3 Agensi Pelaporan Kredit Terkemuka Di Malaysia: CTOS, Experian Dan CBM

Agensi Pelaporan Kredit adalah entiti berdaftar di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010. Mereka ini melaksanakan kegiatan pelaporan kredit serta mengumpul dan menyusun maklumat kredit, supaya dapat membantu institusi kewangan dan entiti lain menentukan kebolehpercayaan kredit seseorang sebelum layak mendapatkan pinjaman.

Secara umumnya, setiap rekod buruk yang dilaporkan kepada biro kredit akan menjejaskan skor kredit dalam laporan kredit peminjam. Contohnya, walaupun peminjam telah bebas muflis, status muflis tersebut akan kekal dalam laporan kredit sehingga 2 tahun dari tarikh bebas muflis.

Selain daripada itu, skor kredit turut terjejas apabila peminjam lewat membuat pembayaran hutang, mempunyai litigasi (rekod tindakan undang-undang), dan terlibat dalam penyitaan rumah/kereta.

Laporan kredit perlu disemak dari semasa ke semasa walaupun peminjam tidak ada hutang yang banyak. Selain dapat mengetahui skor kredit yang terkini, peminjam juga dapat mengelakkan ‘fraud cases’ iaitu kecurian atau pemalsuan indentiti.

Jika hal tersebut berlaku, boleh laporkan dengan segera kepada agensi-agensi pelaporan kredit yang berdaftar.

Di Malaysia, terdapat 3 Agensi Pelaporan Kredit (APK) berdaftar yang perlu diketahui oleh peminjam kredit iaitu:-

1. CTOS DATA SYSTEMS SDN. BHD.  (CTOS)
https://ctoscredit.com.my/

2. EXPERIAN INFORMATION SERVICES (MALAYSIA) SDN BHD  (EXPERIAN)
(dahulu dikenali sebagai RAM CREDIT INFORMATION SDN BHD)
https://creditinfo.experian.com.my/

3. CREDIT BUREAU MALAYSIA SDN BHD (CBM) adalah sebahagian daripada Sunway Group
https://www.creditbureau.com.my/

Selain mempunyai akses kepada CCRIS, agensi-agensi tersebut juga mendapatkan maklumat kredit dari sumber awam seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi Negara (kes undang-undang), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan notis di akhbar.

Malah terdapat sedikit perbezaan dari segi beberapa perkara yang diambil kira untuk pengiraan skor kredit bagi ketiga-tiga agensi tersebut. Ringkasan seperti di bawah:-

Baca: Awak, Ini Cara Nak Download Laporan CCRIS Secara Online. Tak Sampai 1 Jam Siap!

Agensi Kos satu salinan laporan kredit
CTOSMyCTOS Score Report = RM 27.90 (termasuk SST)
EXPERIANPersonal Credit Report BASIC = PERCUMA
Personal Credit Report PLUS = RM23.90 (termasuk SST)
CBMIndividual Credit Report (MySCORE) = RM25

Laporan CTOS, Experian, dan CBM sering menjadi rujukan oleh pihak bank untuk membantu membuat keputusan sama ada meluluskan atau menolak permohonan pinjaman. Menjadi tugas kita untuk menumpukan perhatian kepada status kewangan yang lebih baik agar kita dapat laporan kredit yang lebih ‘sihat’.

Ditulis oleh Wan Mohamad Farhan bin Ab Rahman. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Anda boleh dapatkan di laporan MyCTOS dengan harga RM27.90 di CTOS score, ataupun muat turun secara online di MyCreditInfo daripada EXPERIAN serendah RM23.90. Macam beli kereta dengan cc yang sama. Contohnya, Perodua Myvi dan Proton Iriz kedua-duanya 1.5L. Enjin sama kuasa, tapi beza pada jenama, design dan harga.
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings