Belum Ada Azam Tahun Baru? Boleh Ambil 10 Idea Ini

Tahun 2019 hampir melabuhkan tirainya. Sudah 10 tahun berlalu sejak krisis kewangan global atau Global Financial Crisis (GFC) berakhir. Wawasan 2020, yang dirasakan seperti amat jauh pada suatu masa dahulu, kini sudah pun digantikan dengan Wawasan 2025.

Begitulah pantasnya masa berlalu!

Seperti biasa, tradisi yang tidak ditinggalkan oleh masyarakat umum menjelang tahun baru ialah menetapkan azam-azam yang ingin dicapai pada tahun tersebut. Sebagai seorang yang bernama Azam, penulis memang tak lepas daripada dijadikan bahan jenaka setiap kali menjelang tahun baru.

Sengih sahajalah.

Walaubagaimanapun, syabas kepada mereka yang sudah pun menetapkan azam untuk tahun 2020. Walaupun belum melaksanakannya lagi, langkah perancangan ini masih penting kerana ia menunjukkan kita ada semangat untuk menjadi seseorang yang lebih baik.

Kepada yang belum memikirkan atau menetapkan lagi azam, jangan risau kerana masih ada masa untuk fikir masak-masak. Azam-azam tersebut tidak perlu besar. Sekecil-kecil azam pun masih baik kerana yang penting ialah kita menjadi insan lebih baik dari sebelumnya.

Di sini penulis ingin berkongsi beberapa azam yang kita boleh ambil atau sesuaikan dengan situasi kita:

1. Belajar Skil Baru

Kalau kita asyik layan Netflix, kita tak akan maju. Lebih baik masa lapang tersebut digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti mempelajari skil atau kemahiran baru. Tak kiralah belajar coding, menulis, bertukang, memasak atau berkebun contohnya.

Selain dapat ilmu, manalah tau hobi baru kita boleh buat income sampingan kan? Banyak kursus online yang boleh didapati secara percuma atau dengan harga yang murah, contohnya Udemy.

2. Memperbaharui Pelan Perbelanjaan

Mungkin pelan perbelanjaan kita sebelum ini tersasar atau sudah banyak berubah. Memang normal perbelanjaan berubah setiap tahun kerana beberapa faktor. Contohnya kita baru mendirikan keluarga, beli rumah, beli kereta, dapat anak, dan sebagainya.

Jadi eloklah kita refresh perbelanjaan bulanan untuk tahun 2020 berdasarkan situasi semasa kita sekarang. Banyak template yang boleh didapati secara online, seperti di sini.

3. ‘Nego’ Kenaikan Gaji

Ini merupakan lagi satu aktiviti wajib apabila setiap kali masuknya tahun baru. Kalau kita buat sedikit kajian, mungkin kita akan dapati bahawa kita layak menerima gaji yang lebih tinggi.

Salah satu rujukan yang kita boleh guna ialah Michael Page 2020 Salary Benchmark. Sekiranya kita sudah lama bekerja di situ dan syarikat enggan memenuhi permintaan kenaikan gaji, mungkin sudah tiba masanya kita move on dan cari pengalaman di tempat baru.

Jangan lupa bayar zakat, semoga dipermudahkan semua urusan kita.

4. Memperbaiki Kualiti Kesihatan

Sebenarnya ramai yang tak sedar bahawa nak memperbaiki kualiti kesihatan taklah susah sangat. Walaupun idealnya kita patut sertakan rutin senaman seperti berjoging dalam jadual mingguan, kita masih boleh lakukan beberapa perkara mudah ini untuk menjadi lebih sihat:

  • Dapatkan tidur yang cukup
  • Kurangkan stres
  • Kurangkan makanan berminyak dan gula
  • Minum air masak secukupnya
  • Banyakkan berpuasa
  • Banyakkan berjalan kaki atau menaiki tangga
  • Menyertai aktiviti setempat seperti gotong-royong atau kerja amal

5. Mengubah Gaya Pemikiran Atau Mentaliti

Gaya pemikiran lebih sukar untuk diubah kerana ia adalah sesuatu yang dipengaruhi oleh cara kita dibesarkan dan juga persekitaran kita. Namun, ia bukanlah alasan untuk kita mengelak dari sentiasa “mengemaskini” gaya pemikiran kita.

Perubahan mentaliti mesti berlaku dahulu sebelum perubahan sikap dan karakter kita berlaku. Di antara mentaliti yang boleh dicontohi:

  • Berhenti mengharap ihsan pihak lain untuk menaikkan tahap kualiti kehidupan kita.
  • Kebersihan sesuatu kawasan adalah tanggungjawab semua orang, bukan hanya tukang bersih.
  • Meneliti pandangan dan pendapat orang lain, bukan memikirkan hanya kita sahaja yang betul.
  • Memeriksa sumber sesuatu perkara atau berita sebelum menyebarkannya.
  • Berfikir sebelum bercakap, dan lebih baik diam dan belajar dahulu sekiranya kita tiada ilmu mengenainya.
  • Jika sesuatu masalah itu boleh diselesaikan, maka selesaikannya. Jika mustahil, maka ia adalah di luar kawalan kita dan kita tidak perlu bimbang atau stres.
  • Sentiasa menimba ilmu pengetahuan walaupun sudah meninggalkan sekolah dan universiti.
  • Buang victim mentality dan berhenti merungut! Kalau tidak suka sesuatu, ambil tindakan untuk mengubah keadaan.

6. Meluangkan Lebih Banyak Masa Dengan Keluarga

Masa yang diluangkan bersama keluarga adalah sangat penting, kerana ia adalah faktor yang menguatkan hubungan kekeluargaan. Keluarga merupakan tulang belakang kita yang membantu kita mengatasi masalah, berkongsi suka dan duka, dan tempat memberi dan menerima kasih sayang.

Di antara cara untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga adalah dengan makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari, bersenam bersama, bersiar-siar bersama, kurangkan penggunaan telefon pintar ketika bersama, dan membuat kerja rumah bersama.

7. Pergi Bercuti

Ramai di kalangan kita yang sudah banyak kali bercuti di luar negara tapi tidak pernah menjejakkan kaki ke negeri-negeri lain di Malaysia.

Negeri-negeri di Malaysia juga banyak tarikan yang menarik, terutamanya pulau-pulau indah seperti Pulau Tioman, Pulau Redang, Sipadan dan banyak lagi. Selain harga yang murah dan berbaloi berbanding percutian luar negara, kita juga dapat menyumbang kepada industri pelancongan Malaysia.

Kalau nak juga melancong ke luar negara tanpa menghabiskan duit yang banyak, kita boleh ke Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina.

8. Banyakkan Membaca

Membaca adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan, mudah, murah, dan bermanfaat. Carilah masa lapang untuk membaca buku, tak kiralah untuk hiburan atau menimba ilmu. Banyak jenis genre yang kita boleh pilih dalam Fiksyen dan Bukan Fiksyen.

Tips: Selangkan satu genre dengan genre yang lain supaya kita terus berminat untuk membaca. Sekiranya kita tidak ada duit untuk beli buku, pinjamlah dari kawan atau perpustakaan. Setakat ini penulis tak pernah dengar lagi orang menolak untuk meminjamkan buku.

Tahukah anda bahawa UNESCO telah menamakan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020?

9. Buang Tabiat Buruk

Manusia memang tak pernah sempurna. Tetapi, ini bukanlah alasan untuk kita tidak memperbaiki diri. Di antara tabiat buruk yang boleh dibuang ialah:

  • Tidak menepati masa
  • Merokok
  • Merokok
  • Merokok
  • Pengotor
  • Melengahkan kerja
  • Malas
  • Mencarut
  • Mengumpat
  • Solat pada akhir waktu

10. Memperbanyakkan Derma Dan Amal Ibadah

Sekiranya kita berjaya melakukan perkara #3 di atas, tidak ada alasan untuk kita tidak lakukan perkara #10 ini. Sepatutnya kita bersyukur apabila diberikan rezeki lebih, dan caranya adalah dengan memperbanyakkan derma dan sentiasa memperbaiki amal ibadah kita.

Selamat berazam!

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah ASB Memudahkan Proses Tuntutan Waris Selepas Kita Meninggal Dunia

Ramai rakyat Malaysia mempunyai simpanan dalam unit amanah ASNB, termasuk ASB. Namun, pernahkah kita terfikir bagaimana simpanan tersebut akan diuruskan apabila kita meninggal dunia?

Tanpa perancangan harta yang sesuai, waris mungkin perlu melalui proses pentadbiran pusaka sebelum harta pelaburan dapat diserahkan kepada pihak yang berhak.

Bagi pemegang unit amanah ASNB yang beragama Islam, salah satu pilihan perancangan harta yang disediakan ialah Hibah Amanah ASNB.

Apa itu Hibah Amanah?

Secara umum, hibah ialah akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang kepada orang lain ketika masih hidup, secara sukarela dan tanpa mengharapkan balasan.

Dalam konteks ASNB, Hibah Amanah merupakan perkhidmatan yang menggunakan pendekatan Hibah Ruqba yang diperhalusi mengikut prinsip Syariah.

Perkhidmatan ini membolehkan pemegang unit amanah membuat perancangan mengenai penyerahan unit pelaburannya kepada penerima hibah selepas kematiannya, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh ASNB.

Bagaimana konsep Hibah Ruqba berfungsi?

Hibah Ruqba ialah hibah bersyarat yang menetapkan pemilikan harta berdasarkan kematian salah satu pihak.

Dalam penerangan ASNB, sekiranya pemberi hibah meninggal dunia terlebih dahulu, harta hibah akan menjadi milik penerima hibah.

Namun, jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah, harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah.

Pendekatan ini digunakan dalam perkhidmatan Hibah Amanah ASNB bagi memenuhi keperluan pemegang unit amanah, termasuk keadaan penerima meninggal dunia terlebih dahulu.

Bagaimana Hibah Amanah ASNB berfungsi?

Berdasarkan penerangan ASNB, proses Hibah Amanah melibatkan beberapa langkah utama:

  1. Semasa hidup, pemberi hibah melaksanakan akad hibah, iaitu pemberian dan penerimaan harta dengan kehadiran dua orang saksi.
  2. Pemberi dan penerima hibah bersetuju melantik ASNB sebagai pemegang amanah bagi mentadbir harta selepas kematian.
  3. Selepas kematian pemberi hibah, ASNB akan mengagihkan harta hibah kepada penerima seperti yang dinyatakan dalam Surat Ikatan Hibah Amanah.

Dengan adanya perancangan ini, pemegang unit amanah boleh menetapkan penerima yang dikehendaki ketika masih hidup.

Siapa yang layak memohon Hibah Amanah?

Menurut maklumat ASNB, syarat kelayakan yang dinyatakan adalah seperti berikut:

  • Pemegang unit mestilah warganegara Malaysia.
  • Beragama Islam.
  • Berumur 18 tahun ke atas.
  • Mempunyai baki unit pelaburan minimum 1,000 unit.
  • Unit yang diambil kira tidak termasuk unit yang bercagar, unit melalui pinjaman atau unit di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP.
  • Pendaftaran tertakluk kepada tabung unit amanah ASNB yang terbuka untuk pendaftaran Hibah Amanah.

Oleh itu, pemegang unit perlu menyemak sama ada dana pelaburan yang dimiliki layak untuk didaftarkan di bawah perkhidmatan ini.

Berapa Kos Hibah Amanah ASNB?

Selain syarat kelayakan, kos perkhidmatan juga merupakan perkara penting yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat Hibah Amanah ASNB.

Berdasarkan jadual yuran ASNB, berikut ialah kadar yang dinyatakan:

Jenis yuranKadar
Yuran pendaftaran kali pertamaRM180
Yuran pendaftaran selanjutnyaRM90
Yuran pembatalanRM70
Yuran pindaan penerima hibah, penjaga sah, penambahan atau pengguguran tabungRM20
Yuran pentadbiranRM10 setiap tahun

Contoh pengiraan kos

Sebagai contoh, Encik Ahmad ingin mendaftarkan Hibah Amanah ASNB buat kali pertama.

Kos yang perlu diambil kira ialah:

  • Yuran pendaftaran kali pertama: RM180
  • Yuran pentadbiran tahunan: RM10

Jumlah kos pendaftaran dan pentadbiran bagi tahun pertama ialah RM190, berdasarkan kadar dalam jadual tersebut.

Pada tahun-tahun berikutnya, yuran pentadbiran ialah RM10 setahun, tertakluk kepada terma dan kadar yang berkuat kuasa.

Sekiranya Encik Ahmad ingin membuat pendaftaran selanjutnya, yuran pendaftaran yang dinyatakan ialah RM90. Jika beliau mahu membatalkan Hibah Amanah, yuran pembatalan pula ialah RM70.

Bagi perubahan tertentu, seperti pindaan penerima hibah, penjaga sah, penambahan atau pengguguran tabung, yuran yang dinyatakan ialah RM20.

Kesimpulannya, kos Hibah Amanah ASNB bukan sekadar RM180. Terdapat juga yuran pentadbiran tahunan serta caj tertentu bagi pendaftaran selanjutnya, pembatalan atau pindaan, bergantung pada perkhidmatan yang digunakan.

Berapa Yuran Tuntutan Hibah Amanah ASNB?

Selain yuran pendaftaran dan pentadbiran, penerima hibah perlu mengambil kira yuran tuntutan berdasarkan jumlah baki pelaburan yang dituntut.

Menurut jadual yuran ASNB, kadar tuntutan adalah seperti berikut:

Baki pelaburanKadar yuran tuntutan
RM25,000 yang pertama1.50%
RM225,000 yang berikutnya1.00%
RM250,000 yang berikutnya0.50%
RM500,000 yang berikutnya0.25%
Baki selebihnya0.10%

Kadar ini dikenakan secara berperingkat mengikut jumlah baki pelaburan, bukannya satu kadar yang sama untuk keseluruhan nilai tuntutan.

Contoh pengiraan yuran tuntutan

Sebagai contoh, katakan Encik Ahmad mempunyai baki pelaburan sebanyak RM300,000 di bawah Hibah Amanah ASNB. Selepas kematiannya, penerima hibah membuat tuntutan terhadap keseluruhan baki tersebut.

Pengiraan yuran tuntutan adalah seperti berikut:

Baki pelaburanPengiraanYuran
RM25,000 pertamaRM25,000 × 1.50%RM375
RM225,000 berikutnyaRM225,000 × 1.00%RM2,250
RM50,000 berikutnyaRM50,000 × 0.50%RM250
JumlahRM2,875

Berdasarkan kadar dalam jadual tersebut, jumlah yuran tuntutan bagi baki pelaburan RM300,000 ialah RM2,875.

Dengan itu, penerima hibah perlu memahami bahawa selain kos pendaftaran, terdapat juga yuran tuntutan yang bergantung pada nilai pelaburan.

Jumlah sebenar yang dikenakan hendaklah dirujuk kepada pengiraan dan terma ASNB yang berkuat kuasa pada masa tuntutan dibuat.

Berapa lama proses tuntutan Hibah Amanah?

Ini merupakan salah satu maklumat penting yang perlu diperbetulkan daripada artikel lama.

ASNB memaparkan perbandingan proses tuntutan seperti berikut:

KaedahTempoh yang dipaparkan
Hibah Amanah21 hari*
Wasiat18 bulan
Tidak membuat perancangan harta3 tahun

*Tempoh 21 hari bagi Hibah Amanah adalah untuk pindahan unit sahaja.

Maksudnya, angka 21 hari tidak wajar ditulis sebagai jaminan bahawa keseluruhan proses tuntutan harta pusaka akan selesai dalam tempoh tersebut. Ia merujuk kepada pindahan unit sahaja, berdasarkan perbandingan yang dipaparkan oleh ASNB.

Perbandingan dengan harta pusaka tanpa perancangan

Bagi pemegang unit yang tidak membuat perancangan harta, waris mungkin perlu mengenal pasti dan mengumpulkan harta pusaka terlebih dahulu sebelum proses pentadbiran dapat dijalankan.

Dalam perbandingan ASNB, proses tanpa perancangan harta dianggarkan mengambil masa sehingga tiga tahun, manakala proses melalui wasiat pula dipaparkan mengambil masa sehingga 18 bulan.

Tempoh sebenar sesuatu urusan pusaka boleh bergantung pada keadaan harta, dokumen yang diperlukan, pihak pentadbir serta proses undang-undang yang berkaitan.

Hibah Amanah pula menyediakan mekanisme khusus untuk penyerahan unit kepada penerima yang telah ditetapkan, tertakluk kepada syarat dan dokumen yang diperlukan.

Berapa Kos Hibah Amanah ASNB?

Salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat Hibah Amanah ialah kos pendaftaran.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan oleh ASNB, yuran pendaftaran Hibah Amanah ialah RM180.

Sebagai contoh, sekiranya Encik Ahmad ingin mendaftarkan simpanan unit amanahnya di bawah Hibah Amanah ASNB, beliau perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM180, tertakluk kepada terma dan caj yang berkuat kuasa.

Namun, perlu difahami bahawa RM180 tersebut ialah yuran pendaftaran, bukannya nilai pelaburan yang dihibahkan. Simpanan unit amanah yang hendak dihibahkan adalah berasingan daripada kos pendaftaran.

Pemegang unit disarankan menyemak dengan ASNB sama ada terdapat caj lain yang berkaitan dengan pindahan unit atau proses tuntutan selepas kematian.

Adakah Hibah Amanah sesuai untuk semua pelabur ASNB?

Tidak semestinya. Kesesuaian Hibah Amanah bergantung pada keadaan kewangan, jenis pelaburan, keperluan keluarga dan matlamat perancangan harta seseorang.

Pemegang unit yang ingin membuat perancangan harta boleh mendapatkan penjelasan terus daripada ASNB tentang:

  • Dana yang layak didaftarkan.
  • Syarat pemberi dan penerima hibah.
  • Dokumen yang diperlukan.
  • Terma Surat Ikatan Hibah Amanah.
  • Prosedur tuntutan selepas kematian.
  • Yuran dan caj semasa.

Contoh situasi:

Encik Ahmad, seorang pemegang unit amanah ASNB, mempunyai 20,000 unit pelaburan. Beliau ingin memastikan simpanan tersebut diserahkan kepada anaknya, Ali, sekiranya beliau meninggal dunia.

Semasa hidup, Encik Ahmad boleh membuat perancangan Hibah Amanah dengan menamakan Ali sebagai penerima hibah, tertakluk kepada syarat dan terma ASNB.

Sekiranya Encik Ahmad meninggal dunia terlebih dahulu, ASNB akan menguruskan penyerahan harta hibah kepada penerima seperti yang dinyatakan dalam Surat Ikatan Hibah Amanah, tertakluk kepada dokumen dan prosedur tuntutan yang ditetapkan.

Perkara penting: Hibah Amanah bukan bermaksud wang akan terus masuk ke akaun penerima secara automatik. Penerima masih perlu membuat tuntutan dan memenuhi keperluan ASNB.

Contoh 2: Bagaimana jika penerima meninggal dunia dahulu?

Contoh situasi:

Encik Ahmad menamakan anaknya, Ali, sebagai penerima Hibah Amanah. Namun, Ali meninggal dunia sebelum Encik Ahmad.

Oleh sebab perkhidmatan Hibah Amanah ASNB menggunakan pendekatan Hibah Ruqba, harta hibah tersebut akan kembali kepada pemberi hibah, iaitu Encik Ahmad, berdasarkan konsep yang diterangkan oleh ASNB.

Ini menunjukkan bahawa pemegang unit perlu memahami syarat hibah, termasuk keadaan apabila penerima meninggal dunia terlebih dahulu.

Di manakah permohonan pendaftaran Hibah Amanah boleh dibuat?

Permohonan boleh dibuat di seluruh cawangan ASNB dan ejen yang mengambil bahagian (bagi pendaftaran pertama sahaja).

Kesimpulan

Hibah Amanah ASNB merupakan salah satu pilihan perancangan harta bagi pemegang unit amanah ASNB yang memenuhi syarat kelayakan.

Melalui perkhidmatan ini, pemegang unit boleh membuat persediaan semasa hidup dan menetapkan penerima hibah mengikut mekanisme yang disediakan.

Namun, penting untuk memahami bahawa tempoh 21 hari yang dinyatakan ASNB adalah bagi pindahan unit sahaja, bukan semestinya tempoh keseluruhan penyelesaian tuntutan pusaka.

Perancangan harta yang lebih awal dapat membantu keluarga memahami hak dan tanggungjawab masing-masing apabila berlaku kematian. Sebelum membuat keputusan, pemegang unit disarankan merujuk maklumat rasmi ASNB serta mendapatkan nasihat daripada pihak yang berkelayakan jika diperlukan.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum mengenai Hibah Amanah ASNB dan bukan nasihat undang-undang, Syariah atau kewangan. Syarat, yuran dan prosedur adalah tertakluk kepada ketetapan ASNB yang berkuat kuasa.