Bersediakah (Layakkah) Anda Memilki Kad Kredit?

Orang yang pakai kad kredit memang nampak kelihatan mewah berbelanja. Apa taknya, swipe sahaja, terus dapat beli barang. Kad kredit sebenarnya untuk mereka yang mampu membayar cash. Kalau tak mampu, itulah pinjaman yang bakal menjerat.

Apa yang memburukkan keadaan adalah apabila anda menyalahgunakan kad kredit yang dimiliki.

Malah kemudahan penggunaan kad kredit dalam pembelian online juga disalahguna. Semakin ramai yang tidak menggunakannya dengan bijak.

Anak muda adalah golongan yang paling ramai terjebak dengan penggunaan kad kredit ini. Apa yang dimahukan adalah kesenangan tanpa berfikir panjang tentang kemudaratan buat diri sendiri.

Bila bebanan hutang semakin tinggi, barulah timbul rasa menyesal. Mengikut statistik, punca utama anak muda bankrap adalah disebabkan kad kredit.

Income setahun dalam RM24,000 atau gaji RM2,000 sebulan dah layak untuk memohon kad kredit.

Jadi bersediakah anda untuk menggunakan kad kredit secara bijak? Jom kita lihat beberapa perkara berikut

1. Guna Kad Kredit Berpada-pada

Sesetengah bank akan memberikan had penggunaan kad kredit yang melebihi daripada jumlah gaji. Ada yang memberikan kemudahan sehingga 3 atau 5 kali ganda daripada gaji bulanan anda.

Misalnya jika gaji bulanan anda adalah RM3,000, anda mungkin mempunyai had kad kredit yang boleh mencecah sehingga RM15,000..

Sedarkah anda, ini merupakan satu perangkap? Anda mungkin lupa bahawa pemberian had maksimum ini akan menyebabkan anda terdorong untuk berbelanja lebih.

Bagi mengelakkan masalah ini berlaku, anda perlu mengambil langkah yang lebih bijak dengan menetapkan perbelanjaan berdasarkan gaji anda pada setiap bulan.

Peribahasa ada menyebut,” ukurlah baju di badan sendiri”. Jelas menunjukkan bahawasanya, anda perlu mengukur tahap perbelanjaan anda seiring dengan jumlah pendapatan. Lebih baiknya, semakin besar jumlah pendapatan maka semakin kecil jumlah perbelanjaan. Supaya lebihan tadi dijadikan sebagai simpanan.

2. Gunakannya Untuk Memudahkan Urusan

Apa yang seronoknya bila kita ada kad kredit ini adalah, ia sebenarnya dapat memudahkan banyak urusan anda. Contohnya seperti pembayaran bil-bil utiliti.

Bil-bil seperti bil elektrik, bil air, bil telefon, bil internet; semuanya dapat dibayar secara online menggunakan kad kredit.

Selain daripada itu, di zaman pandemik ini kita boleh membuat pembelian online dengan lebih mudah apabila adanya kad kredit. Nak beli barang dapur, nak pesan makanan – guna saja kad kredit.

Di samping dapat barang, sambil dapat mengurangkan sentuhan dan tan perlu keluar rumah.

3. Bayar Habis Setiap Bulan

Seterusnya, pastikan kita bayar habis amaun kad kredit yang kita gunakan setiap bulan. Jangan biarkannya tertunggak walaupun sepuluh ringgit. Kalau guna RM400, bayar habis RM400.

Rasa-rasa boleh buat tak?

Ini kerana kad kredit mempunyai kadar faedah yang tertinggi di antara kebanyakan pinjaman. Takut-takut kita asyik bayar yang minimum saja, maka semakin besar hutang kad kredit pula nanti.

Bagi pengguna kad kredit Islamik, mereka akan dikenakan ‘caj keuntungan’ sekiranya akan hanya dikenakan sekiranya ada jumlah tertunggak yang tidak dibayar dalam tempoh yang ditentukan.

Baca juga Apa Yang Best Sangat Dengan Kad Kredit Islamik?

4. Ada Duit Simpanan

Memang agak menyedihkan apabila 75% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan walaupun sebanyak RM1,000 sekalipun. Oleh itu, pastikan anda buat tabung simpanan kecemasan sebanyak sekurang-kurangnya 3 bulan gaji.

Kalau gaji RM3,000, pastikan ada RM9,000 dalam tabung simpanan ini. Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, dapat juga kita gunakan kad kredit untuk ‘dahulukan’ pembayaran; tetapi kemudian gunakan duit sendiri untuk membayarnya semula.

Macam mana, dah bersedia untuk menggunakan kad kredit? Bersediakah anda untuk menjadi pengguna kad kredit yang bijak?

Pada dasarnya, kad kredit sama ada Islamik atau konvensional berfungsi seperti pisau: Ia akan menjadi alat yang berguna sekiranya digunakan dengan cara yang betul, mengikut peraturan keselamatan. Jika sebaliknya, ia mungkin berpotensi untuk membahayakan pemegangnya.

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.