FinTech – Apa Kelebihannya Kepada Rakyat Macam Kita?

Menerusi inovasi FinTech, pengguna (terutamanya generasi baru) mempunyai kuasa memilih yang lebih besar bagi memenuhi keperluan mereka dengan lebih pantas dan cekap. Jom kita tengok apa kelebihan FinTech yang dapat dikecapi pengguna dengan teknologi baru ini.

Kecekapan Di Dalam Perkhidmatan Pelanggan

Antara kelebihan utama FinTech, ianya memudahkan interaksi di antara institusi perbankan dan pengguna. Pengguna tidak lagi perlu beratur panjang di kaunter atau menghadapi panggilan telefon mengecewakan selepas lama menunggu di talian. Kesemuanya boleh dilakukan dengan segera.

Pengesahan biometrik dan penggunaan AI (Artificial Intelligence) yang telah diprogramkan dengan algoritma tertentu membolehkan institusi kewangan menawarkan pakej pelanggan yang lebih peribadi. Pengguna akan memilih ‘personalized package’ daripada pakej yang lebih umum. Ini telah melahirkan cabang FinTech yang khusus untuk insurans (InsurTech).

“Institusi kewangan perlu meningkatkan usaha mereka dan harus mempunyai kehadiran 24jam kepada pengguna, di mana pelanggan boleh menjalankan aktiviti perbankan dan pembayaran secara elektronik dan melalui pusat panggilan,” kata Kristian Gjerding, CEO Cellpoint Mobile.

Membina Kepercayaan Pelanggan

Menurut kajian oleh PricewaterhouseCoopers, menghubungi talian hotline masih dalam permintaan di seluruh dunia, dengan 46% responden berkata mereka lebih suka berinteraksi dengan manusia apabila masalah timbul. Walaupun teknologi biometrik telah meningkat di dalam pengenalan peribadi, isu kepercayaan penting apabila membabitkan pengurusan wang.

Dengan menggunakan teknologi AI juga, pengguna akan berasa lebih selamat kerana tidak perlu berkongsi maklumat peribadi di talian. AI akan mengenalpasti jenis masalah dan akan memberi penyelesaian sama ada melalui data yang sedia ada, atau menyalurkan panggilan kepada pegawai perkhidmatan pelanggan. Ini akan menjimatkan masa pelanggan dan mengurangkan kos institusi perbankan.

Cashless Economy

Populariti membeli-belah di atas talian semakin meningkat, selepas penerimaan kad debit oleh orang ramai yang tidak mempunyai kad kredit. Dengan lebih banyak infrastruktur menyokong ekonomi bebas tunai, ia telah membolehkan kita berbelanja harian di kedai–kedai fizikal tanpa perlu membawa wang tunai.

Perkhidmatan pelanggan yang lebih cekap untuk tujuan pengesahan identiti turut meningkatkan keselamatan pemegang kad tersebut. Contoh kemudahan perbankan yang diinovasikan oleh firma FinTech adalah Visa Paywave.

Ini dapat mengurangkan risiko penipuan kepada peruncit dan individu, serta memastikan pengawasan kerajaan terhadap urus niaga kewangan menjadi lebih telus dan sekaligus memudahkan transaksi harian pengguna.

Firma FinTech yang dapat menyediakan perkhidmatan pelanggan yang luarbiasa bukan sahaja menarik pelanggan, tetapi juga membina kesetiaan. Dengan kelebihan ini, tidak mustahil pengguna akan memilih firma FinTech daripada institusi perbankan tradisional yang tidak mahu menguasai perkembangan teknologi baru ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.