Moody’s Naikkan Julat Harga Msm Kepada RM3,800–RM4,200 Satu Tan Berikutan Permintaan Kukuh

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) — Moody’s Ratings meningkatkan julat sensitiviti harga jangka sederhana minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,800–RM4,200 setiap tan daripada RM3,400–RM3,800 sebelum ini, berikutan permintaan kukuh di Indonesia dipacu oleh mandat biodiesel dan pertumbuhan pengeluaran yang sederhana di Asia.

Agensi penarafan itu berkata harga dijangka kekal disokong sepanjang 12 bulan akan datang.

Berdasarkan anggaran terkini, keuntungan bagi pengeluar yang mendapat penarafan seperti Sime Darby Plantation Bhd dan IOI Corporation Bhd akan kekal kukuh dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, katanya.

“Kami menjangkakan permintaan global akan bertambah kukuh menjelang penghujung 2025 berikutan pembeli menambah semula stok menjelang tarikh akhir Peraturan Pencabangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) pada 30 Disember 2025,” kata Moody’s dalam satu kenyataan.

Moody’s turut memaklumkan bahawa Sime Darby Plantation telah membuat penghantaran pertama yang sepenuhnya mematuhi EUDR ke Eropah pada September 2024, jauh lebih awal sebelum peraturan tersebut dilaksanakan.

IOI juga mengambil langkah memastikan pematuhan termasuk pelancaran platform data room pada bulan lepas untuk menyokong usaha wajar para pemegang kepentingan.

Menurut Moody’s harga MSM turun kepada RM3,780 setiap tan pada Mei 2025 daripada sekitar RM5,000 pada penghujung 2024 disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi, permintaan yang rendah serta ketidaktentuan yang berkaitan dengan dasar perdagangan Amerika Syarikat. Harga kemudiannya pulih semula melebihi RM4,400 setiap tan pada 22 Ogos 2025.

Pengeluaran di Indonesia dan Malaysia, yang menyumbang lebih 80 peratus daripada keluaran global dijangka meningkat secara sederhana pada 2025 hingga 2026.

Di Malaysia, peningkatan ketersediaan tenaga buruh akan membantu pengeluaran walaupun menghadapi cabaran pokok yang sudah tua dan kadar penanaman semula yang lebih perlahan daripada jangkaan.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosi dan membangunkan sektor ini, mengunjurkan pengeluaran akan meningkat kepada 19.5 juta tan pada 2025 berbanding 19.3 juta tan pada 2024,” kata Moody’s.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840