
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Anak syarikat tidak langsung Ramssol Group Bhd, PT Rider Gate Indonesia memeterai perjanjian kerjasama dengan PT Smoot Motor Indonesia dan PT Swap Energi Indonesia bagi melancarkan ekosistem pajakan motosikal elektrik (EV) bersepadu di Indonesia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ramssol berkata perjanjian selama tiga tahun itu menandakan kemasukan rasminya ke dalam pasaran mobiliti elektrik Indonesia yang sedang berkembang pesat.
“Di bawah perjanjian tersebut, Rider Gate Indonesia akan menggerakkan sebanyak 500 unit motosikal elektrik menjelang akhir tahun kewangan 2025, dengan rancangan penambahan jumlah kenderaan itu secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak, sejajar dengan peningkatan penggunaan serta permintaan daripada rakan-rakan penunggang” katanya.
Menurut Ramssol, kerjasama itu menyatukan tiga pemain utama dalam ekosistem kenderaan elektrik bagi membangunkan model pajakan EV bersepadu yang menggabungkan aspek pembiayaan, bekalan kenderaan dan perkhidmatan pertukaran bateri yang mudah diakses.
“PT Smoot, pengedar borong motosikal elektrik dua roda di bawah jenama Smoot Elektrik, akan membekalkan motosikal tersebut, manakala PT Swap, peneraju dalam infrastruktur pertukaran bateri dan pemasangan bateri motosikal elektrik dua roda, akan menyediakan serta menyelenggara komponen dan rangkaian pertukaran bateri.
“Sementara Rider Gate Indonesia pula akan membeli motosikal daripada PT Smoot dan memajakannya kepada rakan-rakan penunggang melalui model berasaskan teknologi yang fleksibel, mampu milik dan cekap dari segi operasi,” kata syarikat itu.
— BERNAMA










