
20 Februari 2026 – Solarvest Holdings Berhad (“Solarvest”) telah mencatatkan pencapaian luar biasa dalam penilaian terbaharu Anugerah Tadbir Urus Korporat & Kelestarian Nasional 2025 / National Corporate Governance & Sustainability Awards (NACGSA) 2025.
Dalam satu penilaian bebas yang melibatkan 847 syarikat di Bursa Malaysia, Solarvest berjaya meraih penarafan tinggi yang meletakkan kumpulan tersebut dalam kelompok 11% terbaik daripada keseluruhan syarikat tersenarai.
Apa Itu Penarafan NACGSA?
Anugerah NACGSA anjuran Minority Shareholders Watch Group (MSWG) ini merupakan tanda aras penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur. Ia menilai syarikat berdasarkan beberapa dimensi utama:
- Kepimpinan lembaga pengarah.
- Hak pemegang saham.
- Amalan pendedahan maklumat syarikat.
- Prestasi kelestarian (sustainability).
- Penglibatan pihak berkepentingan.
Pencapaian Tertinggi 4-Bintang
Dalam penilaian kali ini, prestasi keseluruhan Solarvest telah melayakkan mereka menerima penarafan 4-bintang NACGSA, iaitu tahap penarafan yang paling tinggi.
Sistem penilaian ini sangat menyeluruh kerana ia menggabungkan tiga standard utama:
- ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS).
- Malaysian Code on Corporate Governance (MCCG).
- Standard laporan kelestarian yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia
Penilaian ini dibuat berdasarkan maklumat awam daripada Laporan Tahunan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024
Komitmen Terhadap ESG
Sebelum ini, pada Disember 2025, Solarvest juga telah memperoleh penarafan 4-bintang dalam FTSE4Good ESG Rating, yang merupakan tahap tertinggi dalam kategori tersebut. Ini menunjukkan hasil daripada penambahbaikan berterusan dalam kerangka kelestarian syarikat.
Siapa Sebenarnya Solarvest?
Solarvest bukan sekadar syarikat pasang panel solar dekat bumbung rumah atau kilang saja. Mereka bermula di Malaysia, tapi sekarang dah jadi “gergasi” tenaga bersih yang bertapak di 8 buah negara sekitar Asia-Pasifik. Setakat hari ini, portfolio projek tenaga boleh diperbaharui mereka dah mencecah lebih 3,200MW yang merupakan satu angka yang cukup besar untuk pemain industri hijau.
Bukan itu saja, mereka sekarang sedang ligat mengembangkan bisnes ke bidang teknologi masa depan seperti:
- Hidrogen Hijau & Storan Bateri: Teknologi simpan tenaga untuk kegunaan jangka panjang.
- Mobiliti Rendah Karbon: Fokus kepada solusi kenderaan elektrik (EV) dan kecekapan tenaga.
- Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC): Membantu syarikat lain untuk jadi lebih “hijau”.










