ZTE Jadi Peneraju Siapkan Ujian Rangkaian Teras 5G Fasa Ketiga IMT-2020

SHENZHEN, China, 8 Januari 2019 /PRNewswire/ — ZTE Corporation (0763.HK) (000063.SZ), penyedia penyelesaian teknologi telekomunikasi, perusahaan dan pengguna utama bertaraf antarabangsa untuk Internet Mudah Alih, menjadi peneraju dalam usaha menyiapkan ujian 5G fasa ketiga IMT-2020 untuk fungsi kestabilan dan keselamatan prestasi rangkaian teras, justeru mengesahkan sepenuhnya kematangan rangkaian teras 5G ZTE.

Ujian ini melibatkan prestasi platform NFVI, prestasi perkhidmatan penggunaan mesin maya tunggal/berbilang elemen rangkaian teras 5G selain kapasiti dan kestabilan sistem.

Sistem ZTE, termasuk platform NFV dan elemen rangkaian fungsi teras 5GC, digunakan pada platform pelayan umum dan antara muka dengan instrumen pihak ketiga mengikut keperluan model perkhidmatan. Syarikat ini berjaya melepasi semua kes ujian dan keputusan ujian memenuhi keperluan model perkhidmatan dan penunjuk spesifikasi.

Ujian fungsi keselamatan menumpu pada pengurusan dan pendaftaran identiti peranti, selain prosedur perkhidmatan keselamatan dalam mobiliti. Sistem ZTE berjaya melepasi kesemua kes ujian mandatori.

Versi terkini rangkaian teras 5G ZTE dibangunkan dengan mematuhi spesifikasi 3GPP Release-15 yang dikeluarkan pada September 2018. Dengan menerima pakai SBA, komponen mikro-perkhidmatan dan penghirisan rangkaian, rangkaian teras 5G ZTE dapat mencapai inovasi perkhidmatan yang anjal dan tangkas.

Dengan cara memisahkan antara logik perkhidmatan dan data, rangkaian teras 5G ZTE dapat meningkatkan keandalan perkhidmatan dan pengalaman pengguna. Tambahan pula, ia membolehkan penggunaan tahap minit melalui penjadualan perkhidmatan yang fleksibel.

“Ia merupakan satu lagi pencapaian penting susulan selesainya ujian fungsi seni bina SA ZTE pada September 2018,” kata Liu Jianhua, pengurus besar Produk Awan Telekom dan Rangkaian Teras ZTE. “ZTE akan menyokong dan bekerjasama secara aktif dengan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat untuk membantu industri 5G berkembang matang dan mendepani kemunculan era 5G.”

Di bawah bimbingan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, IMT-2020 (5G) Promotion Group memulakan fasa ketiga ujian penyelidikan & pembangunan (R&D) 5G pada November 2017 yang bertujuan untuk terus meningkatkan keupayaan R&D teknologi 5G dan mempromosi kematangan industri 5G.

Selain penyiapan ujian rangkaian teras 5G fasa ketiga IMT-2020, ZTE akan turut menyelesaikan sambungan hujung-ke-hujung pertama dunia antara peranti dan sistem 5G, berdasarkan perangkaian NSA 3.5 GHz, hasil daripada telefon pintar prototaip 5G ZTE.

Tambahan pula, ZTE dan China Telecom menyelesaikan ujian kebolehoperasian rangkaian 4G dan 5G pertama dunia menurut seni bina SA. Dengan kerjasama Tianjin Unicom dan Port of Tianjin, ZTE melancarkan aplikasi-aplikasi industri pelabuhan pintar 5G&MEC.

Latar Belakang ZTE

ZTE ialah penyedia sistem telekomunikasi termaju, peranti mudah alih dan penyelesaian teknologi perusahaan untuk pengguna, syarikat telekomunikasi, syarikat dan pelanggan daripada sektor awam. Sebagai sebahagian daripada strategi ZTE, syarikat komited menyediakan pelanggan dengan inovasi menyeluruh yang bersepadu bagi memberikan kecemerlangan dan nilai tatkala sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat bersatu. Tersenarai dalam bursa saham Hong Kong dan Shenzhen (kod saham H: 0763.HK / kod saham A: 000063.SZ), produk dan perkhidmatan ZTE dijual kepada lebih 500 pengendali di lebih 160 negara. ZTE mengkhususkan 10 peratus daripada pendapatan tahunannya kepada usaha penyelidikan dan pembangunan serta memainkan peranan kepimpinan dalam organisasi-organisasi penetap standard antarabangsa. ZTE komited terhadap tanggungjawab sosial korporat dan merupakan ahli UN Global Compact. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.zte.com.cn.

Sumber: ZTE Corporation

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.