Sejarah Tabung Haji Di Malaysia

Tabung Haji adalah organisasi terpenting dalam urusan penyimpanan wang terutamanya bagi kita yang ingin mengerjakan haji. Idea bagi penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) tercetus hasil cadangan tokoh ekonomi Melayu terkenal iaitu Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pada Disember 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sejarah Penubuhan Tabung Haji

Pada tahun 1969, PWSBH telah digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang telah ditubuhkan dalam tahun 1951 dan beroperasi di Pulau Pinang. Badan yang digabungkan ini dinamakan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) sebelum ditukar namanya kepada Lembaga Tabung Haji pada tahun 1995.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji merupakan gabungan di antara Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (turut dikenali juga dengan PWSBH) yang ditubuhkan pada tahun 1963 dan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang ditubuhkan pada tahun 1951.

Pada zaman sebelum wujudnya Tabung Haji, tiada institusi kewangan Islam untuk umat Islam Malaysia mengumpul wang bagi menanggung kos perbelanjaan untuk menunaikan haji di Kota Mekah.

Dahulu, perjalanan ke Mekah akan menghabiskan duit simpanan seumur hidup. Duit ini biasanya hanya disimpan bawah tilam, almari baju dan balang-balang.

Walaupun pada ketika itu sudah wujud beberapa bank di negara ini, namun umat Islam enggan menabung dengan bank konvensional untuk tujuan mengerjakan ibadat haji. Ini kerana mereka mahu memastikan hasil tabungan mereka bebas dari sebarang unsur dan amalan riba agar haji yang diperolehi nanti adalah haji yang mabrur.

Objektif Dan Fungsi Tabung Haji Dari Masa Ke Semasa

Tabung Haji ditadbir berdasarkan kepada Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Tabung Haji juga merupakan perintis dalam institusi kewangan Islam bagi memudahkan umat Islam menyimpan bertujuan untuk mengerjakan ibadah Haji.

Mengurus Kebajikan Jemaah

Lembaga organisasi ini telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk mengurus pelbagai kemudahan demi kebajikan jemaah haji negara secara teratur dan sistematik.

Melabur Untuk Tambah Nilai

Di antara pengurusan Tabung Haji adalah melakukan simpanan (deposit) yang terbaik serta halal dengan melakukan aktiviti pelaburan bagi tujuan memberi nilai tambah kepada pengurusan haji dan pembayaran hibah kepada para pendeposit.

Menjelang 2021, Tabung Haji telah menguruskan lebih RM83 bilion dana / deposit orang Islam.

Pengurusan Haji Antarabangsa

Perniagaan oleh Tabung Haji tidak hanya tertumpu kepada pengurusan Haji di dalam negara, malah turut menceburi bidang pelaburan di luar negara.

Bidang Yang Pelbagai

Di antara bidang yang diceburi oleh pihak Tabung Haji adalah dalam sektor perladangan di Indonesia, kewangan Islam, teknologi maklumat, hospitaliti, minyak, gas, pembinaan dan pelaburan hartanah di United Kingdom serta Australia.

Sumber : Laporan Tahunan 2020, Tabung Haji

Strategi pelaburan TH adalah berdasarkan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) yang telah diluluskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. SAA juga menjadi panduan sebagai rangka kerja pelaburan yang terdiri daripada 4 kelas aset utama seperti Ekuiti (Saham), Pendapatan Tetap, Hartanah dan Tunai.

Kerja Kebajikan Dan Sumbangan

Pada tahun 2016, Yayasan Tabung Haji pula telah ditubuhkan untuk melaksana serta memberi bantuan kemanusiaan dan menyumbang kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Tabung Haji telah menggerakkan bantuan makanan dan kewangan untuk golongan ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejumlah RM19.2 juta telah disalurkan di bawah pelbagai inisiatif. Bantuan ini telah memberi manfaat kepada 51,000 individu, keluarga dan badan-badan kebajikan seluruh negara.

Sumber : Laporan Tahunan 2020, Tabung Haji

Memberi Biasiswa Dan Pendidikan

Selain itu, ianya ditubuhkan untuk meningkatkat asas pendidikan serta memberi bantuan biasiswa bagi mereka yang memerlukan di negara ini. Yayasan Tabung Haji juga memainkan peranan di dalam memberi faedah kepada rakyat Malaysia khususnya di dalam pendidikan Islam, Perbankan Islam, Perubatan, serta lain-lain pendidikan termasuk Perundangan Syariah.

Itulah sebabnya Tabung Haji ditubuhkan di Malaysia serta menggalas segala tanggungjawabnya tahun demi tahun.  Sejarah Tabung Haji diwujudkan di Malaysia ini perlu diketahui umum supaya sama-sama dapat memastikan segala keperluan dan kepentingan semua pihak tercapai dengan mudah.

Berbanggalah kerana Tabung Haji merupakan organisasi pertama di dunia yang mengurus dan mentadbir bakal jemaah haji secara sistematik dengan menyediakan struktur simpanan kewangan ke tanah suci paling komprehensif.

Sumber Rujukan: Tabung Haji, Astro Awani

Nak Buka Akaun Tabung Haji Hanya RM2, Tetapi Nak Daftar Haji Kena Ada RM1,300

Membuka akaun TH hanya perlu RM2 sahaja tetapi untuk mendaftar Haji, pendeposit TH perlu ada baki minimum RM1,300 dalam akaun TH.

Ingat ya, membuka akaun TH tidak bermakna anda telah mendaftar Haji. Baca lagi Apa Beza Buka Akaun Tabung Haji dan Daftar Haji?

Berminat untuk baca lebih lanjut berkenaan Tabung Haji?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.