Malaysia Pasaran IPO Utama Asia Tenggara Kali Kedua Berturut-Turut

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran tawaran awam permulaan (IPO) utama di Asia Tenggara untuk tempoh separuh pertama kali kedua berturut-turut, menurut laporan Ringkasan IPO Pertengahan Tahun Asia Tenggara 2026 oleh Deloitte.

Menurut laporan itu, Malaysia berjaya mempertahankan kedudukannya itu disokong oleh kejayaan penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Bhd, yang mengumpul kira-kira AS$707 juta (RM2.88 bilion) dan mencapai permodalan pasaran sebanyak AS$4.13 bilion (RM16.84 bilion).

Dalam laporan itu, Deloitte berkata, Malaysia mencatatkan 36 IPO dengan berjaya mengumpul dana sebanyak AS$1.344 bilion (RM5.48 bilion) dan mencatatkan jumlah permodalan pasaran IPO AS$6.511 bilion (RM26.55 bilion) pada separuh pertama 2026.

Pada separuh pertama 2025, Malaysia mencatatkan 32 IPO dengan berjaya mengumpul dana berjumlah AS$940 juta (RM3.83 bilion) dan permodalan pasaran IPO sebanyak AS$4.036 bilion (RM16.46 bilion).

“Secara keseluruhan, pasaran IPO Malaysia pada separuh pertama 2026 adalah sihat dan matang. Ia beralih daripada lonjakan didorong volum pada 2025 kepada fasa pertumbuhan yang lebih seimbang dan fokus pada kualiti,” katanya dalam laporan itu.

Menuju ke hadapan, Kar Choon berkata, prospek IPO di Malaysia dijangka kekal positif untuk baki tahun 2026, disokong oleh cadangan IPO yang kukuh dengan lebih 40 penyenaraian berpotensi.

Secara keseluruhan, Deloitte berkata, pasaran IPO di Asia Tenggara mencatatkan 47 IPO dalam tempoh separuh pertama 2026 dengan berjaya mengumpul dana lebih AS$3.07 bilion (RM12.52 bilion) dan mencapai agregat permodalan pasaran IPO sebanyak AS$15.07 bilion (RM61.46 bilion).

Singapura mengatasi Indonesia dalam ranking IPO Asia Tenggara, mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat dan sokongan padu terhadap pembaharuan pasaran baru-baru ini.

Vietnam pula mencatatkan pemulihan yang kukuh daripada sifar IPO pada separuh pertama 2025 kepada empat IPO pada separuh pertama 2026, mencatatkan permodalan pasaran IPO tertinggi di rantau ini pada AS$6.93 bilion (RM28.26 bilion).

Prestasi IPO di seluruh Indonesia, Thailand dan Filipina kekal lembap pada separuh pertama 2026, mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati, turun naik tidak menentu pasaran dan sensitiviti penerbit terhadap penilaian.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.