham masih berpeluang mendapat manfaat daripada prestasi syarikat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Anak Syarikat TNB Terbit Sukuk RM1.05 Bilion Biaya Projek Solar PV Di Kedah

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Renewables Sdn Bhd melalui unitnya TNB Kuala Muda Solar Sdn Bhd menerbitkan sukuk bernilai RM1.05 bilion melalui Sukuk Wakalah Hijau ASEAN bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk membiayai projek solar fotovolta (PV) di Kedah.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, menurutnya TNB Kuala Muda Solar diberikan peranan untuk menguruskan reka bentuk, kejuruteraan, pembelian, pembinaan, pemasangan, pengujian, pengoperasian, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan bagi kemudahan PV solar berskala besar dengan kapasiti terpasang arus ulang-alik 500 megawatt di Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.

Menurut kumpulan utiliti itu, sukuk berkenaan diterbitkan dalam 17 tranche.

TNB memaklumkan, hasil yang diperoleh daripada sukuk itu akan digunakan untuk tujuan patuh Syariah, menurut Rangka Kerja Kewangan Peralihan TNB yang dikeluarkan pada 24 September 2024.

Menurut TNB, hasil itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada kos projek, termasuk pembayaran atau pembayaran balik kepada penaja projek bagi perbelanjaan yang ditanggung sebelum pemuktamadan pembiayaan serta pembayaran balik pinjaman sedia ada atau kemudahan pembiayaan Islam.

TNB memaklumkan, sebahagian daripada hasil sukuk itu juga akan diperuntukkan untuk pendanaan awal akaun rizab perkhidmatan pembiayaan, bersamaan enam bulan bayaran perkhidmatan pembiayaan seterusnya di bawah program sukuk, keperluan modal kerja semasa fasa awal operasi projek serta perbelanjaan berkaitan penerbitan sukuk.

Menurutnya, CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama untuk Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN.

Ia berkata, penyerahan dokumen berkaitan program sukuk telah dihantar kepada Suruhanjaya Sekuriti pada 3 Mac 2026.

-BERNAMA