Banyak Mana Duit RM1 Billion Ni?

BILLION. Ada orang suka sebut ‘BILLIUN’.

Satu perkataan yang sering kita dengar di corong radio dan tonton di kaca tv dan baca di naskah suratkhabar. Samada dalam bentuk laporan kewangan syarikat, kos pembinaan sesebuah projek mega, belanjawan negara, pendapatan kerajaan, mahupun skandal kewangan; ia tidak lekang dengan istilah billion ini.

Sebagai Melayu sejati, kita tak boleh bayangkan banyak mana duit 1 billion ini. Di Malaysia, orang yang ada duit sebanyak RM1 billion ini tak ramai.

Jadi jika kita ingin mengukur dengan saiz fizikal wang tunai tersebut, berapa besarkah RM1 billion ini?

Istilahnya, definisi billion adalah sama dengan ‘ribu juta’. Maka RM1 billion boleh disamakan dengan RM1,000,000,000.00.

Kita mulakan dengan sekeping wang kertas RM100.

Duit ini cukup besar untuk kita makan sedap di luar untuk sekeluarga, dan cukup nipis untuk dimuatkan di dalam dompet kita.  

RM10,000

Apabila kita mula menimbunkan sepeket wang RM100, maka terhasillah RM10,000. Setebal satu inci, dengan wang ini kita boleh merancang percutian sekeluarga ke luar negara selama seminggu (bergantung juga mana destinasinya).

RM1,000,000

Satu juta ringgit. Tahniah! Anda telah pun bergelar jutawan.

Eh, sikit sahaja nampaknya nilai fizikal RM1 juta ya. Jika anda mempunyai sebuah beg bimbit besi seperti dalam filem Hollywood, anda masih lagi akan mempunyai banyak ruang kosong dalam beg itu. Namun hakikatnya, kebanyakan dari kita tidak akan dapat mengumpul wang sebanyak ini seumur hidup kita.

RM100,000,000

Jika kita dapat menyusun RM100 juta, beginilah hasilnya. Namun kita masih boleh menyorokkan duit ini di dalam stor, bilik, almari ataupun dalam sebuah kereta MPV. Dengan wang ini anda pasti tidak akan lagi mengalami masalah kewangan dalam hidup. Orang biasa pastinya tidak dapat menghabiskan wang ini seumur hidup.

 

RM1,000,000,000

Angka keramat satu billion ringgit. Anda mempunyai 10 bongkah palet besar, kesemuanya dengan wang kertas RM100. Di Malaysia, hanya dianggarkan lebih kurang 50 orang sahaja yang mempunyai nilai kekayaan melebihi RM1 billion (0.0001629% dari jumlah penduduk). Anda sekarang mungkin boleh memuatkan sejumlah wang ini kedalam bilik kebal bank.

 

BONUS: SATU TRILLION (RM1,000,000,000,000)

Trillion. Satu lagi istilah yang wujud tapi mungkin lebih jarang didengari. Boleh dikira juga sebagai ‘satu juta juta’. Tiada seseorangpun di dalam dunia yang memiliki wang sebanyak ini.

Bill Gates, orang terkaya di dunia juga hanya mempunyai kekayaan sebanyak RM400 billion sahaja. Tetapi, bila diambil contoh senario hutang negara kita yang boleh mencecah RM1 trillion di masa hadapan (sekarang RM0.68 trillion), maka ia boleh diiliustrasikan dengan:

Nampaknya semua duit ini boleh muat keseluruhan padang bolasepak! Lihat dengan teliti di sudut kiri orang yang sama masih kelihatan. Jadi nampaknya bila kita dengar orang berbicara tentang nilai wang yang besar, kita sudah boleh memahami skala nilai wang yang dimaksudkan.

Ditulis Oleh: Kamil Adlee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.