Khazanah Guna Perkongsian Dana Strategik Pacu Industri Semikonduktor

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menggunakan pendekatan perkongsian dana strategik bagi mengukuhkan industri semikonduktor Malaysia terutama dalam pembungkusan yang lebih canggih dan maju.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, pendekatan sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu sebelum ini adalah membangunkan projek atau syarikatnya sendiri yang dianggap tidak lagi relevan pada masa ini.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman, pihaknya mendapati hasil terbaik dicapai apabila sesuatu perniagaan diterajui oleh usahawan dan sektor swasta.

Justeru, jelasnya, Khazanah memilih perkongsian strategik yang memberi impak dengan menyediakan dana permulaan, manakala rakan pelabur akan mengumpulkan dana tambahan dan membawa masuk pelaburan baharu ke Malaysia atau memulakan operasi tempatan.

“Kami melabur dalam Cambrian Fund, dengan kerjasama pengasas ViTrox Corp serta Chengwei Capital dan NRL Capital.

“Pada masa sama, pelaburan Dana Impak dalam Syntiant Corp, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pulau Pinang,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai peranan Khazanah dalam memajukan industri semikonduktor di Malaysia dan mengangkat industri itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Amirul Feisal berkata, kehadiran Khazanah sebagai rakan strategik membolehkan pelaburan yang dibawa masuk diselaraskan agar saling melengkapi dan memberi impak maksimum kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, strategi itu turut mengambil peluang ‘China Plus One’, di mana syarikat antarabangsa mencari lokasi alternatif selain China untuk mengembangkan operasi mereka.

Katanya, beberapa dana pemula yang disemai sejak beberapa tahun lalu juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan, dengan sebahagiannya dijangka mencapai kematangan dan berpotensi untuk disenaraikan dalam pasaran saham.

Selain itu, Amirul Feisal juga berkata, pembangunan modal insan turut menjadi fokus penting bagi memenuhi keperluan bakat untuk industri semikonduktor tempatan.

Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi program K-Youth, inisiatif kebolehpasaran belia yang dilaksanakan Khazanah untuk membangunkan bakat masa depan Malaysia.

Katanya, program itu mempersiapkan belia tempatan dengan kemahiran dan pengalaman bernilai komersial bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Menurut Khazanah, program K-Youth telah melatih 9,934 belia, termasuk 76 peratus daripada keluarga B40 dan 79 peratus Bumiputera dengan kerjasama 18 rakan program.

Sejak penubuhannya pada 2023, lebih 34,000 belia telah dilatih dalam bidang pertumbuhan utama seperti inovasi digital dan teknologi, semikonduktor serta penerbangan.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.