Perang Saraf Dagangan: TikTok Medan Propaganda Baharu Pertikaian AS-China

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Bahang ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang melangkaui dimensi ekonomi tradisional turut menyaksikan kemunculan medan tempur baharu yang bukan bersenjatakan tarif atau lebihan dagangan sebaliknya menerusi algoritma serta video-video tular.

Di platform media sosial seperti TikTok, arena digital dalam permusuhan AS-China secara senyap-senyap mendedahkan dan membentuk bagaimana persepsi pengguna terhadap jenama, identiti nasional serta kuasa ekonomi.

Perang dagangan yang sebelum ini ditentang menerusi dasar semata-mata, kini menyaksikan pilihan itu bukanlah yang utama. ‘Tentera’ dalam pertempuran digital itu hadir dalam bentuk kandungan yang menjadi pedang dalam memesongkan pendapat awam serta sama kuatnya seperti mana-mana kenyataan kerajaan.

Satu klip TikTok memaparkan beg jenama mewah AS dengan penanda “Made in China” (Buatan China) pada harga lebih murah daripada yang dijual di AS, mendedahkan realiti sebenar rantaian bekalan.

Ia jelas mencabar kepercayaan mengenai kualiti, patriotik serta asal produk-produk global.

Kalangan ahli akademik menyifatkan mesej ringkas namun berpengaruh ini sedang menjadi pemacu anjakan asas psikologi membabitkan hubungan dagangan.

“Perang dagang (atau mana-mana konflik ekonomi/geopolitik) pada asasnya adalah kompleks. Emosi sering memandu persepsi dan bukannya kebenaran, dan media sosial boleh memainkan peranan penting dalam menguatkan sentimen ini, yang baik mahupun yang  buruk,” kata kata Profesor Madya Pemasaran Digital Fakulti Perniagaan Universiti Nottingham (NUBS) Malaysia Dr Muhammad Hamza Shahab dalam satu temu bual dengan Bernama.

Medan perang persepsi secara halus ini telah mengubah platform seperti TikTok menjadi alat pengaruh yang mungkin dianggap biasa, namun sebaliknya berbisa.

Tidak kiralah secara naratif berkaitan negara atau berasaskan tular, video-video ini telah membentuk cara generasi muda melihat ekonomi sara diri, ketulenan jenama dan globalisasi itu sendiri.

Dalam perang saraf ini, maklumat menjadi senjata manakala perhatian adalah ganjarannya.

Psikologi Penggunaan : Nasionalisme Dalam Troli 

Pertikaian perdagangan berkemungkinan bermula di bilik mesyuarat dan dewan kerajaan, namun kesan rantaiannya sering berlegar dalam minda pengguna harian. Identiti kebangsaan, ketegangan sejarah dan budaya pop semuanya terbukti menyumbang kepada bagaimana kita menilai serta sumber atau asal sesuatu produk.

Dr Muhammad Hamza menjelaskan terdapat gabungan pelbagai faktor yang menyumbang kepada pembentukan persepsi — daripada isyarat pemasaran dan stereotaip kebangsaan sehinggalah nilai peribadi serta naratif geopolitik.

“Contohnya, orang ramai cenderung mengaitkan jam tangan dari Switzerland atau barangan kulit dari Itali dengan kualiti manakala barangan dari negara pengeluar kos rendah seperti China atau Vietnam dilihat sebagai kurang berkualiti — walaupun hakikatnya tidak semestinya begitu,” katanya.

Keadaan ini menjadi lebih ketara dalam tempoh ketegangan geopolitik apabila patriotisme menjadi pendorong komersial.

Pengguna China diketahui pernah memboikot jenama Barat semasa pertikaian diplomatik — pendekatan yang kadangkala digalakkan oleh China.

Ketua Fakulti Politik dan Hubungan Antarabangsa di University of Nottingham Malaysia Dr Benjamin Barton berkata taktik ini telah lama menjadi sebahagian daripada strategi dalaman China.

“Lazimnya, cara China memanfaatkan sentimen nasionalisme dalam situasi ketegangan perdagangan dan geopolitik ialah dengan menyemarakkan rasa tidak puas hati rakyat China terhadap kehadiran jenama asing yang terlibat,” katanya.

Barton berkata ini telah dapat dilihat selama bertahun-tahun dengan boikot dan bantahan oleh rakyat China terhadap jenama Perancis, Jepun dan Korea Selatan sebagai tindak balas terhadap pelbagai pertikaian dua hala.

“China menyemarakkan semangat nasionalisme sedemikian untuk kepentingan mereka — sebahagian besarnya untuk mengalihkan perhatian daripada isu dalaman dan menggalakkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat,” katanya. 

Bagaimanapun, secara ironi, keadaan berubah. Dalam pentadbiran Trump, tumpuan beralih kepada pengguna AS dengan kempen awam menggesa rakyat untuk “membeli produk AS”. 

Melalui langkah yang tidak dijangka, China kini dilihat mempengaruhi sentimen di luar sempadan negaranya — satu perubahan ketara daripada pendekatannya yang bersifat tertutup sebelum ini.

Barton berkata ini kali pertama China berusaha untuk mempengaruhi pengguna AS secara langsung, dan ia memaparkan sesuatu yang ironi apabila melihat bagaimana China melindungi daripada campur tangan asing dalam urusan domestiknya sendiri.

Bagaimanapun di sebaliknya, kebanyakan barangan yang dibeli oleh pengguna AS — daripada telefon pintar sehingga beg tangan berjenama — masih dihasilkan di China. TikTok semakin membongkarkan mengenai percanggahan ini.

TikTok sebagai Alat Pengaruh: Halus, Tular dan Berkuasa

Apa yang membezakan TikTok daripada platform digital terdahulu bukanlah sekadar capaian tetapi impak emosinya. Kandungan di TikTok dihasilkan untuk menjadi tular — ringkas, berkesan, dan dipilih dengan teliti dan tersusun daripada algoritma yang disesuaikan dengan minat individu.

“Golongan muda khususnya menghabiskan masa yang tidak seimbang di platform ini, dan pandangan hidup mereka dibentuk dengan sewajarnya. Ia adalah kombinasi yang kukuh — pengulangan, pengaruh rakan sebaya, dan penglibatan emosi — kesemuanya berlaku tanpa sedar,” kata Barton.

Di sinilah proses pembentukan minda psikologi bermula. Penonton yang kerap kali terdedah dengan video memaparkan produk Barat dihasilkan di Asia mungkin mula mempersoalkan tanggapan sedia ada mengenai martabat negara, nilai jenama dan kebebasan ekonomi.

Perubahan ini mungkin berlaku secara perlahan, tetapi ia berkesan — terutamanya apabila mesej itu bukan daripada kerajaan, sebaliknya daripada pengguna lain yang dilihat boleh dipercayai dan mudah didekati.

“Walaupun kandungan yang tular itu tidak dibiayai oleh kerajaan, ia boleh mempengaruhi pendirian dari semasa ke semasa. Ini adalah satu bentuk kuasa lembut — sejenis penyesuaian psikologi yang mengubah semula apa-apa yang dianggap biasa atau benar,” kata Muhammad Hamza.

Apabila Realiti Menjejaskan Kepercayaan 

Apabila pengguna menyedari bahawa jenama yang mereka kaitkan dengan kebanggaan negara sebenarnya dihasilkan di luar negara, reaksi mereka sering kali bersifat emosi dan bukannya rasional.

Fenomena psikologi ini dikenali sebagai disonans kognitif — iaitu perasaan kurang senang yang berlaku apabila mempercayai dua perkara yang bercanggah antara satu sama lain.

“Bagi menangani perasaan kurang senang ini, ada yang menganggap remeh maklumat baharu ini atau terus membeli produk yang sama berikutan tabiat atau kesetiaan terhadap jenama. Orang lain pula mungkin sukar menerimanya, lebih-lebih lagi sekiranya mereka kuat berpegang kepada patriotisme ekonomi,” kata Muhammad Hamza.

Di AS, ketegangan ini paling ketara menerusi perdebatan mengenai tarif dan usaha memindahkan kembali operasi perniagaan.

Walaupun sesetengah pihak menyokong pengembalian sepenuhnya pengeluaran dalam negara, kebanyakan pengguna masih enggan membayar harga yang premium bagi barangan buatan AS — satu percanggahan yang sering diketengahkan oleh kandungan TikTok secara sindiran.

Algoritma dan Persepsi

Pengaruh besar media sosial dalam membentuk persepsi bukan hanya terletak pada kandungannya semata-mata, tetapi juga pada cara ia disampaikan. Algoritma direka untuk memastikan pengguna sentiasa terlibat, sering memuatkan kandungan yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada atau mencetuskan reaksi emosi yang kuat — sama ada kemarahan, kebanggaan atau rasa tidak percaya.

“Algoritma tidak neutral. Ia dicipta oleh manusia, dan mencerminkan berat sebelah – kadang-kadang disengajakan, kadang-kadang tidak disengajakan. Dalam konteks geopolitik, ini bermakna platform akhirnya boleh menolak naratif yang memihak kepada satu negara berbanding negara lain,” kata Barton.

Dinamik ini telah menimbulkan kebimbangan sama ada platform seperti TikTok – yang dimiliki oleh syarikat teknologi China ByteDance – mungkin secara halus memihak kepada naratif yang memberi manfaat kepada kedudukan global China. Pada masa yang sama, platform yang berpangkalan di AS telah dituduh mempunyai kecenderungan yang sama, terutamanya di bawah kepimpinan berunsur politik.

Masa Depan Pengaruh: Apakah Langkah Seterusnya

Jika media sosial sudahpun menguasai perbualan global mengenai perdagangan, persoalannya sekarang adalah bagaimana kerajaan dan syarikat akan memberi respons. Peraturan masih tidak sekata dan perlahan untuk mengejar kepesatan teknologi, dan pakar-pakar mengatakan ketidakseimbangan hanya akan terus meningkat.

“Teknologi menguasai dan mempunyai pengaruh yang amat besar. Ia beroperasi dalam situasi kawal selia yang tidak jelas – sama seperti sektor kewangan sebelum krisis 2008. Melainkan adanya keazaman politik dan kerjasama antarabangsa, kita barangkali tidak akan dapat melihat pembaharuan ketara dalam masa terdekat ini,” kata Barton.

Sementara itu, katanya, pertahanan terbaik terhadap manipulasi psikologi kemungkinan adalah pendidikan yang melengkapkan pengguna untuk menilai secara kritis maklumat yang mereka gunakan, mempersoalkan motivasi di sebalik kandungan yang mereka lihat dan mempelbagaikan pergantungan sumber.

Normal Baharu dalam Naratif Perang Perdagangan

Naratif persaingan AS-China kini bukan lagi tentang keluli, semikonduktor, atau sekatan. Ia tentang persepsi. Medan tempur kini telah beralih ke dalam talian di platform seperti TikTok dalam masa nyata.

Barton berkata media sosial telah menjadi instrumen konsisten dalam konflik perdagangan dan pertikaian geopolitik – mempengaruhi minda dan khalayak kini hampir sama pentingnya dengan membentuk sifat nyata hubungan antara negara, syarikat dan tentera, terutamanya dalam era yang dikuasai media sosial. 

“Kita hanya perlu melihat konflik sedia ada seperti Ukraine, Gaza – untuk melihat bagaimana media sosial memainkan peranan penting dalam membentuk atau membongkar naratif, memperkasa atau melemahkan individu, dan menarik khalayak asing memahami perkembangan setempat atau serantau.

“Kita sudahpun melepasi peringkat itu sekarang, dan melihat pada keadaan ini, kita tidak akan kembali lagi ke zaman ketika media sosial hanya digunakan sebagai cara untuk menghubungkan pengguna dalam talian,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Automotif Di Kulim: Lebih 5,000 Porsche Cayenne Dipasang, Apa Manfaatnya Kepada Ekonomi Malaysia?

Bila dengar cerita Porsche Cayenne dipasang di Kulim, mesti ada yang terus terfikir, “Eh, Porsche pun pasang dekat Malaysia?”

Apabila kita bercakap tentang pelaburan asing, perkara pertama yang sering terlintas ialah jumlah modal yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, pelaburan berkualiti bukan sekadar tentang berapa bilion ringgit yang dilaburkan. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang Malaysia dapat dalam jangka panjang?

Adakah pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah syarikat tempatan mendapat peluang menjadi vendor? Adakah teknologi dan kepakaran baharu dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan?

Lawatan teknikal Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ke fasiliti Inokom di Kulim pada 14 September 2026 memberikan gambaran tentang bagaimana pelaburan dalam sektor automotif boleh menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

Inokom Kulim: Hab pemasangan automotif bernilai strategik

Menurut Kementerian Kewangan, Inokom mengendalikan sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar di Kulim, Kedah.

Fasiliti ini kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model kenderaan, dengan jumlah lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi.

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, operasi Inokom turut mempunyai orientasi eksport, dengan kadar eksport mencecah 20%.

Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia bukan semata-mata untuk pasaran domestik. Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran automotif antarabangsa.

Porsche di Kulim: Daripada pemasangan kepada pemindahan kepakaran

Antara fasiliti yang menjadi tumpuan lawatan ialah kilang pemasangan Porsche, yang merupakan fasiliti pemasangan pertama Porsche di luar Eropah.

Fasiliti ini dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada keluasan 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menyokong pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé.

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim.

Persoalannya, apakah nilai sebenar di sebalik angka 5,000 unit ini?

Dalam industri automotif, pemasangan kenderaan berjenama premium memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, kawalan kualiti, kejuruteraan proses dan pemahaman terhadap piawaian pengeluaran global.

Ini bermakna manfaat pelaburan tidak semestinya terhad kepada nilai kenderaan yang dihasilkan. Ia juga boleh merangkumi pembangunan kemahiran, pengalaman operasi dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan proses pengeluaran yang lebih kompleks.

100% tenaga kerja rakyat Malaysia

Satu lagi perkara yang diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah tenaga kerja Inokom yang terdiri daripada 100% rakyat Malaysia.

Kementerian Kewangan turut berkongsi kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses.

Beliau kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Kisah ini menggambarkan salah satu aspek penting pelaburan berkualiti, iaitu pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan asing yang disertai peluang latihan, pengalaman teknikal dan laluan kerjaya boleh membantu meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia. Dalam jangka panjang, kemahiran ini berpotensi digunakan bukan sahaja dalam satu kilang, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem industri automotif.

Namun, untuk menilai kesan sebenar kepada pasaran buruh, data seperti jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan gaji, peluang kenaikan pangkat dan jumlah tenaga kerja yang menerima latihan khusus juga perlu dilihat.

RM3 bilion kepada vendor tempatan

Pelaburan dalam sektor automotif turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat yang berada di luar kawasan kilang.

Menurut Kementerian Kewangan, kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan, merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Inilah antara aspek penting dalam konsep kesan pengganda ekonomi.

Sebuah kilang automotif bukan hanya memerlukan pekerja di barisan pemasangan. Ia juga memerlukan pembekal komponen, syarikat logistik, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan gudang, kawalan kualiti dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang lain.

Apabila lebih banyak perolehan disalurkan kepada syarikat tempatan, peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana berkembang turut terbuka.

Bagaimanapun, nilai RM3 bilion tersebut perlu difahami mengikut skopnya. Ia merujuk kepada sumbangan kepada vendor tempatan yang dinyatakan oleh kementerian, dan tidak semestinya sama dengan nilai tambah bersih kepada ekonomi Malaysia atau keuntungan yang diperoleh oleh vendor.

Mengapa pemindahan teknologi penting?

Malaysia telah lama terlibat dalam industri pemasangan automotif. Tetapi cabaran utama adalah bagaimana untuk bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Dalam konteks ini, pelaburan berkualiti boleh dinilai melalui beberapa persoalan:

  1. Adakah syarikat tempatan mendapat peluang membekalkan komponen bernilai tinggi?
  2. Adakah tenaga kerja Malaysia menguasai teknologi dan proses pengeluaran baharu?
  3. Adakah lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan penyelidikan boleh dibangunkan di Malaysia?
  4. Adakah vendor tempatan mampu memenuhi piawaian pengeluar antarabangsa?
  5. Adakah syarikat tempatan berpeluang berkembang daripada pembekal biasa kepada pembekal strategik dalam rantaian bekalan global?

Semakin banyak aktiviti bernilai tinggi dapat dijalankan di Malaysia, semakin besar potensi pelaburan tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri tempatan.

GEAR-uP dan pendekatan capital-to-capabilities

Kementerian Kewangan mengaitkan perkembangan ekosistem Inokom dengan pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Secara asasnya, pendekatan ini menekankan bahawa modal dan pelaburan perlu digunakan untuk membina keupayaan negara.

Ini termasuk memperkukuh sektor strategik, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai.

Dalam sektor automotif, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kenderaan. Ia juga berkaitan dengan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, meningkatkan standard industri serta membina syarikat tempatan yang lebih berdaya saing.

Apa yang perlu diperhatikan selepas ini?

Perkembangan Inokom di Kulim menunjukkan bagaimana pelaburan automotif boleh dikaitkan dengan pekerjaan, vendor tempatan dan keupayaan industri.

Namun, untuk mengukur kejayaan pelaburan secara menyeluruh, beberapa indikator penting perlu dipantau dari semasa ke semasa:

  • Nilai tambah domestik: Berapa banyak nilai ekonomi yang benar-benar dihasilkan di Malaysia?
  • Kandungan tempatan: Berapa besar bahagian komponen dan perkhidmatan yang diperoleh daripada vendor tempatan?
  • Produktiviti pekerja: Adakah kemahiran dan produktiviti tenaga kerja meningkat?
  • Gaji dan kerjaya: Adakah pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan serta laluan kerjaya yang lebih baik?
  • Keupayaan vendor: Adakah syarikat tempatan berjaya memasuki rantaian bekalan global?
  • Aktiviti bernilai tinggi: Adakah Malaysia semakin terlibat dalam kejuruteraan, pembangunan teknologi dan penyelidikan automotif?

Kesemua indikator ini membantu membezakan antara pelaburan yang sekadar menambah kapasiti pengeluaran dengan pelaburan yang turut membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Pelaburan bukan sekadar angka modal

Daripada fasiliti pemasangan Porsche di Kulim kepada vendor tempatan dan tenaga kerja Malaysia, kesan sesuatu pelaburan perlu dilihat secara lebih luas.

Jumlah unit yang dipasang, nilai pelaburan dan kadar eksport memang penting. Tetapi nilai strategiknya juga terletak pada keupayaan untuk membangunkan bakat, memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Kerana pada akhirnya, pelaburan yang memberi kesan jangka panjang bukan sekadar membina kilang. Ia membina kemahiran, syarikat, teknologi dan peluang ekonomi untuk generasi seterusnya.