5 Tips Berbelanja Menjelang Raya

Baru je masuk bulan Ramadhan, berpusu-pusu orang kita pergi ke ‘shopping complex’. Katanya nak beli persiapan raya, senang beli awal-awal tak kelam-kabut last minute. Walaubagaimanapun, jangan lupa kawal perbelanjaan supaya tak pokai lepas raya nanti.

Maklumlah, beraya memang sebulan tapi lepas raya kita masih lagi perlukan duit untuk perbelanjaan yang lain. Jangan nanti raya dah habis, kita menanggung beban hutang yang banyak.

Berikut disenaraikan 5 tips sebagai panduan untuk mengelakkan duit bocor selepas menyambut raya nanti:

1. Tetapkan Perbelanjaan Mengikut Bajet

Asingkan bajet untuk menyambut raya nanti. Jika bajet ada RM500, sesuaikan perbelanjaan sama seperti bajet yang diperuntukkan. Ramai di antara kita yang lupa masukkan kos petrol dalam bajet yang disediakan. Mereka hanya masukkan kos kuih raya, duit raya, dan baju raya.

Jadi untuk raya kali ini, buat bajet secara terperinci supaya kita tidak berbelanja melebihi bajet yang telah dibuat.

2. Berbincang Dengan Pasangan

Kadangkala suami dah buat bajet, tapi isteri pula yang langgar. Di sini, digalakkan pasangan untuk berbincang mengenai bajet yang telah dirancang. Masing-masing perlu saling memahami dan bertolak ansur mengenai perbelanjaan yang bakal dibuat.

Kita beraya ni nak happy-happy, takut nanti ada yang bermasam muka pula.

3. Patuhi Bajet Yang Dibuat

Bajet dah buat tapi kalau kita langgar juga, sia-sia je. Tak kiralah sama ada si isteri atau si suami. Sebagai contoh jika bajet untuk baju raya adalah RM200, pastikan jumlah yang dikeluarkan adalah RM200 atau kurang. Walaupun jika kita berbelanja hanya lebih RM50, ianya akan menggangu perbelanjaan lain pula nanti.

Kita tak mungkin rasa kesannya sekarang, tapi nanti lepas raya baru terasa sakitnya.

4. Buat Perbandingan

Kebiasaannya, memang kita akan buat perbandingan sebelum membeli sesuatu barang. Tapi kadang-kadang tertewas juga disebabkan tawaran yang nampak menarik (padahal harga tidak banyak beza).

Jika ada kawan atau saudara-mara yang berniaga kuih raya boleh pertimbangkan untuk membeli daripada mereka, sekurang-kurangnya harga kita ketahui lebih awal dan dapat membantu mereka untuk berniaga dan menambah pendapatan mereka.

5. Elak Guna Kad Kredit atau Bayar Kad Kredit Setelah Digunakan

Setelah bajet raya dibuat, asingkan duit bajet tersebut di dalam akaun yang khas untuk perbelanjaan raya sahaja. Adalah sangat tidak digalakkan untuk menggunakan kad kredit kerana takut terlebih belanja pula. Kalau masih nak pakai kad kredit tiada salahnya, tapi disiplinkan diri untuk membayar penuh sebaik sahaja digunakan menggunakan bajet yang telah diasingkan.

Musim perayaan ‘petrol pump’ penuh dengan kenderaan, penggunaan kad kredit mungkin paling efisien pada waktu ini kerana tak perlu beratur panjang membuat pembayaran di kaunter.

Sempena bulan Ramadhan ini, diharap kita dapat berbelanja secara berhemah dan mengelakkan pembaziran. Bukan apa, takut objektif Ramadhan tidak tercapai disebabkan ligat sangat berbelanja.

Nanti pahala tak dapat, hutang pula yang menjelma. Wallahu’alam bisshawab.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Penulisan adalah atas kapasiti individu dan hanya untuk tujuan pendidikan sahaja
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.