Giliran MonSpace Pula Kena Serbu Dan Akaun Kena Beku

Sebanyak 72 akaun bank skim piramid Monspace Group membabitkan 25 akaun syarikat dan 47 akaun individu bernilai RM5.867 juta dibekukan dalam Ops Coin yang dijalankan ke atas 16 premis berkaitan syarikat itu semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata serbuan tersebut melibatkan sebuah premis perniagaan syarikat itu di Ipoh, Perak dan 15 lagi di Lembah Klang meliputi empat premis perniagaan, lapan kediaman dan tiga pusat pelayan internet (server).

Katanya komputer dan pelbagai produk syarikat itu bernilai RM980,352 turut dirampas, selain menyita mata wang asing terdiri daripada Euro, Yuan dan Dolar Amerika bernilai RM93,879.20.

“Sebanyak 26 buah kenderaan dengan nilai RM6.2 juta telah dibekukan daripada transaksi pindah hak milik,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya operasi itu turut membabitkan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia.

Mohd Roslan berkata Ops Coin itu dijalankan hasil siasatan yang dijalankan sejak tahun lepas susulan enam aduan yang diterima daripada mangsa skim tersebut.

“Lima aduan berkenaan tidak mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat, manakala satu lagi mengenai penggunaan logo BNM dalam laman web syarikat itu untuk meyakinkan orang ramai,” katanya.

Ditanya sama ada pengasas syarikat itu akan ditahan, katanya buat masa ini tiada tangkapan dibuat berikutan wanita berusia 48 tahun yang bergelar Datuk Seri itu memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan.

“Bagaimanapun, kita telah mengambil tindakan membekukan perjalanan dia ke luar negara. Namanya telah disenarai hitam Jabatan Imigresen,” katanya.

Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Ditanya mengenai modus operansi syarikat itu, Mohd Roslan berkata seorang anggota perlu melabur antara RM500 sehingga RM5,000 dan mereka perlu mencari dua lagi anggota bagi mendapatkan semula modal dan pulangan mereka.

Pada Mei tahun lepas, dilaporkan seramai 71 warga China membuat laporan polis terhadap MonSpace di Balai Polis Bukit Jalil selepas mendakwa wang simpanan mereka ditipu syarikat itu.

Sumber: Bernama

Berkenalan Dengan Team MonSpace

Kalau nak tahu, Dato’ Sri Jessy Lai adalah merupakan CEO MonSpace, yang memang tidak asing dengan kontroversi.

Ini pula merupakan anak-anak buahnya:

Sumber: MonSpace

Siap ada koperasi dan bank sendiri lagi tu. Memang hebat jugalah diorang semua ni.

Bukan main gah lagi ada HQ di Bukit Jalil:

Jom Kita Membanteras Scam

Nak membezakan scam atau tidak, kita perlukan ilmu. Kalau nak tahu, pada tahun 2017, Kerugian Dianggar RM3.8 bilion. PDRM Dedahkan 30 Syarikat Tawar Skim Tidak Sah dan hampir sejuta orang rakyat Malaysia tertipu dengan pelaburan scam. Itu yang dilaporkan, yang tak dilaporkan pula?

Kalau nak tahu perihal scam ni, boleh rujuk 4 Ciri-Ciri ‘Pelaburan’ Scam – Melayu Mudah Lupa. Kalau ada satu pun ciri-ciri yang disenaraikan, cepat-cepatlah angkat kaki.

Sebelum nak melabur tu, buatlah due diligence atau kaji betul-betul latarbelakang syarikat dan skim pelaburan yang ditawarkan. Tengok juga senarai watchlist terbaru yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) seperti berikut:

Sumber: Laman Web BNM – List of companies and websites [fail PDF, 69KB]

Dalam kes MonSpace ni, BNM dah pun masukkan dalam senarai watchlist sejak setahun yang lalu lagi.

Jadi silap scammer yang scam orang, atau silap kita yang tamak dan tak buat semakan sebelum join? Renung-renungkanlah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.