Dah Ada Kad Perubatan Daripada Syarikat, Perlukah Ambil Kad Perubatan Individu Lagi?

Dalam pengurusan kewangan, pelan perlindungan sentiasa dititik-beratkan. Tujuan sebenar pelan perlindungan ini adalah untuk melindungi simpanan yang telah kita kumpul, agar ianya tidak digunakan untuk kos perubatan hospital yang boleh mencecah ribuan ringgit, atau puluhan ribu ringgit.

Bayangkan kalau semua simpanan kita ‘licin’ sebab nak bayar bil perubatan, dan kos hospital serta ubat pula meningkat saban tahun.

Tidak dinafikan, terdapat sesetengah majikan yang telah menyediakan manfaat kad perubatan kepada para pekerja mereka. Ianya merupakan salah satu daripada manfaat bagi menarik orang ramai untuk bekerja dengan syarikat tersebut.

Mula Rasa ‘Selamat’ Dah Ada Kad Perubatan Daripada Syarikat

Apabila ini berlaku, ramai yang memandang remeh daripada mengambil kad perubatan sendiri, dengan alasan telah memiliki pelan perlindungan dan kad perubatan daripada syarikat tempat bekerja.

Kenapa anda masih perlu menyediakan kad perubatan sendiri meskipun telah mempunyai manfaat kad perubatan yang telah dipayung oleh syarikat?

Berikut adalah merupakan 3 sebab penting mengapa anda perlu memilki kad perubatan individu sendiri.

1. Tidak Selamanya Bekerja

Pernah atau tidak terlintas di fikiran anda yang suatu hari nanti anda akan terpaksa berhenti kerja? Atau lebih teruk lagi diberhentikan? Malang tidak berbau dan lebih membimbangkan lagi kalau dah jatuh ditimpa tangga pula. Kerja dah tak ada, kad perubatan pun tak ada juga.

2. Manfaat Rendah

Kalau diikutkan, kad perubatan yang kita dapat daripada syarikat tempat bekerja, biasanya mengikut kepada ‘ranking’ kita dalam syarikat. Kalau kita seorang executive atau non-exec, sudah pasti perlindungan yang ditawarkan lebih rendah daripada mereka yang berada di peringkat pengurusan, lebih rendah daripada mereka yang berada di peringkat pengurusan senior, dan akhirnya lebih rendah daripada bos-bos besar seperti CEO, Managing Director dan yang seangkatan dengannya.

Dan disebabkan ini jugalah, manfaat had tahunan bagi seorang pekerja biasa adalah rendah, berbanding jika kita ambil kad perubatan individu yang menawarkan manfaat dan had tahunan yang lebih tinggi.

3. Bayaran Bulanan Lebih Tinggi

Rata-rata mereka yang telah mencecah usia 55-60 tahun dan mahu pencen, golongan inilah yang paling memerlukan kad perubatan. Tapi bila dah berhenti kerja, kegunaan kad perubatan pun terhenti juga.

Jadi bila umur lanjut baru nak ambil kad perubatan individu, bayaran bulanan sudah pasti lebih mahal jika dibandingkan anda ambil di usia muda.

4. Sakit Tak Mengenal Usia, Tapi Lagi Berusia Lagi Mudah Nak Jatuh Sakit

Kebanyakan kad perubatan melindungi kita sampai umur 70 tahun saja, tapi ada juga yang sampai umur 100 tahun. Bila ada kad perubatan sendiri tu, tengok juga tempoh perlindungan – kalau boleh ambil yang beri perlindungan sampai 100 tahun.

Ini kerana mengikut statistik, jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat dengan lelaki berada pada umur 72.5 tahun manakala wanita pula berada pada umur 77.4 tahun.

Hanya 15% Rakyat Malaysia Ada Takaful

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh RAM Rating Services Bhd pada Mac 2017, hanya 15% sahaja daripada rakyat Malaysia yang menyertai pelan perlindungan Takaful. Kadar ini adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan 41% rakyat Malaysia yang memiliki perlindungan Life Insurance atau Insurans Hayat Konvensional.


Sumber: The Star Online

Mungkin sebab terlalu bergantung kepada manfaat dan perlindungan yang diberikan oleh pihak syarikat, sehingga menyebabkan kita lalai daripada mempunyai perlindungan Takaful individu dan keluarga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Industri Takaful Kekal Momentum Stabil Sebagai Rangkaian Keselamatan Sosial Utama

Kuala Lumpur, 10 Jun 2026 – Industri Takaful Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang berdaya tahan sepanjang tahun 2025 menerusi prestasi yang stabil, sekali gus mengukuhkan peranan utamanya dalam melindungi kestabilan kewangan rakyat. Mencerminkan trajektori pasca-pandemik yang semakin stabil dan asas industri yang jauh lebih besar, sektor ini berkembang sebanyak 4.73% pada 2025 dengan menjana jumlah sumbangan kasar RM16.38 bilion

Didorong oleh prestasi stabil ini, pengendali Takaful secara kolektif telah mengagihkan sebanyak RM10.61 bilion dalam bentuk manfaat kepada pemegang sijil pada 2025. Langkah ini memperkukuh semangat teras Takaful sebagai perlindungan yang diyakini ketika rakyat Malaysia amat memerlukannya. 

Segmen Takaful Keluarga terus mencatatkan pembayaran tertinggi sebanyak RM7.91 bilion, dengan tuntutan perubatan kekal sebagai komponen terbesar. Jumlah ini berada pada paras yang lebih tinggi berbanding RM7.89 bilion yang disalurkan tahun lalu, membuktikan peranannya yang berterusan sebagai jaringan keselamatan sosial. 

Sementara itu, segmen Takaful Am telah melunaskan tuntutan sebanyak RM2.70 bilion, iaitu peningkatan 16.88% daripada RM2.31 bilion pada 2024, berikutan tuntutan kenderaan bermotor kekal sebagai komponen terbesar daripada jumlah pembayaran. 

Di samping menyediakan perlindungan kewangan, industri Takaful terus menjana nilai bersama (shared value) menerusi sumbangan zakat sebanyak RM52.25 juta bagi menyokong agenda pembangunan komuniti. Selain itu, sejumlah RM1.30 bilion sumbangan lebihan serta manfaat kritikal telah diagihkan kepada peserta yang layak pada tahun 2025. Usaha ini menzahirkan prinsip teras Takaful yang berasaskan kerjasama mutlak, kesaksamaan serta tanggungjawab bersama.   

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan meraih manfaat daripada kelebihan unik perlindungan Takaful, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) terus mempergiat inisiatif jangkauan di seluruh negara di bawah agenda strategik Takaful4All dan Hijrah27. Menerusi program celik kewangan, aktiviti di kampus, kerjasama strategik, dan libat urus komuniti, usaha ini berjaya mendekati lebih 120,000 rakyat Malaysia merangkumi komuniti di bandar, luar bandar dan terpinggir. Langkah ini secara langsung memupuk daya tahan kewangan yang lebih kukuh serta meluaskan akses kepada perlindungan Takaful. 

Takaful Keluarga

Jumlah bayaran yang lebih besar pada tahun ini didorong oleh pertumbuhan kecil dalam bilangan sijil Takaful Keluarga berkuat kuasa. Sejumlah 861,956 sijil Takaful Keluarga baharu telah dikeluarkan sepanjang tahun, membawa kepada jumlah keseluruhan 6.74 juta sijil berkuat kuasa selepas mengambil kira faktor matang semula jadi, tamat tempoh, penggantian dan penamatan sijil. Berbanding 993,393 sijil Takaful Keluarga baharu yang dicatatkan pada 2024, kadar pertumbuhan ini menunjukkan pasaran perolehan perniagaan baharu yang lebih stabil kesan daripada persekitaran pasaran yang terus berkembang.   

Dari segi sumbangan, perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatatkan prestasi mendatar namun stabil pada RM9.74 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM10.00 juta berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, sumbangan perniagaan berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion pada tahun 2024, sebahagian besarnya disokong oleh produk produk jenis simpanan dalam segmen Perniagaan Takaful Keluarga Biasa Individu. 

Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam landskap perlindungan yang lebih luas, dengan sebahagian sumbangan perniagaan baharu meningkat sedikit kepada 39.44% berbanding 39.16% pada tahun 2024.  

Prestasi mampan segmen ini menunjukkan kualiti sumbangan yang semakin kukuh serta keyakinan tinggi pengguna terhadap penyelesaian perlindungan patuh Syariah. Lonjakan 15.34% bagi purata saiz kes kepada RM11,300 daripada RM9,797 membuktikan bahawa program jangkauan industri sebelum ini telah mula membuahkan hasil dalam bentuk komitmen perlindungan jangka panjang yang lebih berkualiti tinggi dan bukan sekadar bersandarkan pertumbuhan kuantiti. 

Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh usaha bersama industri untuk mendekati rakyat Malaysia. Ini membolehkan kadar penembusan Takaful Keluarga kekal stabil pada paras 19.63% pada tahun 2025 (2024: 19.57%), meskipun jumlah penduduk Malaysia meningkat kepada 34.33 juta (2024: 34.10 juta). Prestasi yang stabil ini menunjukkan peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap Takaful sebagai jaringan keselamatan sosial, hasil sokongan program jangkauan serta usaha kesedaran. Selain itu, penyediaan produk Mikrotakaful yang lebih mampu milik dan mudah diakses oleh komuniti oleh komuniti yang kurang mendapat liputan turut menyumbang kepada kestabilan kadar penembusan ini. 

Usaha industri juga mendorong lebih ramai peserta mengekalkan sijil mereka, yang menghasilkan kadar luput sijil lebih rendah biarpun dalam persekitaran inflasi. Peningkatan bilangan sijil berkuat kuasa (2025: 6.74 juta, 2024: 6.69 juta) jelas membuktikan perkembangan positif ini. 

Takaful Am

Prestasi positif segmen Takaful Am berterusan bagi tahun 2025, dengan sumbangan bertulis kasar meningkat 12.38% kepada RM6.64 bilion daripada RM5.91 bilion pada tahun 2024. 

Takaful kenderaan terus menjadi pemacu utama segmen ini dengan menyumbang komponen terbesar iaitu sekitar 69.00% daripada sumbangan bertulis kasar (RM4.59 bilion). Angka ini mencatatkan pengembangan sebanyak 12.57%, selari dengan fasa akhir rekod jualan kenderaan baharu negara yang mencecah paras tertinggi sebanyak 820,752 unit.  

Sehubungan itu, tuntutan kenderaan membentuk peratusan terbesar bagi pembayaran tuntutan Takaful Am. Pengendali Takaful telah membayar sebanyak RM2.40 bilion untuk tuntutan kenderaan, iaitu merangkumi 88.97% daripada jumlah tuntutan bersih keseluruhan.  

Perniagaan Takaful bukan kenderaan turut berkembang pada tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 11.95%. Takaful kebakaran merekodkan RM1.11 bilion dlaam sumbangan bertulis kasar, iaitu kenaikan 10.43% berbanding tahun 2024, manakala Takaful kemalangan diri meningkat kepada RM422.67 juta, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 8.93%. Prestasi positif segmen bukan kenderaan ini didorong oleh pengenalan produk khusus bagi menyokong PKS, selaras dengan komitmen industri dalam menghasilkan impak sosial, memperkasakan pembangunan

PKS, serta menyediakan penyelesaian inovatif demi memelihara ketahanan ekonomi. 

Bagi saluran pengedaran, saluran agensi terus mendominasi pasaran pada 2025 dengan pegangan 61.50% daripada sumbangan bertulis (2024: 62.67%). Ini diikuti oleh Bancatakaful sebagai penyumbang kedua terbesar sebanyak 13.37% (2024: 13.63%). Sementara itu, saluran perniagaan langsung serta platform dalam talian terus berkembang secara berfasa, masing-masing merekodkan 8.45% dan 6.73% (2024: 7.64% dan 6.58%).

Pengerusi Interim MTA, Encik Borhanudin Samsudin berkata, “Mandat kami adalah untuk memastikan penyelesaian Takaful sentiasa tersedia, mampu diakses dan berdaya tahan melalui penerapan perantaraan berasaskan nilai. Memandangkan asas industri semakin besar, usaha untuk mengekalkan pertumbuhan secara semula jadi menjadi lebih kompleks. Oleh itu, fokus kami kini beralih ke arah mengekalkan dan mewujudkan ekosistem Takaful yang berkembang selari dengan realiti ekonomi masyarakat Malaysia yang dinamik dan semakin mencabar.”

“Sasaran kami adalah bagi memperluas akses perlindungan kepada komuniti terpinggir dan memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan boleh dipercayai. Oleh itu, saya bersyukur kerana inisiatif peringkat industri untuk memantapkan landskap Takaful berjalan lancar, dengan lebih 60% daripada sasaran Hijrah27 telah dicapai setakat tahun 2025. Melangkah ke hadapan, perluasan program seperti Program Perlindungan iTEKAD bakal memainkan peranan kritikal bagi membantu golongan rentan, ini termasuk usahawan mikro dan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat.”

“Bagi tahun ini, sasaran kami adalah untuk merealisasikan pencapaian 80% daripada pelan strategik Hijrah27. Tumpuan utama bakal diberikan kepada aspek Kesedaran Takaful serta Pembangunan Bakat. Usaha ini akan dipacu dengan sokongan kuat melalui kerjasama baharu kami bersama Financial Industry Collective Outreach (FINCO), Asian Institute of Insurance (AII), dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF),” tambah beliau. 

Melangkah ke hadapan, MTA telah menggariskan tiga keutamaan bagi tahun 2026: memastikan perlindungan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluas perlaksanaan Hibah sebagai instrumen perlindungan harta, serta memacu perlaksanaan liberalisasi berfasa bagi sektor Takaful Am demi mengekalkan kestabilan pasaran. Bagi menyokong keutamaan ini, MTA akan memberi fokus kepada pengukuhan rangka kerja industri dan keselarasan regulasi, memperbanyak kolaborasi strategik di peringkat serantau mahupun global, serta meningkatkan tahap profesionalisme tenaga kerja agensi. Usaha ini bertujuan untuk memperkasakan daya tahan, daya saing, dan keupayaan industri dalam memenuhi keperluan peserta yang sentiasa berubah dalam persekitaran yang semakin kompleks.  “Tatkala berdepan dengan fasa yang penuh cabaran, jaringan keselamatan sosial yang kukuh menjadi satu keperluan mutlak dan bukannya sekadar pilihan. Di sebalik landskap pasaran yang lebih mengecil tahun ini, komitmen berterusan peserta untuk mengekalkan sijil mereka akan menjadi asas utama yang membolehkan pengendali Takaful menunaikan janji perlindungan bersama secara konsisten,” tambah Encik Borhanudin.