16 Tips Pengurusan Kewangan Peribadi

Pengurusan kewangan bukanlah perkara yang sepatutnya diambil ringan. Jika tidak diurus dengan baik, isu kewangan ini akan membawa kepada kemudaratan.

Masalah pengurusan kewangan ini terjadi kepada mereka yang makan gaji ataupun yang bekerja sendiri. Tidak kisahlah berapa banyak pun pendapatan yang ada, jika tidak diuruskan dengan baik memang akan berasa sesak sebelum sampai hujung bulan.

Bila dah tak cukup mulalah kita meminjam sana sini, berhutang sana sini untuk cukupkan keperluan kita. Jom kita tengok beberapa pengurusan kewangan peribadi yang boleh kita amalkan.

1. Kira Pendapatan Bersih Sebulan

Bagi mereka yang sudah berpengalaman mungkin benda ini dah biasa buat, tapi bagi orang muda yang baru bekerja bila dapat gaji contohnya RM2,500; terus terbayang-bayang di kepala nak beli apa.

Bawa bertenang, kita kena ambil tahu dulu berapa pendapatan bersih. Gaji kena tolak dulu dengan kos yang kita wajib selesaikan seperti:

  • Kos minyak pergi balik kerja
  • Pinjaman kereta
  • Pinjaman rumah
  • Bayaran tol pergi balik kerja
  • Parking
  • Makan minum
  • Bil telefon, internet, elektrik, air

Dan bermacam-macam lagi kos untuk meneruskan kehidupan yang perlu kita sediakan setiap bulan.

2. Kawal Nafsu Belanja

Ini benda biasa yang terjadi, kita tak sepatutnya belanja ikut nafsu tapi belanja ikut keperluan. Kadang-kadang orang bagi alasan “dah penat kerja sebulan kenalah bagi habuan sikit untuk diri sendiri”.

Ayat ini memang ada betulnya tapi kena pastikan kita benar-benar mampu.

3. Tetapkan Sasaran

Nak tahu kenapa duit kita tak pernah cukup? Sebab kita tidak merancang, bila tak merancang confirm kita menempah kegagalan.

Luangkan masa untuk belajar, ambil kursus pengurusan kewangan atau minta nasihat dari orang tua. Kalau susah sangat pergi saja ke YouTube dan taip “pengurusan kewangan”, ada video yang anda boleh lihat dan belajar.

OK cukuplah kita senaraikan 3 punca orang gagal dalam mengurus kewangan, sebenarnya banyak lagi boleh cari bacaan tambahan di google dan sebagainya.

4. Buat Akaun Simpanan Berasingan

Buat satu akaun khas untuk anda menyimpan sahaja dalam itu, akaun ini tak akan sesekali diusik kecuali ada hal kecemasan. Dan yang lebih baik anda buat akaun simpanan ini tanpa kad debit, maksudnya minta pada bank kita nak buku simpanan sahaja.

5. Simpan Resit

Tips ini saya dapat melalui seorang rakan. Katanya jika kita simpan resit, kita akan mudah jejak ke mana duit kita dibelanjakan sebab ada tarikh dan catatan semasa kita berbelanja pada waktu itu.

Dan paling bestnya, rakan saya ini simpan resit untuk beberapa tahun yang lalu, di mana warna tulisan pun dah tak berapa nampak.

6. Belanja Yang Perlu Sahaja

Kenapa kita selalu tak cukup duit pada akhir bulan, kerana kita sering berbelanja pada benda yang berbentuk kemahuan dan bukannya keperluan. Lebih teruk lagi jika kemahuan kita itu adalah sesuatu yang untuk suka-suka seperti asyik menukar telefon pintar dan memakai barang branded yang mahal harganya.

7. Elakkan Makan Di Luar

Tahukah anda bahawa kalau kita beli bahan mentah dan masak sendiri, kita mampu jimat banyak sehingga 50%. Jadi elakkan makan diluar kalau tiada keperluan yang mendesak.

Air Milo yang dibancuh sendiri kosnya mungkin tak sampai RM1, tapi kalau pesan kat kedai boleh mencecah sehingga RM2.50.

8. Jangan Guna Kad Kredit

Yang bahayanya bila kita guna kad kredit ini adalah kita rasa macam berduit, padahal yang sebenarnya kita berhutang dengan bank. Jadi elakkan penggunaan kad kredit, kalau nak guna kad juga gunalah kad debit saja.

9. Catat Duit Keluar Masuk

Ini perlukan komitmen yang sangat tinggi. Buat catatan harian setiap kali sebelum masuk tidur kemana duit kita telah dibelanjakan dari sekecil-kecil belanja hinggalah yang paling besar.

Tujuannya supaya akhir bulan nanti kita tengok perbelanjaan harian dan boleh berjimat mana yang perlu pada bulan-bulan yang akan datang.

10. Jimat Mana Yang Boleh

Sebagai contohnya kita boleh jimat penggunaan elektrik, air dan lain-lain. Ini supaya tak adalah bil kita melambung tinggi sangat.

Sekarang ini pun, ada banyak syarikat telekomunikasi yang menawarkan pakej yang jimat dan rendah. Kurangkan masa berbual sebaliknya boleh guna aplikasi percuma untuk membuat panggilan seperti WhatsApp, Google Meet dan yang lain.

11. Letakkan Sasaran Penjimatan

Ini boleh membantu dalam meningkatkan motivasi untuk kita menyimpan. Sebagai contoh, kita letak sasaran selepas setahun kita nak kumpul duit sebanyak RM5,000. Dan kita gunakan duit yang disimpan untuk manfaat yang berbaloi seperti membawa keluarga bercuti hujung tahun.

Dan sebaiknya jangan habiskan terus simpanan tersebut, sebaliknya kita tambah lagi simpan untuk kegunaan masa depan.

12. Bayar Hutang

Bila dah ada simpanan dan duit lebihan, boleh fokus untuk bayar hutang atau pinjaman yang kita ada. Baru kita boleh merancang ke mana duit kita akan dibelanjakan dengan lebih baik.

Kalau kita tak selesaikan hutang dulu, takut-takut hutang ini akan semakin meningkat dan memakan diri kita pula. Meranalah kita hidup dengan rumah kena lelong, kereta kena tarik, nama kena blacklist.

13. Melabur Untuk Menjana Pendaptan Pasif

Bila kita dah sampai penghujung bulan dan ada duit lebih, laburlah ke tempat yang boleh menjana pendapatan yang konsisten. Sebelum melabur, pastikan kita ada ilmu dan jelas ke mana duit itu akan dilaburkan.

Jangan melabur ke tempat yang anda sendiri tidak faham, dan jangan sesekali pula melabur ke tempat yang bukan-bukan.

14. Menyimpan Untuk Persaraan

Apabila umur semakin meningkat menjelaan umur persaraan, kita dah tak ada kudrat sangat untuk buat kerja. Jadi penting kita menyimpan untuk persaraan atau merancang persaraan.

Selain daripada simpanan dalam KWSP, pastikan kita ada dana persaraan yang lain untuk cover.

15. Bersedekah

Ajaibnya sedekah ini sebenarnya bukan mengurangkan harta, tetapi membuatkan harta kita semakin bertambah. Mungkin tak ada pertambahan daripada segi wang ringgit, tetapi rezeki tersebut akan menjadi berkat dan kita akan rasa cukup walaupun sedikit.

16. Displin

Dalam semua perkara pun, sekiranya kita nak berjaya kena ada displin yang tinggi. Memang rasa susah sikit nak berdisplin dalam hal duit ni, kita tak boleh nak buat itu ini.

Berdisplin di sini bukanlah bermaksud kita kedekut, kalau ada perkara yang perlu dibelanjakan silakan. Kerana kita sudah ada simpanan dan pelaburan yang sewajarnya.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.