Lavida Coin – Boleh Percaya Kah?

Pelbagai reaksi netizen apabila Datuk Seri Vida melancarkan skim crypto Lavida Coin. Kami di Majalah Labur sentiasa ingin mendidik masyarakat tentang instrumen pelaburan yang betul dan patuh syariah seterusnya terhindar dari terjebak dengan skim-skim yang meragukan (baca skim cepat kaya).

Pesanan kami, berhati-hatilah. Belajarlah dari kesilapan orang lain. Usah dibuai ayat-ayat ‘dijamin’ dan ‘confirm naik’ atau ‘confirm untung’. Wallahualam.

Ayuh kita baca ulasan yang dimuat naik di Facebook tuan Ikmal Nordin tentang Lavida Coin.


Saya dah teliti

Saya akan ulas berdasarkan 3 aspek: Aspek blockchain, model perniagaan Lavida Coin, dan aspek hukum syar’i. Kalau dah faham cara blockchain berfungsi boleh pergi poin 2 & 3:

1) Blockchain

 

Sumber gambar : PwC

Ramai yang masih kabur-kabur tentang teknologi blockchain, jadi kena terangkan sikit apa maksudnya. Blockchain ni ialah cara merekod data yang bergantung pada usaha ramai orang, yang tidak ada kaitan antara satu sama lain.

Kenapa nak buat teknologi ni? Sebab pencipta blockchain nak pintas semua kuasa tengah (centralized authority). Contohnya bila kita beli barang pakai kad kredit, siapa yang akan sahkan transaksi tu? Sama ada Visa atau Mastercard, dan Visa dapat duit yang sangat banyak sebab jadi kuasa penentu. Bila guna blockchain, ada beribu-ribu ‘pengesah’ yang buat kerja, jadi tidak perlu ada ‘raja yang paling atas’.

Nak faham blockchain mudah saja, tengok 2 perkataan ‘block’ dan ‘chain’.

Setiap transaksi adalah satu blok.

Contoh: Along bayar RM1 kat Angah. Pemindahan RM1 daripada tangan Along ke tangan Angah akan direkod sebagai satu ‘block’.

Katakan Angah pulak bayar RM1 kepada Alang. Ini lagi satu ‘block’. Tapi block kedua ni bersambung dengan block sebelumnya, membentuk satu rantai (chain). Setiap block akan tertakluk kepada rantai, jadi tak boleh buat sesuka hati.

Bila dah sah yang duit berpindah tangan dalam blok pertama, blok kedua kena ikut. Maksudnya Along dah tak ada duit tu. Ia bukan seperti fail pdf atau word yang mana bila kita copy dan hantar, fail tu masih ada pada kita.

Mudah kan?

Tapi nak buat benda ni agak teknikal. Ada algoritma tertentu, ‘proof of work’ (bukti yang menunjukkan setiap blok itu sahih), dan paling penting kena ada komuniti ‘pengesah’ yang dibayar upah setiap kali mereka sahkan satu-satu blok. Ethereum, contohnya, ada lebih 27,000 ‘stesen’.

Dan kita kena bezakan antara matawang kripto dan platform yang mendokong matawang itu. Ambil contoh Ethereum dan Ether. Platform seperti Ethereum menyediakan ‘pasar’ dan undang-undang blockchain, tapi nama matawangnya Ether. Selain daripada Ether ada beribu-ribu aplikasi yang menumpang dalam pasar Ethereum. Aplikasi lain ni buat token dan dompet digital tapi guna kemudahan pasar yang disediakan oleh Ethereum.

2) Model perniagaan Lavida Coin

Setakat yang saya faham, Lavida Coin nak kumpul dana $1.5 BILLION untuk buat tiga projek:

a) $1B untuk saluran hiburan
b) $100M untuk saluran pembayaran
c) $400M untuk masjid

Untuk peringkat awal (Pre-mine) ni Lavida nak jual 153 juta coin, dan daripada pre-mine ni akan dapat $120 juta. Jadi kita andaikan dana awal ni untuk buat saluran pembayaran (payment gateway) lah. Yang lagi dua projek tu tak penting, sebab yang kita bincangkan sekarang ialah matawang Lavida Coin dan teknologi blockchain yang dicanang-canangkan.

Kita kena tanya soalan #1: Nak buat pasar ke, nak buat coin yang tumpang pasar orang?

Dan berdasarkan kertas putih ni rasanya dia nak buat pasar (LAVIDAPAY), yang ada undang-undang blockchainnya yang tersendiri. Pasar ni akan guna matawang LavidaCoin.

Bila nak buat pasar, kena tanya pula soalan #2: Mana undang-undangnya? Tak ada butir pun.

Kalau sekadar nak tumpang pasar orang, boleh cakap ‘Lavida Coin akan guna protokol yang telah ditetapkan dalam pasar Ethereum’. Tapi bila kata nak buat gateway sendiri, kena ada butir-butir yang sangat terperinci. Apa algoritma yang akan dipakai, apa kekerapan penghasilan blok, apa bahasa programmingnya, dan lain-lain.

Cuba bandingkan kertas putih Lavida Coin dengan kertas putih Ethereum, jauh bezanya:
Whitepaper – Ethereum

Nampak banyak kesamaran pada Lavida Pay dan Lavida Coin. Kalau nak minta dana untuk blockchain butir-butir sebegini perlu ada, alasan ‘masih dalam perancangan’ tidak boleh diterima.

Dan kita kena tanya soalan #3: Kalau nak mudahkan transaksi secara online kenapa tak guna e-wallet sahaja?

Contohnya buat VidaPay yang menggunakan Ringgit Malaysia, boleh top-up menggunakan akaun bank dan semua transaksi dalam ringgit.

Kenapa nak buat matawang kripto? Dan sebahagian besar dananya pula bukan untuk coin itu tetapi untuk saluran hiburan.

Ada bau-bau ikan yang hanyir di situ (something smells very fishy).

3) Hukum Syar’i

Berkenaan isu hukum halal haram wang krypto ni saya rujuk kepada Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, Registered Shariah Adviser at Securities Commission of Malaysia:

Bitcoin (dan matawang kripto secara am) harus sebagai simpanan (store of value) dan perantara pembelian (medium of exchange). Tapi boleh berubah hukumnya menjadi HARAM bila…

KESIMPULAN: Banyak perkara yang memberi isyarat bahawa Lavida Coin ini bukan pelaburan yang ‘genuine’: kertas putihnya menyisihkan banyak maklumat yang penting, dan kertas putih itu ibarat melontar-lontar kata-kata yang ‘trending’ dan berteknologi tinggi tanpa sebarang perbincangan yang serius. Cukup banyak perkara yang ‘gharar’ (tidak tentu).

Kalau lihat laman web Lavida Coin ada beberapa perkara yang menambahkan syak : alamatnya di UK, dan laman web itu seperti dibuat tergesa-gesa sehingga ada pernyataan yang tidak ada kena-mengena dengan kripto: “With a community of over 400 million users (and a majority age group being 18 to 29), wouldn’t you want to make sure you’re monitoring what people are posting on social networks?”

Oleh itu saya menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati daripada melabur. Saya tidak katakan ianya ‘scam’, tapi banyak kemusykilan padanya.

Yang melabur bakti,
Ikmal Nordin
Chevening scholar
MSc Political Economy (SOAS)

Baca juga Bitcoin – Matawang Digital Yang Semakin Popular, Boleh Ke Kita Join?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.