Rugi Ke Bayar Takaful Setiap Bulan Tapi Tak Sakit

Sekiranya anda yang belum mengambil pelan perlindungan Takaful, mesti ada terfikir bagaimana jika ada pelan perlindungan tetapi anda tidak sakit. Bukankah ianya nanti merupakan satu kerugian? Bayar caruman bulan-bulan tapi tak pernah tuntut dan tak pernah sakit pula.

Jika difikir daripada sudut pengiraan matematik, memang rasa macam rugi. Tetapi jika dilihat dari sudut nilai hidup, anda berada pada pihak yang untung sebenarnya.

Mengapa begitu?

1. Beri Manfaat Kepada Orang Lain

Konsep takaful itu sendiri bermakna kita tolong-menolong di antara satu sama lain. Walaupun kita tak sakit, tetapi kita secara tidak langsung dapat membantu orang lain yang ditimpa musibah.

Duit dalam tabung takaful kita akan digunakan untuk membayar bil hospital mereka yang ditimpa kemalangan atau digunakan untuk bayar pampasan kematian seorang suami yang meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Berikutan kepada point yang pertama, tanpa pelan perlindungantakaful juga jumlah simpanan yang mencukupi adakah anda berpuas hati jika berlaku sesuatu perkar yang tidak diingini terhadap diri anda?

Adanya pelan perlindungan takaful, bukan sahaja manfaatnya kepada anda tetapi juga ia turut memberi manfaat kepada waris anda kelak.

2. Sediakan Payung Sebelum Hujan

Tiada siapa tahu bila giliran kita pula yang dilanda musibah. Bak kata pepatah, kita kena ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Bukan bila dah ada penyakit kronik baru nak ambil takaful. Atau bila dah terlantar sakit di hospital baru nak ambil medical card kerana tak mampu nak bayar bil yang tinggi.

3. Ambil Awal, Caruman Murah

Lagi awal kita mula mengambil pelan takaful, lagi murah caruman yang perlu dibayar. Boleh kata ianya seiring dengan gaji kita setiap bulan.

Ada yang menyarankan agar kita memperuntukkan sebanyak 10% daripada gaji. Sekiranya kita baru mula kerja dengan gaji RM1,500 sebulan, memadai dengan mengambil pelan RM150 sebulan.

Nanti bila gaji dah naik RM5,000 sebulan, ambil pula pelan RM500 sebulan dengan tahap perlindungan yang semakin tinggi.

4. Ketenangan Minda

Manfaat terbesar dengan adanya perlindungan takaful adalah ketenangan minda. Kita boleh tidur nyenyak waktu malam apabila tahu bahawa sekiranya apa-apa berlaku kepada kita, waris kita dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tak perlu jual rumah yang sedang didiami sekarang, tak perlu jual kereta yang sedang dipakai, anak-anak boleh bersekolah macam biasa, ada duit makan minum.

Meskipun anda tidak menggunakannya ketika anda masih hidup, tetapi ianya tetap memberikan manfaat selepas anda tiada lagi.

Apa yang ingin saya sampaikan disini, sentiasalah berpandangan positif dan berpandangan jauh ke hadapan. Jangan memandang remeh kepada perlindungan takaful ini.

Walaupun kita tak pernah sakit atau tak pernah tuntut sekalipun, ianya tetap memberi banyak keuntungan dan manfaat kepada kita.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.