Hukum Waris Menggunakan Pampasan Insurans Konvensional Yang Ditinggalkan Arwah

Hari ini, ketika mana produk-produk takaful sudah semakin banyak dan bertambah baik; masih terdapat segelintir umat Islam di Malaysia yang mengambil produk Insurans (nyawa) Konvensional.

Ada 15 syarikat takaful beroperasi di Malaysia yang menawarkan pelbagai produk yang kompeten dan komprehensif. Yang terbaru adalah FWD Takaful.

Jadi kita dah ada banyak pilihan, mengapa masih pilih yang haram?

Sumber: Bank Negara Malaysia

“Sama saja insurans dan takaful ni, istilah saja yang berbeza.”

“Cuba bandingkan harga insurans dengan takaful, rugi je bayar takaful sebab lagi mahal.”

“Tapi produk insurans ni kami laburkan ke dalam dana patuh syariah.”

Ini antara dialog ejen insurans yang cuba mengelirukan masyarakat. Lebih malang, ejen-ejen insurans ini ada juga dari kalangan Islam!

Memang tak dinafikan ada beberapa produk insurans yang lebih murah harganya jika dibandingkan dengan produk takaful. Tapi hukum Allah tidak boleh dipermainkan.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 telah memutuskan bahawa insurans nyawa adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad (rosak) kerana aqad(kontrak)nya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  1. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
  2. Mengandungi unsur judi
  3. Mengandungi muamalah riba

Insurans konvesional hukumnya haram. Haram untuk dibeli oleh pelanggan dan haram juga kepada ejen untuk mempromosikannya. Boleh rujuk kepada hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Permasalahan Pampasan Insurans Konvensional Sebagai Harta Tak Patuh Syariah

Masa kita ambil insurans atau takaful hayat, kita perlu letakkan satu nama (waris) sebagai penerima pampasan. Ia dinamakan sebagai penama.

Walaupun dari segi istilahnya sama iaitu penama, tetapi dari sudut hukumnya adalah jauh berbeza.

Penama dalam insurans hanyalah wasi (pentadbir harta). Manakala, penama dalam takaful pula boleh jadi wasi (pentadbir harta) atau boleh jadi benefisiari (pemilikan penuh), bergantung pada pemilihan yang dibuat oleh pemilik polisi semasa hayatnya.

Disebabkan insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah di atas faktor yang telah dinyatakan, maka pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh waris juga jatuh sebagai harta tidak patuh syariah.

Harta tidak patuh syariah, terkeluar daripada senarai harta pusaka bagi si mati. Maka waris yang diletakkan sebagai penama perlu uruskan ikut tatacara urusan wang tak patuh syariah dan bukan harta pusaka.

Bagaimana Nak Uruskan Wang Tak Patuh Syariah?

Menurut hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada bulan April 2011, hanya jumlah pokok yang dibayar arwah semasa hidupnya sahaja yang boleh diambil dan diuruskan sebagai harta pusaka arwah yang perlu diagihkan mengikut faraid.

Manakala pampasan polisi insurans tersebut perlu dilupuskan dan disucikan dengan cara menyerahkannya kepada Baitul Mal atau didermakan untuk kegunaan masyarakat umum, khusunya untuk fakir miskin.

Walaubagaimapun, sekiranya waris kepada pembeli polisi insurans tersebut, (isteri atau anak-anak) dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi mereka untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sahaja.

Kadar keperluan mereka perlu disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan.

Segera Bertukar Ke Takaful

Nasihat peribadi saya kepada mereka yang masih mencarum dengan polisi insuran konvensional, cepat-cepatlah bertukar kepada syarikat takaful.

Adakah berbaloi setelah membayar bertahun-tahun polisi insurans nyawa tetapi apabila meninggal dunia, anak dan isteri kita hanya boleh mengambil sebahagian kecil sahaja daripada wang pampasan tersebut?

Sekiranya waris ambil dan gunakan juga pampasan insurans tersebut, maka telah jatuh haram hukumnya dan menjadi tidak berkat wang dan harta yang mereka miliki.

Sebagai penutup, marilah kita sama-sama renung dan fahamkan sebuah hadis riwayat At-Thabrani;

عن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : ] طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ على كلِ مُسلِم

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bersabda; “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang perunding harta pusaka di bawah Syarikat Pusaka KUDS Sdn Bhd. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka di Facebook, beliau kadangkala menerima jemputan untuk memberikan ceramah umum berkaitan urus harta pusaka.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa Ejen Insurans & Takaful Banyak Sangat ‘Award’?

Pernah tak anda tengah sedap melayan TikTok atau Instagram Reels, tiba-tiba lalu video rakan anda yang bergelar ejen insurans atau takaful? Video bukan biasa-biasa ya. Siap ada suntingan transisi slow-motion, berjalan penuh gaya atas permaidani merah pakai tuxedo atau gaun labuh, pegang trofi berkilat sebesar lengan dan diiringi muzik latar belakang jenis yang menaikkan bulu roma.

Bagi orang luar, situasi ini kadangkala menimbulkan persoalan: “Eh, bulan lepas rasa dah menang award, bulan ni ada award lagi? Bukan ke syarikat atau agensi mereka sendiri yang buat anugerah tu?”

Jangan salah faham. Di sebalik budaya yang nampak seperti “puji diri sendiri” atau acah-acah selebriti ini, sebenarnya ada strategi psikologi perniagaan yang sangat mendalam. Jom kita bedah kenapa industri ini dipenuhi dengan anugerah yang luar biasa.

1. Produk ‘Ghaib’ yang Sukar Dijual

Tidak seperti ejen hartanah yang menjual rumah, atau peniaga gajet yang menjual barang yang boleh disentuh, penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful berdepan dengan cabaran yang jauh lebih getir. Mereka sebenarnya sedang menjual satu produk yang bersifat intangible iaitu janji, ketenangan minda (peace of mind) dan perlindungan risiko masa hadapan.

  • Manusia secara psikologinya berat membelanjakan wang untuk sesuatu yang mereka harap tidak akan guna (seperti musibah atau kematian).
  • Disebabkan cabaran jualan (rejection rate) yang sangat tinggi, tahap tekanan dalam industri ini amat luar biasa. Anugerah yang kerap inilah yang menjadi ‘talian hayat’ untuk mengekalkan momentum dan membakar semangat mereka.

2. Budaya ‘Self-Reward’ untuk Menggantikan Gaji Tetap

Berbeza dengan pekerja makan gaji di sektor korporat biasa, majoriti ejen insurans dan takaful beroperasi atas dasar komisen penuh. Di sebalik gaya hidup mewah yang sering ditonjolkan, realitinya mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan (safety net) seperti pekerja biasa:

Tiada Slip Gaji Tetap: Pendapatan mereka pada bulan itu adalah cerminan terus kepada usaha dan jualan mereka pada bulan tersebut. Jika tiada jualan, maka tiada lah pendapatan.

Tiada Bonus Tahunan Automatik: Pekerja makan gaji biasanya menanti bonus hujung tahun berdasarkan prestasi syarikat. Bagi ejen, ‘bonus’ mereka perlulah diusahakan sendiri melalui pencapaian KPI jualan tertentu yang telah ditetapkan.

Tiada Kenaikan Pangkat Tradisional: Dalam struktur pejabat biasa, anda bekerja keras untuk naik pangkat daripada Eksekutif ke Pengurus berdasarkan kekosongan jawatan. Dalam industri ini, kenaikan pangkat (contohnya menjadi Group Agency Manager) ditentukan sepenuhnya oleh berapa ramai ejen baru yang mereka bawa masuk dan berapa besar jumlah jualan kumpulan.

Memandangkan agensi mereka beroperasi seperti sebuah perniagaan sendiri, mereka mencipta sistem ganjaran dalaman untuk menghargai usaha setiap ejen, dari sekecil-kecil pencapaian bulanan sehinggalah anugerah global seperti MDRT (Million Dollar Round Table).

3. Pemasaran Media Sosial (Personal Branding)

Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat ejen memuat naik video berjalan di permaidani merah dengan suntingan video video ala selebriti, diiringi muzik latar yang penuh dramatik, serta berkongsi ucapan motivasi yang panjang lebar. Namun, dalam dunia perniagaan moden, ini bukan sekadar suka-suka tetapi adalah strategi penjenamaan diri (personal branding).

Dalam industri kewangan, prinsip asasnya mudah: “Orang tidak membeli produk, orang membeli siapa penjualnya.” Di sinilah mengapa elemen video gempak dan ucapan motivasi itu mainkan peranan besar.

Apabila seorang ejen menonjolkan diri mereka menerima anugerah, secara tidak langsung ia memberi isyarat kepada bakal pelanggan bahawa: “Aku ejen yang aktif, berprestasi tinggi, dan tak akan ‘hilang’ bila korang nak buat tuntutan (claim) nanti.” Video gempak itu adalah marketing tool untuk menarik pelanggan dan juga rekrut baru.


Budaya bersorak, memberi ucapan motivasi dan meraikan satu sama lain mungkin kelihatan agak ‘over-the-top’ bagi orang luar. Namun bagi warga industri kewangan, itulah bahan api yang memastikan mereka kekal bertahan dalam industri yang penuh dengan penolakan demi mencari rezeki.

Sama ada kita suka atau tidak dengan pendekatan pemasaran mereka, satu perkara yang pasti: strategi psikologi ini terbukti berkesan memacu industri ini untuk terus berkembang saban tahun.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anugerah seseorang ejen itu penting bagi anda sebelum mengambil polisi takaful?