7 Tips Bagi Mereka Yang Nak Buat Bisnes Homestay

Sekarang ini semakin ramai yang berlumba-lumba untuk memjalankan perniagaan homestay. Ini kerana pulangannya lebih lumayan berbanding dengan menjalankan rumah sewa semata-mata. Kalau ikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia, industri homestay di Malaysia pada tahun 2017 menjana pendapatan sehingga RM30 juta!

Bagi yang baru sahaja nak berjinak-jinak dalam menguruskan homestay, di sini ada beberapa tips yang boleh anda ikuti supaya ianya dapat memberikan pulangan seperti yang kita harapkan.

1. Lokasi

Dalam apa jua jenis perniagaan, pemilihan lokasi sangatlah penting. Untuk homestay, kita perlu pilih lokasi strategik seperti berhampiran dengan kawasan tumpuan pelancongan, berdekatan dengan kemudahan awam (universiti, kolej, hospital, LRT, MRT) dan sebagainya.

Kalau nak buat homestay di tempat yang kurang menjadi tumpuan pelancong dan tiada apa yang menarik di kawasan tersebut, kita mungkin masih mendapat pelanggan tetapi mungkin kurang berbanding tempat lain yang hot.

2. Saiz Rumah

Untuk homestay, kita tak perlu memiliki rumah yang besar seperti banglo atau pun rumah teres 2 tingkat. Cukup sekadar rumah yang bersaiz sederhana kecil sahaja. Ia juga lebih mudah untuk diuruskan berbanding rumah yang lebih besar.

Apa yang penting adalah kita perlu bijak menghias homestay tersebut agar kelihatan menarik dan unik.

3. Hiasan Dalaman

Untuk memastikan pelanggan kembali berkunjung ke homestay kita dan meninggalkan reviu yang baik, kita perlulah mencari idea unik untuk dekorasi ruangan dalam homestay tersebut. Pilih warna-warna menarik untuk memberikan first impression yang positif kepada pengunjung.

Susun atur dalaman homestay juga perlulah kemas dan teratur, walaupun ruang yang kecil mampu kelihatan besar dan selesa didiami.

4. Iklan

Pengiklanan amatlah penting bagi memperkenalkan homestay kita kepada pelanggan baru. Untuk peringkat awal, anda boleh menggunakan media sosial seperti FB, Instagram, blog dan sebagainya untuk mempromosikan tempat penginapan anda itu.

5. Pengurusan Kewangan

Sama juga macam perniagaan lain, pemilik homestay perlu mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang cukup agar dapat mengelakkan kerugian. Ini dapat membantu anda dalam merancang perbelanjaan untuk homestay tersebut agar tidak terlebih belanja.

6. Tawaran Istimewa

Cuba tawarkan sesuatu yang special untuk penginap seperti sarapan percuma, diskaun untuk tarikh-tarikh tertentu, dan sebagainya. Pasti ramai yang akan tertarik untuk berkunjung ke homestay kita nanti.

7. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Jangan ingat perniagaan lain sahaja yang perlu mendaftar dengan SSM, pengusaha homestay juga perlu berdaftar. Ini bagi memudahkan sebarang urusan di masa hadapan.

Bisnes homestay ini dikira sebagai pendapatan sewa, jadi perlu declare kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri dan bayar cukai yang sepatutnya.

Sumber Rujukan: Business Homestay: Sumber Rezeki Menguntungkan & 7 Tips Penting

Kita juga boleh guna perkhidmatan Airbnb bagi mempromosikan homestay kita kepada orang ramai terutamanya pelancong luar negara. Dan kalau nak tahu, Airbnb Sumbang RM200.4 Juta Kepada Ekonomi Tempatan, Kat Mana Lokasi Yang Hot di Malaysia?

Bagi mereka yang tak mampu nak beli rumah untuk dijadikan sebagai homestay, jangan risau kerana kini ada 4 Cara Jana Pendapatan Tanpa Memiliki Hartanah Sendiri Guna Teknik Sublet. Kepada pembaca yang sedang mencari homestay, boleh lihat senarai homestay di Malaysia di sini.

Previous ArticleNext Article

3 Comments

  1. Salam

    Terima Kasih sebab share tips. Bende yg x terpikir, item no 6 tuh. Pendapat sy, kite boleh buat promosi diskaun bile xde cuti umum atau cuti sekolah. Selalunye cuti sekolah homestay ni laku keras. Diskaun bkn peak season ni selalunye target market nye org yg travel sbb business la.

    Just share my point je.

  2. aslm, tuan. saya ingin bertanya. sekiranya saya ingin mengiklankan ebook saya di blog tuan bagaimana caranya. terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman