Aplikasi Pulse oleh Prudential dengan kerjasama DoctorOnCall, Babylon dan AIME

KUALA LUMPUR, Malaysia, 25 Jun 2019 /PRNewswire/ — Perkembangan teknologi yang begitu pesat terutamanya dalam penggunaan aplikasi secara atas talian telah menunjukkan keperluan aplikasi berkaitan penjagaan kesihatan bagi membantu masyarakat mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan lebih cepat dan mudah.

Sehubungan dengan itu syarikat insurans terkemuka Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) telah melancarkan “Pulse”, sejenis aplikasi dengan perintis kecerdasan buatan (Artificial Intelligence). Hasil kerjasama antara Prudential dan Syarikat Babylon Healthcare Services Limited United Kingdom, DoctorOnCall serta AIME membolehkan aplikasi ini diperkenalkan buat julung kalinya di Malaysia. Pengguna aplikasi ini bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat tentang status kesihatan, malah boleh bercakap dengan doktor secara atas talian dan mendapatkan penghantaran ubat terus kepada mereka.

Pulse merupakan aplikasi yang unik kerana ia berfungsi mengikut kesesuaian individu. Ketua Eksekutif Prudential Corporation Asia, Nic Nicandrou berkata “Aplikasi ini mampu membantu pengguna mencegah dan melindungi diri daripada serangan penyakit “.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad, Gan Leong Hin, “Rakyat Malaysia menghabiskan 14 jam sehari dengan alat digital mereka dan 71% carian tentang kesihatan adalah dari telefon bimbit. 23% aplikasi yang dimuat turun dari internet adalah tentang kesihatan. Oleh itu, Prudential menumpukan usaha untuk memberikan mereka perkhidmatan yang bernilai dan mudah digunakan oleh rakyat Malaysia bila-bila masa dan di mana jua mereka berada”.

Pulse menilai tahap kesihatan pengguna yang merangkumi gaya hidup, kesihatan mental, kesihatan organ dalaman dan risiko penyakit pada masa akan datang menerusi soal selidik dengan pengguna. Aplikasi ini dapat memberikan maklumat tentang tahap kesihatan semasa pengguna serta memberi kesedaran tentang aspek yang perlu diperbaiki.

Aplikasi ini juga mempunyai fungsi “Symptom Checker”. Melalui sesi soal jawab, aplikasi ini akan membawa pengguna kepada kemungkinan diagnosis atau penyebab kepada gejala yang dihadapi. Kemudian, pengguna boleh memilih untuk bercakap dengan seorang doktor secara atas talian dengan hanya RM1. Doktor tersebut akan memberikan diagnosis dan mencadangkan rawatan yang sesuai serta mengeluarkan preskripsi secara elektronik sekiranya perlu.

Maran Virumandi, Pengasas Bersama DoctorOnCall menjelaskan “Konsultasi secara atas talian melalui Pulse yang dijalankan dengan kerjasama DoctorOnCall membolehkan pengguna mendapatkan konsultasi dengan doktor-doktor bertauliah dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan preskripsi secara atas talian dan ubat-ubatan”.

Pulse turut menyediakan maklumat tentang denggi melalui fungsi amaran denggi. Aplikasi yang boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ini boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store dan App Store.

DoctorOnCall merupakan salah sebuah syarikat yang bekerjasama dengan Prudential dalam merealisasikan aplikasi Pulse. Sebagai sebuah klinik atas talian DoctorOnCall menawarkan perkhidmatan konsultasi dengan doktor bertauliah bagi penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, demam, masalah kulit dan masalah kesihatan lain. Ini memberi peluang kepada pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dari mana jua mereka berada. Ubat-ubatan akan dihantar terus kepada pesakit selepas sesi konsultasi jika diperlukan. Pengunjung laman web turut berpeluang untuk bertanya tentang masalah-masalah kesihatan pada laman forum mereka. Untuk maklumat lanjut layari www.DoctorOnCall.com.my atau hubungi 03-84082000.

Sumber: DoctorOnCall

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.