Sejarah Bakal Berulang? Pasaran Saham 1998 VS 2025.

Sejarah bakal berulang ke nanti? 

Pasaran saham Amerika Syarikat sedang mengalami kejatuhan yang agak ketara. Indeks S&P 500, yang menjadi penanda aras utama prestasi saham di Wall Street, kini berada pada paras sekitar 5,214 – 5,287 mata, jatuh lebih 11% sejak awal tahun 2025.

Untuk pelabur baru, angka ini mungkin cukup menakutkan. Tapi bagi yang dah biasa tengok turun naik pasaran, situasi ini sebenarnya tak begitu mengejutkan. Malah, kalau kita selak balik sejarah, corak kejatuhan ini ada persamaan yang menarik dengan apa yang berlaku pada tahun 1998.

Apa Yang Berlaku Pada Tahun 1998?

Tahun 1998 dikenang sebagai tahun krisis kewangan yang bermula dari Asia Tenggara, merebak ke Rusia dan memberi kesan besar kepada pasaran global. Di Amerika Syarikat, S&P 500 jatuh dengan agak mendadak sebelum melantun semula dengan kuat hanya dalam tempoh beberapa bulan.

Apa yang menarik, tahun 2025 ini memperlihatkan corak carta yang hampir sama. Ken Fisher, seorang tokoh pelaburan terkemuka, kongsikan carta perbandingan antara kejatuhan tahun 1998 dan prestasi S&P 500 tahun ini. Bila diletakkan sebelah menyebelah, memang jelas kelihatan trajektori yang hampir seiras — naik, jatuh, cuba pulih, dan jatuh semula.

Adakah Ini Petanda ‘Double Bottom’?

Dalam analisis teknikal, ada satu corak (pattern) yang dipanggil double bottom. Ia kelihatan seperti huruf “W” pada carta harga. Corak ini terbentuk apabila pasaran jatuh ke paras tertentu, cuba untuk naik, gagal tembus paras rintangan, jatuh sekali lagi (tapi tidak lebih rendah), kemudian mula naik semula.

Corak ini biasanya dilihat sebagai petunjuk positif bahawa kejatuhan mungkin sudah sampai ke penghujung, dan pasaran bakal pulih dalam tempoh terdekat.

Bila kita perhatikan carta S&P 500 setakat ini, ada bayangan yang sangat serupa, dua kali kejatuhan besar dalam tempoh singkat, dengan paras sokongan yang hampir sama. Ini yang menguatkan andaian bahawa pasaran sedang membentuk double bottom, sama seperti yang berlaku pada tahun 1998.

Patut Tak Kita Risau?

Kalau ikutkan sejarah, kejatuhan tahun 1998 hanya bersifat sementara. Selepas jatuh teruk, pasaran bukan sahaja pulih, malah melonjak lebih tinggi daripada sebelumnya.

Tapi, penting untuk diingatkan bahawa walaupun carta nampak serupa, situasi makro ekonomi pada tahun 2025 tak semestinya sama. Hari ini, kita ada cabaran berbeza: ketegangan perdagangan AS-China, kadar faedah tinggi, serta ketidaktentuan geopolitik di beberapa rantau dunia.

Namun begitu, persamaan corak carta tetap memberi sedikit harapan bahawa ini bukanlah krisis jangka panjang, sebaliknya mungkin sekadar fasa pembetulan (correction) sebelum pemulihan berlaku.

Kesimpulan

Pasaran saham bukan tempat untuk mereka yang cepat panik. Kadang-kadang, masa terbaik untuk melabur adalah ketika ramai yang takut. Sejarah mungkin tak berulang dengan cara yang sama, tapi ia sering berima. Dan setakat ini, 2025 sedang mengikut jejak langkah 1998 dengan sangat rapat.

Soalnya sekarang , adakah kita sedang melihat peluang yang sedang terbentang luas, atau hanya satu ilusi dalam ribut pasaran?

Rebut Peluang Belajar Melabur Saham Di Pasaran Saham Amerika Syarikat

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk mula melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street hari ini!

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Previous ArticleNext Article

22 Firma AS Sertai Misi Pelaburan Ke Malaysia, Tinjau Peluang Pelbagai Sektor

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) — Kira-kira 22 firma Amerika Syarikat (AS) menyertai misi pelaburan di Malaysia, meninjau peluang pelaburan merentasi pelbagai sektor dan menjadi usaha memperkukuh perniagaan dengan ASEAN yang berpotensi muncul ekonomi keempat terbesar dunia menjelang akhir dekad ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan AS-ASEAN (US-ABC), Brian McFeeters berkata sektor itu merangkumi kecerdasan buatan (AI), tenaga, perkhidmatan kewangan dan insurans.

Beliau berkata syarikat AS pada masa ini sudah beroperasi di Pulau Pinang dan Johor serta meninjau peluang untuk mengembangkan lagi operasi masing-masing.

Antara objektif misi itu adalah mendapatkan bantuan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam aspek seperti permit, kemudahan pengawalseliaan dan menarik bakat atau tenaga kerja untuk mengembangkan operasi.

“Menerusi bantuan yang tepat, kami dapat mempercepatkan lagi pengembangan kami selain meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “ASEAN Trade Strategy” yang dikendalikan oleh hos Gerard Ratnam.

Menurut laman sesawang AS-ABC, misi tiga hari itu bermula pada 12-14 Mei, 2026.

Menjelaskan selanjutnya, McFeeters berkata misi pelaburan yang telah mengunjungi Vietnam, Filipina dan Singapura selain negara-negara ASEAN di masa akan datang, melibatkan penyertaan syarikat baharu dan sedia ada yang berminat mengembangkan operasi mereka.

“Menerusi sokongan yang tepat, kami dapat mempercepatkan pengembangan operasi dan memperdalam pelaburan kami di Malaysia,” katanya.

McFeeters berkata AS-ABC turut mengatur mesyuarat dengan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kementerian Pendidikan Tinggi: Kementerian Digital selain Khazanah Nasional Bhd.

Beliau berkata misi itu juga berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sesi mesyuarat itu, katanya, dapat memberi peluang kepada firma terbabit meningkatkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia selain mengukuhkan hubungan dalam sektor berkaitan.

Pada masa sama, misi itu juga berharap dapat membantu dari segi memudah cara perniagaan AS beroperasi di Malaysia. “Misi ini juga menunjukkan perniagaan AS kekal komited terhadap pasaran ASEAN walaupun dalam ketidaktentuan semasa, termasuk membabitkan tenaga dan persoalan melibatkan tarif,” katanya.

Data laman sesawang Pejabat Perwakilan Perdagangan AS menunjukkan perdagangan Malaysia dan AS dianggarkan bernilai US$88.5 bilion (US$1 = RM4.92) pada 2025.

Eksport AS ke Malaysia pada tahun lepas berjumlah US$28.9 bilion atau meningkat 4.5 peratus daripada US$1.2 bilion pada 2024 manakala import AS ke Malaysia pula berjumlah US$59.7 bilion pada 2025 iaitu peningkatan 13.7 peratus daripada US$7.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, AS-ABC turut memperkenalkan satu pelan strategik “Advancing ASEAN: A Strategic Action Plan Supporting The Philippines 2026 Chairship” sebagai cadangan dasar yang boleh memberi manfaat kepada ASEAN serta perniagaan AS.

Pelan itu antara lainnya menggariskan cadangan sektor swasta AS-ABC yang dirangka dengan kerjasama ASEAN-BAC Filipina dan terhasil daripada pertukaran pandangan dengan kerajaan Filipina yang melibatkan lima tonggak strategik.

“Asas pelan itu adalah daripada lima kertas perbincangan dengan setiap satunya dibincangkan dalam sesi meja bulat khusus dari Mac hingga April 2026 bersama agensi kerajaan, rakan sekutu pembangunan dan masyarakat awam.

“Ini bukan bertujuan menyelesaikan keseluruhan agenda dengan satu tahun kepengerusian, sebaliknya mewujudkan asas-asas institusi dan menghasilkan kerja-kerja teknikal yang boleh diteruskan oleh kepengerusian Singapura pada 2027 dan seterusnya Thailand pada 2028,” menurut AS-ABC.

— BERNAMA