Stashaway Kumpul USD$12 Juta Dalam Pembiayaan Siri B Dipimpin Eight Roads Ventures

SINGAPURA, 30 Julai 2019 /PRNewswire/ — StashAway, penasihat-robo untuk kedua-dua pelabur runcit dan terakreditasi, telah menyempurnakan pusingan Siri B bernilai USD$12 juta (SGD$16.4 juta) yang dipimpin oleh Eight Roads Ventures, cabang pelaburan proprietari Fidelity International. Asia Capital & Advisors, firma ekuiti persendirian yang dipimpin oleh Francis Rozario dan Aaron Rozario, turut mengambil bahagian. Asia Capital & Advisors melabur dalam pusingan Pra-Siri A dan Siri A StashAway. Pusingan ini akan menjadikan jumlah keseluruhan dana StashAway yang terkumpul setakat ini kepada USD$20.4 juta.

StashAway ialah platform pengurusan kekayaan digital yang menyediakan pengurusan portfolio automatik yang diperibadikan kepada portfolio individu setiap pelanggan. Strategi pelaburan pengurusan risikonya, ERAA® (Economic Regime-based Asset Allocation), direka bentuk untuk memaksimumkan pulangan jangka panjang pelanggan sambil memastikan setiap pendedahan risiko tertentu pelanggan adalah malar menerusi kitaran ekonomi yang berubah-ubah.

Puluhan ribu individu daripada 125 kerakyatan dan menetap di 77 negara telah membuka akaun dan menggunakan platform itu sejak StashAway mula dilancarkan di Singapura pada Julai 2017. Sejak pusingan pengumpulan dana Siri A pada Mac 2018, StashAway menembusi negara keduanya, Malaysia dan menjadi yang pertama dan satu-satunya penasihat-robo di Singapura yang menerima Dana Skim Persaraan Tambahan negara berkenaan bagi tujuan pelaburan. Syarikat ini turut memperkenalkan program pendidikan kewangan miliknya, StashAway Academy, untuk mereka yang baru dalam pelaburan hinggalah kepada pakar dan semua yang berada di antaranya.

Michele Ferrario, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif StashAway berkata, “Sokongan kewangan daripada Eight Roads Ventures, salah satu pelabur terawal dalam Alibaba, berserta sokongan berterusan daripada Asia Capital & Advisors akan dapat mempercepatkan pembangunan produk pelaburan kami untuk pelanggan kami di Singapura dan Malaysia, di samping turut menyokong peluasan pasaran di seluruh rantau APAC serta mengukuhkan komitmen ke atas pembangunan dan pengedaran kandungan pendidikan kewangan.”

Raj Dugar, Rakan Pengurusan Asia di Eight Roads Ventures mengulas, “Lanskap pengurusan kekayaan Asia Tenggara yang tidak berkesinambungan membawa potensi besar kepada pengurus-pengurus pelaburan digital berkos rendah. StashAway ialah perintis serantau dalam sektor ini dan kami kagum dengan visi dan pelaksanaan pasukan pengurusannya. Penentuan harga mereka yang telus, kaedah pelaburan yang mantap dan kemudahan penggunaan dapat memberikan proposisi pelanggan yang menarik. Kami berharap dapat menyokong StashAway tatkala ia terus meningkatkan cara individu di seluruh rantau ini mengurus kewangan mereka dan membina kekayaan.” Raj Dugar akan turut menyertai Lembaga Pengarah, membawakan pengalaman kepimpinan selama lebih lima belas tahun termasuk tempoh berkhidmat di The Carlyle Group dan Goldman Sachs.

Asia Capital & Advisors turut mengambil bahagian dalam pengumpulan dana StashAway untuk pusingan ketiga berturut-turut. “Sejak dilancarkan, StashAway telah membuktikan bukan sahaja berada di hadapan dalam memajukan pengalaman pelaburan, bahkan turut menunjukkan, khususnya sepanjang tahun lalu ketika mengalami turun naik pasaran yang ketara, daya tahan strategi pelaburan dan pasukan dalam menangani turun naik pasaran,” kata Francis Rozario, yang dahulunya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Fullerton Financial Holdings, subsidiari Temasek Holdings. “StashAway telah muncul sebagai peneraju pasaran untuk pelaburan berkos rendah, sofistikated dan tahap institusi bagi pelabur-pelabur runcit mahupun terakreditasi. Hal ini hanya terus meningkatkan lagi keyakinan saya bahawa perniagaan ini dapat meneruskan trend ini dalam pasaran yang kurang diberi perkhidmatan tambahan di wilayah tersebut.”

Latar Belakang StashAway 

StashAway telah ditubuhkan pada tahun 2016 di Singapura oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ZALORA, Michele Ferrario (Ketua Pegawai Eksekutif); bekas Pengarah Urusan dan Ketua Strategi Derivatif Global di Nomura, Freddy Lim (Ketua Pegawai Maklumat); dan usahawan teknologi bersiri, Nino Ulsamer (Ketua Pegawai Teknologi) dan beroperasi di Singapura dan Malaysia. StashAway mempunyai Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal untuk Pengurusan Dana Runcit daripada Lembaga Monetari Singapura dan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal untuk Pengurusan Pelaburan Digital daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. StashAway mempunyai 40 kakitangan di Singapura dan Malaysia. Syarikat telah mengumpul $20.4 juta USD dalam tiga pusingan pembiayaan.

www.stashaway.sg 

Latar Belakang Eight Road Ventures 

Eight Roads ialah cabang pelaburan proprietari FIL, Fidelity International Limited. Dalam Ventures, Eight Roads melabur dalam syarikat-syarikat berkualiti tinggi dan mengalami pertumbuhan tinggi di Asia, Eropah dan AS, dengan tumpuan pada teknologi, penjagaan kesihatan dan pengguna. Eight Roads komited untuk menjadikan syarikat-syarikat yang mendapat pelaburannya sebagai peneraju dalam industri-industri mereka melalui akses kepada modal pesakit, jaringan sumber yang hebat dan pasukan ahli-ahli profesional pelaburan dengan rekod prestasi kejayaan terbukti. Pelaburan Eight Roads di India dan Asia Tenggara termasuk Akulaku, BankBazaar, Chai Point, Cipla Health, Eywa, Icertis, Laurus Labs, Manthan Systems, Netmagic (NTT), Northern Arc Capital, Shadowfax dan Silot.

www.eightroads.com @8roadsventures

Latar Belakang Asia Capital & Advisors 

Asia Capital and Advisors (“ACA”) ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Francis Rozario, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Fullerton Financial Holdings, subsidiari pelaburan sektor kewangan Temasek. Sejak penubuhannya, ACA menumpu pada pelaburan transformatif dalam sektor kewangan di Asia, dengan penekanan khusus diberikan pada rangkuman kewangan untuk individu dan perniagaan kecil-kecilan, transformasi perniagaan serta syarikat baharu. Beberapa tahun kebelakangan ini, pelaburan ACA memberi tumpuan bagaimana teknologi kewangan dapat meningkatkan kecekapan dan akses kepada perkhidmatan kewangan dalam dunia yang semakin bersifat digital.

www.aca.sg 

Sumber: StashAway

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA