Takaful Malaysia Lancar Kaotim, Jenama Platform Digital Baharu Dengan Kad Perubatan Dalam Talian

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) melancarkan Kaotim, platform digital baharu yang menyediakan kad perubatan dalam talian bagi rakyat Malaysia, bersempena dengan ulang tahun ke-39 pengendali takaful itu.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Nor Azman Zainal berkata Kaotim merupakan inisiatif digital Takaful Malaysia yang menawarkan MediKad, pelan perlindungan perubatan dengan tiga pelan mampu milik bermula RM38 sebulan dan had tahunan sehingga RM1.1 juta dengan pilihan rider, MediBooster.

Beliau berkata pelan itu ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur enam hingga 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun.

“Dengan pendaftaran dalam talian empat langkah dan soal selidik perubatan ringkas tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, keperluan perlindungan pelanggan akan dilindungi serta-merta,” katanya selepas pelancaran Kaotim di sini hari ini.

Beliau berkata objektif jenama itu menyasarkan segmen pelanggan yang meluas sambil memenuhi keperluan pelanggan.

“Kini, perlindungan perubatan sangat mahal, kami cuba mengurangkan beban rakyat melalui gabungan keperluan pelanggan dan digital,” katanya.

Beliau berkata memandangkan pasaran kini semakin berkembang, matlamat jangka panjang untuk inovasi adalah dengan mengekalkan dan memastikan jenama dan syarikat terus relevan dalam pasaran.

“Ini adalah permulaan bagi Kaotim yang memiliki keunikan, perkhidmatan yang pantas dan harga yang berpatutan. Pada masa hadapan, akan ada lebih banyak produk yang dilancarkan di bawah jenama ini,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Takaful Malaysia, pengendali takaful itu berkata pelanggan boleh mendaftar untuk MediKad dalam talian melalui Kaotim, pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dalam beberapa minit dengan hanya beberapa klik dan terus dilindungi pada hari yang sama.

Ia berkata melalui teknologi inovatif dan identiti jenama yang menyerlah, Kaotim kini bersedia menjadi pembeza utama berdasarkan cadangan nilai pelanggan, memberikan syarikat kelebihan dan hubungan dengan pelanggan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI