UOA Development Catat Untung Lebih Tinggi Sebanyak RM91.71 Juta Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) — UOA Development Bhd (UOA Development) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM91.71 juta pada suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 berbanding RM61.05 juta bagi suku yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM130.16 juta pada suku tinjauan daripada RM99.22 juta sebelumnya, terutamanya daripada pengiktirafan progresif projek pembangunan berterusan kumpulan itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata antara projek terlibat ialah Bamboo Hills Residences, Aster Hill, sebuah pusat perubatan di Bangsar South dan Laurel Residence.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM165.66 juta berbanding RM110.75 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan melonjak kepada RM282.27 juta berbanding RM169.47 juta sebelumnya.

Mengenai prospek, UOA Development berkata jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 30 Jun 2025 berjumlah RM413.0 juta, dengan Bamboo Hills Residences, Laurel Residence, Aster Hill, dan Duo Tower menyumbang sebahagian besar daripada urus niaga tersebut.

“Jualan tidak dibilkan berjumlah RM888.1 juta pada suku akhir, yang diiktiraf sebagai projek yang akan siap pada tahun-tahun akan datang.

“Sehubungan itu, kumpulan ini kekal komited untuk meneroka petak tanah strategik yang sejajar dengan dan memenuhi objektifnya,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.