
KUALA LUMPUR: Pengeluar kabel dan wayar, Southern Cable Group Bhd terus mengukuhkan aliran tempahan bagi menyokong pengembangan infrastruktur tenaga Malaysia selepas memperoleh kontrak tambahan bernilai RM403.6 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Syarikat dalam satu kenyataan berkata kontrak yang dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn Bhd itu merangkumi bekalan kabel kuasa bawah tanah dan pengalir kepada Bahagian Rangkaian Pengagihan TNB.
Perjanjian berkenaan merupakan pelaksanaan opsyen tambahan di bawah kontrak asal yang diberikan pada Februari 2025, sekali gus melanjutkan tempoh bekalan selama satu tahun tambahan bermula Ogos 2026 hingga Ogos 2027.
Dengan kontrak baharu itu, jumlah tempahan dalam tangan kumpulan meningkat melebihi RM1 bilion, sekali gus memberi visibiliti pendapatan yang jelas sehingga 2027.
Pengarah Urusan Southern Cable Group Bhd, Tung Eng Hai berkata kontrak tambahan itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap kabel kuasa serta mengesahkan keupayaan teknikal syarikat dalam memenuhi piawaian kebolehpercayaan ketat untuk grid nasional.
Beliau berkata sektor tenaga Malaysia terus mencatat pertumbuhan kukuh dipacu integrasi tenaga boleh baharu, perkembangan pesat pusat data serta pembangunan industri.
“Walaupun kami mengekalkan penghantaran konsisten bagi tempahan sedia ada, kami terus memperluas kapasiti dan portfolio produk untuk merebut peluang pertumbuhan,” katanya.
Southern Cable berkata prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat disokong oleh inisiatif pengembangan, termasuk pengukuhan peranannya dalam pembangunan infrastruktur tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Sejak 2025, kumpulan itu telah memperoleh kontrak dengan TNB berjumlah lebih RM900 juta.
Selain itu, syarikat itu baru-baru ini memperoleh pensijilan produk bagi kabel penghantaran bawah tanah berkapasiti tinggi dengan saiz konduktor sehingga 1,600 milimeter persegi, sekali gus meningkatkan keupayaan untuk menyokong pembangunan grid masa depan.
Bagi menyokong tempahan jangka panjang, rancangan penambahan kapasiti sebanyak 5,000 kilometer menjelang akhir 2026 dijangka memperkukuh keupayaan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.










