Saham Tenaga, Perbankan Pacu Bursa Malaysia Meningkat Lebih Satu Peratus

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia meneruskan kenaikan kukuh apabila meningkat lebih satu peratus untuk ditutup tinggi pada Selasa, dipacu minat belian yang amat memberangsangkan dalam kaunter minyak dan gas serta perbankan.

Pada masa sama, pelabur turut menjangkakan potensi harga tenaga yang lebih teguh susulan ketegangan baharu yang timbul antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada 5 petang, FISE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 21.50 mata atau 1.26 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian 1,719.94 daripada 1,698.44 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.25 mata lebih tinggi kepada 1,699.69 sebelum turun kepada paras terendah harian 1,698.21 semasa sesi awal.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 548 berbanding 538, manakala 585 kaunter tidak berubah, 1,031 kaunter tidak diniagakan, dan 22 yang digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.52 bilion unit bernilai RM2.75 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM2.23 bilion semalam.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat, ditambah dengan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan minyak telah mendorong kenaikan di kaunter berkaitan tenaga.

Beliau berkata hal itu turut membantu mengekalkan momentum positif di Bursa Malaysia.

Di seluruh rantau, prestasi ekuiti Asia ditutup bercampur-campur apabila pasaran menilai risiko geopolitik berbanding dengan jangkaan terhadap tinjauan dasar monetari global, katanya.

“Bursa Malaysia terus menunjukkan prestasi yang lebih baik berdasarkan komposisi sektor yang bersifat defensif dan kekukuhan saham berkaitan komoditi,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM11.00, Public Bank menambah 13 sen kepada RM5.05, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM14.40, dan CIMB menokok lapan sen kepada RM 7.77, manakala IHH Healthcare susut dua sen kepada RM8.45.

Bagi saham aktif, Tanco meningkat 7.5 sen kepada 31.5 sen, HHRG menambah 3.5 sen pada 15 sen, Nationgate naik tujuh sen kepada 95.5 sen, manakala Velesto turun 1.5 sen kepada 27 sen dan Vinvest Capital menguncup satu sen kepada dua sen.

Antara saham paling untung, Petronas Chemicals melonjak 44 sen kepada RM4.79, Petronas Gas meningkat 42 sen kepada RM17.88, Hong Leong Bank men okok 36 sen kepada RM22.24, manakala Fraser & Neave dan Press Metal masing-masing menambah 34 sen kepada RM29.28 dan RM8.19.

Nestle mendahului senarai saham paling rugi apabila merosot RM1.22 kepada RM90.50, United Plantations susut 48 sen kepada RM34.54, Allianz berkurangan 32 sen kepada RM20.64, Chin Well menguncup 13.5 sen kepada 68.5 sen manakala Frontken dan Sunway Construction masing-masing turun 10 sen kepada RM 4.74 dan RM 7.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 107.97 mata kepada 12,661.93, Indeks FBMT 100 melonjak 112.06 mata kepada 12,498.66, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 94.65 mata kepada 12,492.04.

Indeks FBM 70 turun 29.34 mata kepada 17,797.02 dan Indeks FBM ACE kurang 2.95 mata kepada 4,862.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 219.43 mata kepada 20,239.50, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.99 mata kepada 188.51, Indeks Tenaga menokok 0.36 mata kepada 773.65, manakala Indeks Perladangan turun 19.10 mata kepada 9,368.42.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.84 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 1.56 bilion unit bernilai RM1.96 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.12 bilion unit bernilai RM135.26 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM131.26 juta. Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 557.33 juta unit bernilai RM162.70 juta daripada 462.71 juta unit bernilai RM143.73 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 159.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (296.57 juta), pembinaan (122.62 juta), teknologi (227.31 juta), perkhidmatan kewangan (96.63 juta), hartanah (504.56 juta), perladangan (57.93 juta), amanah pelaburan hartanah (17.24 juta), dana tertutup (10,300), tenaga (233.24 juta), penjagaan kesihatan (53.73 juta), telekomunikasi dan media (18.40 juta), pengangkutan dan logistik (28.80 juta), utiliti (28.92 juta), dan amanah perniagaan (139,800).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

CANSLIM: Apa Itu Leader & Laggard Dan Kenapa Saham Ini Boleh Gerak Dulu?

Untuk terlibat dengan pelaburan saham, kita tidak boleh lari daripada melakukan pembacaan dan analisa secara menyeluruh. Pelabur perlu melakukan analisa dengan cara yang betul supaya dapat membuat keputusan yang betul.

Terdapat pelbagai jenis dan cara analisa yang boleh pelabur gunakan antaranya adalah analisa gaya William J. O’Neil. Analisa yang dimaksudkan adalah menggunakan kaedah CANSLIM untuk mencari dan memilih saham yang mempunyai pertumbuhan yang baik.

Pemilihan saham menggunakan CANSLIM ini adalah cara terpantas untuk mencari saham berpotensi sebelum pelabur institusi melabur ke dalam saham tersebut.

Pada penulisan ini, saya akan kongsikan elemen ‘L’ iaitu leader and laggard.

Secara asasnya CANSLIM adalah singkatan akronim yang menggabungkan 7 kriteria dalam pemilihan saham.

Kriteria CANSLIM adalah seperti di bawah :

  1. ‘C’ – Current Quarter Earning
  2. ‘A’ – Annual Earning
  3. ‘N’ – New product/management/event
  4. ‘S’ – Supply and Demand
  5. ‘L’ – Leader/laggard
  6. ‘I’ – Institutional
  7. ‘M’ – Market direction

Apa Itu Leader dan Laggard?

Dalam kriteria Leader dan Laggard, kita ingin menentukan sama ada syarikat kajian kita berada dalam senarai pemain industri yang utama atau pemain industri yang kedua.

Hal ini kerana, syarikat yang menjadi pemain utama dalam industrinya akan bertindak balas lebih awal daripada yang lain dan diikuti oleh syarikat pemain kedua.

Syarikat yang menjadi pemain utama boleh dilihat berdasarkan kepada kekuatan kewangan syarikat dan saiz modal pasaran syarikat tersebut.

Pergerakan pasaran akan bermula dengan saham daripada syarikat pemain utama dalam setiap industri.

PMETAL vs LBALUM

Mari kita lihat contoh-contoh di bawah. Sektor di bawah adalah sektor pembuatan aluminium.

Sumber : iSaham

Gambar di atas menunjukkan syarikat PMETAL berada paling atas dengan modal pasaran sebanyak RM40.38 billion. Ini menjadikan PMETAL pemain industri utama dalam sektor pembuatan Aluminium.

Sumber : Trading View

Pergerakan saham PMETAL berada pada aliran menaik dalam jangka masa 2-3 tahun. Namun begitu, pada Disember 2020, harga PMETAL melakukan kenaikan yang besar daripada RM3.00 sehingga mencecah RM4.00.

Hal ini disebabkan kenaikan harga komoditi Aluminium yang ketara dan telah memberikan keuntungan berganda pada syarikat PMETAL.

Syarikat mencatatkan kenaikan pada margin keuntungan sejak suku tahun kedua 2020. Profit margin yang meningkat juga menyumbang pada kenaikan harga saham.

Sumber : MalaysiaStock.biz

Laggard dalam sektor aluminium pula boleh dilihat pada syarikat LBALUM dengan modal pasaran yang lebih kecil iaitu sebanyak RM228 juta.

Leader seperti saham PMETAL telah mulakan kenaikan pada Disember 2020 manakala, laggard seperti LBALUM hanya memulakan kenaikan pada penghujung Mac 2021 daripada RM0.75 sehingga RM1.30 dengan kenaikan hampir 100%.

Sumber : Trading View
Sumber : MalaysiaStock.biz

Syarikat LBALUM mengalami kerugian pada suku ke-4 tahun 2020 dan hanya berjaya mencatatkan keuntungan pada suku tahun seterusnya. Oleh itu, harga saham LBALUM harga bergerak selepas mencatatkan keuntungan yang meningkat.

Syarikat LBALUM mencatatkan profit margin yang lebih tinggi dari leader PMETAL. Hal ini memberikan peluang yang besar untuk LBALUM menjadi syarikat yang lebih berdaya saing di masa hadapan.

Inilah gaya pemilihan saham menggunakan CANSLIM. Kita perlu mengkaji sektor tersebut dan menentukan siapa leader dan siapa laggard.

Dengan hanya memfokuskan pada kriteria ‘L’ sahaja kita sudah mampu untuk menjana keuntungan yang berganda.

Ini kerana analisis menggunakan metod CANSLIM adalah satu teknik yang sangat berkesan untuk memilih saham yang betul.

Nota: Contoh PMETAL dan LBALUM yang digunakan ini adalah berdasarkan data dan situasi pasaran pada tempoh tersebut dan digunakan semata-mata untuk menerangkan konsep Leader & Laggard dalam strategi CANSLIM. Kedudukan sesuatu saham sebagai leader atau laggard boleh berubah mengikut pergerakan harga dan relative strength dari semasa ke semasa. Contoh ini bukan gambaran prestasi semasa kedua-dua saham dan tidak boleh dianggap sebagai cadangan untuk membeli, menjual atau memegang mana-mana saham.

AMD vs NVIDIA

Sebagai contoh lain, kita boleh lihat perbezaan antara Advanced Micro Devices (AMD) dan NVIDIA dalam industri cip AI. NVIDIA merupakan pemain yang jauh lebih besar dari segi revenue dan kedudukan pasaran, tetapi dalam analisis saham, saiz syarikat bukan satu-satunya perkara yang menentukan sama ada sesuatu saham itu dianggap sebagai leader atau laggard.

Jika harga saham AMD mencatat kenaikan yang lebih tinggi berbanding NVIDIA dalam tempoh tertentu, AMD boleh dianggap sebagai stock leader untuk tempoh tersebut dari sudut price performance, walaupun NVIDIA kekal sebagai peneraju industri dari segi saiz. Sebab itu, apabila menggunakan konsep Leader & Laggard, pelabur perlu melihat relative strength dan prestasi harga berbanding saham lain dalam sektor yang sama, bukannya sekadar membandingkan harga seunit saham atau revenue syarikat.

Namun begitu, status leader atau laggard bukanlah sesuatu yang kekal. Sesebuah saham boleh menjadi leader pada satu tempoh dan kemudiannya menjadi laggard apabila momentum harga berubah. Oleh itu, konsep ini lebih sesuai digunakan sebagai salah satu alat untuk mengenal pasti saham yang menunjukkan momentum relatif yang kuat, bukannya sebagai ukuran mutlak tentang syarikat mana yang lebih baik.


Belilah saham yang baik. Nak tahu apa lebih mendalam tentang formula ini? Dapatkan eBook CANSLIM -> http://thekapital.my/Ebook-CANSLIM

Nak Kejar Saham Yang Bakal Naik?

Masih ingat tak masa orang berebut-rebut beli saham TOPGLOV, saham-saham lain yang satu geng dengan dia (yang harga jauh lebih murah) pun tiba-tiba meroket naik jugak cuma lambat sikiiiit je. Adusss mesti ramai yang tertinggal keretapi kan? Tulah, kan dah melepasss!

Haa, itu contoh saham sektor glove. So, macam mana dengan saham dekat sektor lain?? Dekat mana nak carik senarai dia?

Jangan tertinggal keretapi lagi.

Jadi khusus untuk follower kami, memperkenalkan e-book Leaders and Laggards.

Kalau nak tahu rahsia satu kaunter jalan, kaunter lain pun ikut jalan sekali, dapatkan eBook Leaders and Laggards -> http://thekapital.my/eBookLeadersAndLaggards

Dalam e-book ini, anda akan belajar:

✅ Apa itu Leader?

✅ Apa itu Laggard?

✅ Cara nak kenal pasti saham Leader dan Laggard

✅ Contoh-contoh case study Leader naik dulu, Laggard naik kemudian

✅ Contoh case study yang tak jadi, Leader dah naik tapi Laggard tak naik-naik

✅ Contoh case study Leader turun dulu, Laggard turun kemudian

Bukan itu sahaja, turut dikongsikan senarai Leader dan Laggard bagi industri-industri sarung tangan (glove), penjagaan kesihatan (healthcare), pembinaan (construction), tenaga (oil & gas), teknologi dan banyak lagi.

Dapatkan eBook Leaders and Laggards -> http://thekapital.my/eBookLeadersAndLaggards

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.