FCPO: Pemulihan Harga Dilihat Bersifat Sementara; Keadaan Menurun Bertahan

  • Kekalkan pegangan jualan.

FCPO mengalami lantunan teknikal semalam apabila ia meningkat MYR101 untuk ditutup pada MYR4,117. Komoditi ini memulakan sesi dagangan pada harga MYR4,081. Ia jatuh ke paras terendah intrahari pada
MYR4,044 sebelum pedagang yang menjangkakan kenaikan masuk dan mendorongnya ke paras MYR4,124. Meskipun harga ditutup pada paras lebih tinggi, pergerakan menaik ini hanya dilihat sebagai fasa koreksi dalam trend penurunan.

Komoditi ini masih berada bawah garisan SMA 200 hari, yang bertindak sebagai paras rintangan atas yang dinamik. Bagi pergerakan menaik, paras rintangan yang kukuh dijangka muncul pada paras MYR4,250. Berdasarkan keadaan teknikal ini, pedagang yang menjangkakan penurunan harga masih memegang kelebihan teknikal. FCPO mungkin meneruskan fasa koreksinya apabila ia gagal untuk menembusi paras rintangan atas. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif.

Kami sarankan para pedagang untuk kekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 10 Feb atau MYR4,095. Bagi menangani risiko dagangan, paras ambang henti rugi sekarang ditetapkan pada MYR4,250.

Paras sokongan terdekat adalah pada MYR4,000, diikuti oleh MYR3,850. Sementara itu, paras rintangan terdekat sekarang ditambat pada MYR4,250 dan disusuli oleh paras rintangan lebih tinggi pada MYR4,400.

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian