Baru Lawan Lama: Dua Cara Untuk Mengira Sumbangan PCB di Malaysia

Proses mengisi borang cukai pendapatan PCB merupakan antara perkara yang paling remeh yang terpaksa kita hadapi setiap tahun. Jelas bahawa terdapat ramai warganegara Malaysia yang masih tidak pasti bagaimana untuk mengira sumbangan cukai tahunan mereka walaupun sudah sekian lama berbuat demikian. Jika anda menghadapi situasi yang sama, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian.

Jika anda percaya bahawa sudah tiba masanya untuk mengawal situasi kewangan anda, inilah dua kalkulator cukai pendapatan atas talian yang boleh anda gunakan: Kalkulator PCB dan Kalkulator PCB PayrollPanda. Kedua-duanya boleh mengira sumbangan cukai bulanan anda di Malaysia.

Kalkulator PCB

Kalkulator digital ini dimiliki dan diuruskan oleh agensi pungutan cukai kerajaan, iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kalkulator PCB

Kalkulator ini membolehkan anda mengira kadar cukai pendapatan bulanan bersih anda dengan:

  1. Mengisi maklumat peribadi anda
  2. Mengisi  maklumat kadar saraan dan elaun bulanan anda
  3. Mengisi kadar saraan bulanan yang layak dikenakan potongan cukai, seperti  sumbangan KWSP, insurans nyawa, perbelanjaan perubatan dan maklumat lain yang berkaitan.
  4. Mengisi rebat bulanan anda termasuklah Zakat.
  5. Setelah semua maklumat untuk setiap bahagian telah diisi dan dipastikan betul, anda boleh klik butang ‘Kira’ untuk mendapatkan kadar  potongan PCB anda.

Kalkulator ini berguna untuk pekerja yang mahu mengetahui sumbangan cukai pendapatan bulanan mereka setelah mengambil kira potongan –potongan yang diiktiraf di bawah undang-undang.

Terdapat 21 pelepasan cukai yang boleh dituntut oleh pembayar cukai. Anda hanya perlu mengambil tahu tentang pelepasan-pelepasan ini dan menyimpan resit-resit yang berkaitan apabila berbelanja dalam perkara ini. Antara perkara–perkara yang dikecualikan daripada cukai termasuklah:

  • Pemeriksaan kesihatan sehingga RM500 setahun;
  • Perbelanjaan perubatan untuk diri, suami /isteri dan anak-anak sehingga RM6,000 setahun;
  • Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial, PERKESO sehingga RM250 setahun
  • Pelepasan perbelanjaan gaya hidup sehingga RM2,500 setahun ( termasuklah pembelian buku, jurnal, majalah, penerbitan-penerbitan lain, komputer peribadi, peralatan sukan dan langganan internet bulanan)
  • Insurans perubatan dan pendidikan sehingga RM 3,000
  • Yuran institusi pendidikan tinggi tertentu sehingga RM7,000 setahun
  • Pembelian peralatan penyusuan ibu. Pelepasan ini dihadkan kepada RM1,000 setiap dua tahun.

Walaupun laman ini boleh membantu pekerja mengira dan memantau pemotongan dan pemulangan cukai bulanan untuk diri mereka, Kalkulator PCB dari LHDN ini mungkin bukan  cara yang terbaik untuk orang awam . Ini disebabkan laman pengguna mereka  yang agak mengelirukan serta sukar digunakan kerana ketiadaan arahan yang jelas. Oleh sebab itu, ianya boleh memakan masa yang lama untuk majikan dan pekerja memahami cara penggunaan yang betul.

PayrollPanda PCB Calculator

Untuk menyelesaikan masalah ini, PayrollPanda, sebuah syarikat penyelesai isu-isu gaji di Malaysia, telah mencipta satu kalkulator yang percuma dan mudah digunakan untuk membantu kakitangan bahagian sumber manusia dan majikan.

Kalkulator PCB PayrollPanda adalah selaras dengan keperluan-keperluan LHDN dan anda boleh mengira pemotongan cukai bulanan diri anda ataupun pekerja anda dengan menggunakan perisian ini.

Kalkulator ini hanya memerlukan anda melakukan perkara-perkara berikut untuk mendapatkan sumbangan PCB bulanan:

  1. Masukkan maklumat peribadi seperti alamat dan status perkahwinan
  2. Masukkan jumlah gaji bulanan, serta pendapatan lain ( termasuklah yang berulang ataupun sekali sahaja)
  3. Pilih peratusan caruman KWSP, sama ada 5.5% ataupun 11%. Anda boleh juga memasukkan peratusan yang lain.
  4. Pilih jenis caruman SOCSO ( sama ada skim bencana pekerjaan ataupun skim keilatan), ataupun masukkan sendiri jumlahnya.
  5. Pastikan anda menyemak auto-penjumlahan Skim Insurans Pekerja anda
  6. Tambahkan slip gaji anda untuk tahun ini
  7. Mudah sahaja! Anda akan mendapat potongan cukai PCB bulanan dan gaji bersih di situ dengan segera. Anda juga boleh mendpatkan slip gaji dalam bentuk PDF sekiranya anda meletakkan alamat e-mail anda.

Perkara Penting

  1. Kalkulator PCB oleh LHDN sesuai untuk para pekerja yang ingin mengira sumbangan cukai bulanan mereka, dan ianya boleh didapati dalam Bahasa Melayu serta Inggeris, yang merupakan satu faedah tambahan.
  2. Kalkulator PCB PayrollPanda pula sesuai untuk kedua-dua majikan dan pekerja kerana boleh memperolehi  kadar caruman cukai bulanan dan gaji bersih dengan tepat dan segera. Tambahan pula, kalkulator ini senang digunakan dengan hanya mengisi gaji bulanan dan beberapa maklumat lain. Ianya juga kelihatan lebih menarik dan memberikan anda peluang untuk menjana slip gaji apabila anda mengisi alamat e-mail. Semua ini dengan PERCUMA!

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang PayrollPanda dan perkhidmatan mereka yang lain, anda boleh terus ke laman mereka di sini ataupun menghubungi mana-mana pembantu khidmat pelanggan mereka yang terdapat di kotak sembang pelanggan di laman tersebut.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.