Keuntungan Bersih Nestle Malaysia Bagi Suku Ketiga Meningkat Kepada RM114.0 Juta

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle) meningkat kepada RM114.0 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2025 (S3 2025) daripada RM85.4 juta setahun sebelumnya.

Perolehan melonjak 21.9 peratus kepada RM1.76 bilion daripada RM1.45 bilion pada suku yang sama sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestle berkata pertumbuhan itu disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport, disokong oleh asas perbandingan yang rendah pada suku ketiga 2024.

“Prestasi kumpulan itu membuktikan bahawa strategi komersial dan keupayaan pengedarannya yang terus relevan, disokong oleh kepercayaan pengguna yang berterusan terhadap jenamanya.

“Ia kekal komited untuk memenuhi jangkaan rakyat Malaysia terhadap kualiti, rasa dan nutrisi, sambil mengukuhkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kemampanannya,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2025, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM387.50 juta berbanding RM374.52 juta setahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM5.20 bilion daripada RM4.75 bilion sebelumnya.

Nestle berkata pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik dan pengembangan dua digit dalam jualan eksport, sekali gus mencerminkan daya saing kumpulan itu di peringkat global dalam portfolio produk keluaran Malaysia yang 100 peratus diperakui halal.

Oleh itu, kumpulan itu mengesahkan semula panduan terdahulu dan kekal komited untuk memberikan nilai mampan melalui inovasi, kecemerlangan operasi dan strategi yang berpusatkan pengguna.

Katanya, janji untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang saham dan mencipta nilai yang bermakna kepada semua pihak berkepentingan kekal menjadi keutamaan kumpulan itu, disokong oleh produk diperakui halal buatan Malaysia. — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Persidangan Pengguna & Penjagaan Kesihatan: Pelaburan Selamat Ketika Menghadapi Risiko Luaran Semasa

Saranan WAJARAN TINGGI dikekalkan terhadap sektor Pengguna dan Penjagaan Kesihatan; Saham Pilihan Utama: Nestle, Eco-Shop Marketing, Mr DIY Group, KPJ Healthcare (KPJ), LAC Med (LACMED), Duopharma Biotech (DBB)

Baru-baru ini, kami menganjurkan persidangan bertajuk “Sektor Pengguna dan Penjagaan Kesihatan: Pelaburan Selamat Ketika Menghadapi Risiko Luaran Semasa” yang menampilkan lebih 60 pelanggan institusi kerana kami percaya penganjuran persidangan yang lain daripada yang lain ini berjaya memancing sambutan hebat daripada golongan pelabur. Berbeza dengan persidangan biasa yang sering mempersembahkan syarikat tersenarai yang biasa didengari, acara kami menampilkan 10 penceramah rata-ratanya daripada firma persendirian dan persatuan, bagi menawarkan sudut pandangan industri yang baharu dan eksklusif.

Profil bertahan teguh, dengan pencarian nilai lebih giat

Menerusi perbincangan dalam persidangan ini, pandangan kami tentang profil bertahan sektor pengguna dapat disahkan apabila disokong oleh tahap penggunaan domestik yang kukuh dan sikap pencarian nilai. Walaupun kebanyakan penceramah dilihat mengambil pendirian yang lebih berhati-hati, perbincangan yang berlaku menunjukkan bahawa pasaran masih menyajikan peluang-peluang untuk perniagaan mengambil langkah penyesuaian bagi memenuhi sikap pengguna yang berubah-ubah, dibantu oleh tahap pekerjaan yang stabil dan dasar-dasar fiskal yang menguntungkan.

Permintaan pengguna dilihat terus bertahan untuk barangan keperluan, barangan asasi, makanan, barangan runcit yang bernilai, produk mudah beli, dan barangan mewah mampu milik, sementara barangan bawah kategori bukan keperluan utama mungkin memerlukan penawaran nilai yang lebih tinggi untuk memacu keuntungan.

Peralihan kepada “barangan bernilai yang berpatutan”, selain tahap penggunaan lebih tinggi dalam kecerdasan buatan (AI) untuk memahami kemahuan-kemahuan pengguna, mengoptimumkan tahap inventori, dan memperkemaskan penetapan harga atau promosi harga, sekiranya ia dapat memastikan perniagaan terus relevan dan margin terjaga. Secara keseluruhan, persidangan ini mengukuhkan lagi pandangan positif kami pada sektor ini, dengan keutamaan diberikan pada kategori-kategori barangan keperluan, skala operasi perniagaan yang kukuh, dan ekonomi yang mencari nilai.

Daripada jangka hayat kepada jangka kesihatan

Berdasarkan sesi perbincangan yang menyentuh soal sektor penjagaan kesihatan, sifat kebertahanan pengendalipengendali hospital disahkan terjamin menerusi demografik penduduk semakin menua dan pertumbuhan jumlah pesakit dalam jangka panjang, sementara skop operasi sektor penjagaan kesihatan ditekankan beransur-ansur berkembang dan tidak terikat dengan merawat penyakit semata-mata, malah bergerak ke arah menjaga kesihatan untuk jangka panjang. Jangka hayat penduduk di Malaysia terus meningkat, namun jurang tersebut dengan jangka hayat kesihatan yang sebenarnya menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang menghabiskan zaman tua mereka dengan penyakit kronik atau kecacatan.

Demi menangani keadaan membimbangkan ini, sektor pengguna memberikan penekanan lebih besar terhadap penjagaan kesihatan pencegahan, usia yang panjang, dan kesejahteraan penduduk secara amnya, dengan tahap kesanggupan penduduk yang semakin meningkat untuk berbelanja bagi mengurangkan masalah kesihatan pada masa hadapan. Hal ini jelas menerusi perbelanjaan kesihatan yang kian berkembang merentasi ujian saringan kesihatan, diagnostik, makanan tambahan, ubat-ubatan yang disesuaikan mengikut keadaan pesakit, dan ubat-ubatan tradisional dan sampingan.

Kami tidak melihat kesihatan dan kesejahteraan pencegahan sebagai suatu yang menggantikan perkhidmatan hospital tradisional, tetapi sebagai pengembangan kepada ekosistem penjagaan kesihatan secara amnya di luar skop penjagaan akut, dengan hospital swasta, makmal diagnostik, penyedia saringan kesihatan, nutraseutikal, dan platform kesihatan digital mungkin akan meraih perbelanjaan tambahan.

Pilihan Utama

Bakal penerima manfaat utama dalam liputan kajian kami disertakan dalam jadual di bawah

Persidangan Pelabur RHB: Pelaburan Selamat Ketika Menghadapi Risiko Luaran Semara

Pengguna: Kemunculan peluang baharu daripada trend-trend baharu

Penjagaan Kesihatan: Perkembangan ekonomi kesejahteraan yang dibiayai sendiri oleh pengguna

Penganalisis
Wei Siang Soong +60 323028130 ([email protected]) & Eddy Do +60 323028125 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.