Jangan Kamikaze ‘All-In’ Modal Dalam Saham

Betul, melabur saham memang boleh rugi. Siapa cakap tak, dia memang membongak. Tapi kalau takut rugi pun, sampai bila-bila duit kita takkan bertambah.

Kuncinya bukan jangan melabur, tapi jangan melabur secara ‘kamikaze’.

Dalam dunia pelaburan saham, ada satu pantang besar: Jangan sesekali letak semua duit simpanan dalam satu tempat.

Ramai orang bila tengok kawan untung, dia pun rasa nak cuba. Lepas tu dia rasa kalau simpan sebulan dua, mesti boleh buat duit. Akhirnya, dia pergi transfer semua duit dalam bank terus beli satu saham ni.

Berani tu bagus, tapi kalau berani membuta tuli, itu namanya cari pasal.

Belajar Dari Kisah Lama

Ingat lagi tak masa zaman orang gila beli saham sarung tangan (glove) dulu? Masa tu semua orang sembang “beli sekarang, esok mesti dia naik lagi”.

Pada waktu kemuncak (Mei – Julai 2020), saham-saham “The Big Four” (Top Glove, Supermax, Hartalega, Kossan) bukan setakat naik sikit-sikit, tapi kerap mencecah Limit Up (kenaikan maksimum 30% dalam satu hari yang dibenarkan oleh Bursa Malaysia).

Kalau kita tengok gambar besar sepanjang tahun 2020:

  • Supermax: Harga sahamnya naik lebih 1,100% (11 kali ganda) dalam masa tak sampai setahun.
  • Top Glove: Keuntungan bersih syarikat melonjak sehingga 3,412% dalam satu suku tahun, yang memacu harga sahamnya naik mencacak setiap hari.

Walaupun harganya naik gila-gila sehari, harganya juga jatuh gila-gila. Selepas mencapai puncak, saham glove jatuh antara 80% hingga 90% daripada harga tertingginya.

Ramai yang habiskan semua duit simpanan sebab ingat benda tu nak naik lagi. Sekali harga jatuh menjunam dan ramai yang “terduduk”. Sebab apa? Sebab semua duit simpanan dia dah tersangkut. Nak beli lagi kat bawah bagi harga purata (average down) jadi rendah pun dah tak ada duit.

Bila dah sebulan dua harga tak naik-naik, mula la rasa sesak nafas. Nak pakai duit kecemasan tak boleh sebab duit semua dah jadi saham yang tengah rugi.

Kenapa Kena Pakai “Modal Ala Kadar”?

Walaupun plan korang nak simpan sebulan dua, ini sebab kenapa kena pecahkan modal:

  1. Kita Tak Tahu Apa Jadi Esok:
    Dalam masa sebulan dua, macam-macam boleh berlaku. Berita dunia ke, syarikat tu ada masalah ke. Kalau kita letak semua duit, sekali berita buruk keluar, kita yang putih mata.
  2. Biar Hati Tenang:
    Bila kita guna modal sikit, kita boleh tidur lena. Tak ada lah setiap 5 minit nak belek phone tengok harga saham. Bila hati tenang, kita tak buat keputusan ikut perasaan.
  3. Sentiasa Ada Peluang Kedua:
    Kalau kita masuk sikit dulu dan tiba-tiba harga jatuh sikit tapi syarikat tu sebenarnya bagus, kita ada baki duit lagi untuk beli sikit lagi masa harga murah. Tapi kalau dah “all-in” dari awal, kita mampu tengok je lah.

Cara Melabur Saham Yang Bijak:

Di MajalahLabur.com, kami selalu berpesan: Biar untung sikit tapi berterusan.

  • Pecahkan duit: Kalau ada RM1,000, cuba guna RM500 dulu. Tengok macam mana.
  • Jangan letak semua dekat satu tempat: Cuba pecah-pecahkan sikit dekat saham syarikat lain yang berbeza industri.
  • Simpan duit tunai: Sentiasa ada duit lebih dalam akaun trading. Mana tahu ada peluang lagi bagus bulan depan, kita masih ada “peluru” untuk digunakan.

Tak payah gelojoh nak untung berpuluh ribu sekelip mata.

Berani tu kena ada, tapi biar berani yang ada ilmu. Melabur biar tenang, baru hati senang. Bagi kita yang sibuk, pelaburan paling berbaloi adalah pelaburan yang tak ganggu kerja hakiki kita. Jadi, cari saham dengan trend yang ‘sihat’, masuk modal ala kadar dan tunggu.

Januari 2026 menyaksikan pasaran saham tempatan dipenuhi dengan momentum positif untuk saham-saham patuh Syariah. Dalam tempoh ini, beberapa syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan harga yang sangat ketara, didorong oleh kemasukan dana pelabur asing (foreign funds) walaupun pasaran keseluruhan kekal berhati-hati susulan faktor global dan sentimen makroekonomi.

Berikut ialah Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Untung pada bulan Januari 2026

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

DPS vs Dividend Yield: Ramai Pelabur Keliru, Ini Perbezaan Sebenarnya

Ramai pelabur membeli saham bukan semata-mata mengharapkan kenaikan harga, tetapi juga ingin menikmati pendapatan pasif melalui dividen.

Bagi syarikat yang mencatat keuntungan secara konsisten, sebahagian daripada keuntungan tersebut lazimnya akan diagihkan kepada pemegang saham dalam bentuk dividen. Semakin stabil sesebuah syarikat, semakin tinggi keyakinan pelabur terhadap keupayaannya membayar dividen secara berterusan.

Namun, apabila membaca laporan kewangan atau analisis saham, pelabur sering menemui dua istilah yang hampir sama tetapi mempunyai maksud yang berbeza, iaitu Dividend Per Share (DPS) dan Dividend Yield (DY).

Ramai menganggap kedua-duanya membawa maksud yang sama kerana kedua-duanya berkaitan dengan dividen. Hakikatnya, kedua-dua metrik ini mengukur perkara yang berbeza dan mempunyai kegunaan yang tersendiri.

Memahami perbezaan antara DPS dan Dividend Yield dapat membantu pelabur membuat keputusan yang lebih tepat, terutamanya apabila membandingkan saham-saham yang menawarkan dividen.

Apa Itu Dividend Per Share (DPS)?

Dividend Per Share atau DPS ialah jumlah dividen yang diterima bagi setiap unit saham yang dimiliki.

Dengan kata lain, DPS menunjukkan berapa banyak wang yang diagihkan oleh syarikat kepada pemegang saham bagi setiap saham.

Formula asasnya ialah:

DPS = Jumlah Dividen Dibayar ÷ Jumlah Saham Beredar

Sebagai contoh:

Sebuah syarikat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM100 juta dan mempunyai 500 juta unit saham.

Maka:

DPS = RM100 juta ÷ 500 juta = RM0.20 sesaham

Ini bermaksud setiap pemegang satu unit saham akan menerima dividen sebanyak 20 sen.

Jika anda memiliki:

  • 1,000 unit saham → Dividen diterima = RM200
  • 5,000 unit saham → Dividen diterima = RM1,000
  • 10,000 unit saham → Dividen diterima = RM2,000

Semakin banyak saham yang dimiliki, semakin besar jumlah dividen yang diterima.

Apa Yang DPS Beritahu Kepada Pelabur?

DPS memberi gambaran tentang kemurahan hati syarikat dalam mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham.

Jika sesebuah syarikat meningkatkan DPS setiap tahun, ia biasanya menunjukkan beberapa perkara positif:

  • Keuntungan syarikat semakin berkembang.
  • Aliran tunai syarikat berada dalam keadaan sihat.
  • Pengurusan yakin terhadap prospek perniagaan.
  • Syarikat komited memberikan pulangan kepada pemegang saham.

Contohnya:

TahunDPS
202210 sen
202315 sen
202420 sen
202525 sen

Peningkatan ini menunjukkan syarikat berjaya meningkatkan jumlah dividen yang diagihkan dari tahun ke tahun.

Namun begitu, DPS sahaja tidak cukup untuk menentukan sama ada sesuatu saham menawarkan pulangan dividen yang menarik.

Apa Itu Dividend Yield?

Dividend Yield ialah nisbah yang menunjukkan pulangan dividen yang diterima berbanding harga saham semasa.

Formula Dividend Yield ialah:

Dividend Yield = (DPS ÷ Harga Saham) × 100%

Nisbah ini membolehkan pelabur mengetahui berapa peratus pulangan dividen yang boleh diperoleh berdasarkan harga saham yang dibeli.

Contoh Pengiraan Dividend Yield

Contoh 1

Harga saham = RM2.00

DPS = 20 sen

Dividend Yield:

20 sen ÷ RM2.00 = 10%

Ini bermaksud pelabur memperoleh pulangan dividen sebanyak 10% daripada harga saham yang dibeli.

Contoh 2

Harga saham = RM10.00

DPS = 20 sen

Dividend Yield:

20 sen ÷ RM10.00 = 2%

Walaupun kedua-dua syarikat membayar DPS yang sama iaitu 20 sen, Dividend Yield mereka sangat berbeza kerana harga sahamnya juga berbeza.

Inilah sebab utama pelabur tidak boleh melihat DPS secara berasingan.

Mengapa Dividend Yield Lebih Kerap Digunakan?

Bayangkan anda ingin memilih antara dua saham berikut:

Syarikat ASyarikat B
Harga SahamRM2.00RM20.00
DPS20 sen50 sen

Pada pandangan pertama, Syarikat B kelihatan lebih menarik kerana DPS lebih tinggi.

Tetapi apabila dikira:

Syarikat A

Dividend Yield = 10%

Syarikat B

Dividend Yield = 2.5%

Walaupun DPS Syarikat B lebih besar, pulangan dividen relatif kepada harga saham sebenarnya jauh lebih rendah.

Inilah sebab Dividend Yield lebih sesuai digunakan apabila membuat perbandingan antara syarikat.

Adakah Dividend Yield Yang Tinggi Sentiasa Baik?

Jawapannya tidak semestinya.

Ramai pelabur baru hanya mencari saham yang mempunyai Dividend Yield paling tinggi.

Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

1. Harga Saham Jatuh Dengan Ketara

Kadangkala Dividend Yield meningkat bukan kerana syarikat membayar dividen yang lebih tinggi.

Sebaliknya, harga saham jatuh dengan mendadak.

Sebagai contoh:

Harga saham tahun lalu = RM8

DPS = 40 sen

Dividend Yield = 5%

Kemudian harga saham jatuh kepada RM4 tetapi DPS masih 40 sen.

Dividend Yield meningkat kepada 10%.

Nampak menarik, tetapi harga saham mungkin jatuh kerana syarikat sedang menghadapi masalah kewangan.

Oleh itu, pelabur perlu memahami punca Dividend Yield yang tinggi.

2. Dividen Tidak Mampan

Sesetengah syarikat membayar dividen yang tinggi untuk satu tahun sahaja. Namun keuntungan sebenar tidak cukup kukuh untuk mengekalkan pembayaran tersebut.

Akibatnya, pada tahun berikutnya dividen mungkin dikurangkan atau dihentikan terus. Pelabur yang hanya mengejar Dividend Yield berisiko kecewa apabila pembayaran dividen menurun.

Selain DPS dan Dividend Yield, Apa Lagi Yang Perlu Dilihat?

Pelabur tidak sepatutnya menilai saham hanya berdasarkan dividen.

Beberapa faktor lain juga penting, antaranya:

Earnings Per Share (EPS)

Keuntungan sesaham yang semakin meningkat memberi keyakinan bahawa syarikat mampu terus membayar dividen.

Dividend Payout Ratio

Nisbah ini menunjukkan berapa banyak keuntungan diagihkan sebagai dividen. Jika syarikat membayar hampir 100% daripada keuntungannya, ruang untuk pertumbuhan masa depan mungkin lebih terhad.

Sebaliknya, syarikat yang mempunyai payout ratio sederhana biasanya mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk melabur semula dalam perniagaan.

Aliran Tunai

Dividen dibayar menggunakan wang tunai. Oleh itu, syarikat yang mempunyai aliran tunai operasi yang kukuh lebih berupaya mengekalkan pembayaran dividen dalam jangka panjang.

Rekod Pembayaran Dividen

Lihat sejarah pembayaran dividen sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh tahun. Syarikat yang mampu membayar dividen secara konsisten walaupun ketika ekonomi perlahan lazimnya mempunyai model perniagaan yang lebih kukuh.

Jadi, Mana Yang Lebih Penting?

Jawapannya ialah kedua-duanya penting, tetapi digunakan untuk tujuan yang berbeza.

Gunakan DPS apabila anda ingin mengetahui:

  • Berapa banyak dividen yang diterima bagi setiap saham.
  • Sama ada jumlah dividen meningkat dari tahun ke tahun.

Gunakan Dividend Yield apabila anda ingin mengetahui:

  • Berapa peratus pulangan dividen berdasarkan harga saham semasa.
  • Membandingkan pulangan dividen antara beberapa syarikat.

Pelabur yang bijak akan melihat kedua-dua metrik ini secara serentak bersama prestasi kewangan syarikat.

Kesimpulan

Dividend Per Share (DPS) dan Dividend Yield ialah dua metrik penting yang sering digunakan oleh pelabur yang memberi tumpuan kepada saham dividen.

Walaupun kedua-duanya berkaitan dengan pembayaran dividen, fungsi dan tafsirannya adalah berbeza. DPS menunjukkan jumlah dividen yang diterima bagi setiap saham, manakala Dividend Yield menunjukkan kadar pulangan dividen berdasarkan harga saham semasa.

Namun, pelabur tidak seharusnya memilih saham hanya kerana Dividend Yield yang tinggi atau DPS yang besar. Apa yang lebih penting ialah memahami sama ada syarikat mempunyai keuntungan yang konsisten, aliran tunai yang kukuh dan kemampuan untuk mengekalkan pembayaran dividen pada masa hadapan.

Dalam pelaburan, dividen bukan sekadar tentang jumlah yang diterima hari ini. Ia juga mencerminkan kekuatan perniagaan dan keupayaan syarikat mencipta nilai kepada pemegang saham untuk jangka panjang.