Kakeibo: Ilmu Kewangan Dari Jepun Yang Boleh Bantu Kita Berjimat

Semua orang tahu bahawa menyimpan wang adalah sesuatu yang asas dan perlu dilakukan, namun adalah sukar untuk dilakukan secara konsisten. Sebahagian besar daripada jumlah pendapatan kita pada hari ini, terpaksa digunakan untuk membayar hutang dan sebagainya, malahan ada di antara kita yang berbelanja lebih daripada pendapatan.

Jom kita tengok Teknik Kakeibo yang di perkenalkan kepada penduduk negara Jepun lebih dari 100 tahun lalu, bagi membantu orang ramai berjimat.

Maksud Dan Kepentingan Kakeibo

Menurut catatan, Kakeibo diperkenalkan pada tahun 1904 oleh seorang wartawan wanita yang bernama Motoko Hani. Kemudiannya ia telah dikembangkan kepada satu dunia oleh Fumiko Chiba, melalui buku beliau yang bertajuk ‘Kakeibo: The Art of Saving Money’.

Chiba menerangkan melalui karya beliau bahawa Kekeibo direka khas pada awalnya untuk golongan wanita, apabila berhadapan mengenai membuat keputusan dalam perbelanjaan kewangan. Kakeibo adalah sebuah ‘medium’ mengesan aliran perbelanjaan wang, iaitu sama ada wang tersebut masuk atau keluar.

Ia dapat membantu kita menjejaki kos-kos perbelanjaan yang tersembunyi, sekaligus mempertimbangkan tindakan demi kepentingan atau kehendak semata-mata. Kakeibo mampu membentuk sifat berjimat-cermat di kalangan rakyat Jepun khususnya, dan seluruh dunia amnya.

Kebanyakan kanak-kanak di Jepun mendapat asuhan pertama mereka dalam konteks kewangan peribadi pada usia muda, dengan didikan utama oleh ibu bapa mereka sendiri. Mereka diterapkan dengan falsafah ‘semakin banyak wang yang disimpan, semakin tinggi kualiti hidup pada masa akan datang’.

Dapatlah di impulkan disini bahawa, Kakeibo adalah satu seni untuk kita menjadi lebih bijak dalam bidang kewangan. Ia menggabungkan belanjawan dan kesedaran, iaitu sejenis mekanisme yang dapat membantu kita untuk mencapai kesejahteraan kewangan pada masa akan datang.

Teknik Atau Cara Pelaksanaan Kakeibo

Dunia kita kini bergerak dengan begitu pantas, sehingga segala-galanya boleh dibeli dan dibayar dengan cepat. Namun dengan adanya Kakeibo, ianya dapat membantu kita melambatkan dan membolehkan kita mempertimbangkan cara kita menggunakan perbelanjaan harian kita.

Seseorang yang mula mengamalkan Kakeibo akan mula beralih fokus daripada seorang yang boros atau tidak berbelanja secara bijak, kepada mereka yang menghargai setiap wang yang mereka ada.

Sungguhpun begitu bagaimana cara melakukan Kakeibo dengan efektif?

Berikut adalah beberapa cara menggunakan Kakeibo dalam pengurusan wang:

  • Rekod semua aliran wang dalam kehidupan kita, jumlah wang yang masuk atau keluar.
  • Kakeibo bermula dengan menetapkan belanjawan bulanan, mingguan, dan harian. Pada permulaan setiap bulan, minggu dan hari, kita mestilah berfikir secara teliti tentang apa yang kita perlukan (bukan apa yang kita mahukan), berapa banyak yang kita ingin simpan. Kita perlu menetapkan matlamat untuk berjimat cermat.
  • Berapa banyak yang kita ingin simpan? Sekiranya kita ingin melihat keberkesanannya, mula menyimpan dengan jumlah yang tidak terlalu banyak. Kemudian apabila kehendak kita telah berjaya dikawal, kita boleh memasukkan wang tersebut ke dalam tabung simpanan.
  • Berapa banyak wang yang kita perlukan untuk perbelanjaan? Buat senarai kategori-kategori perbelanjaan tersebut. Pendekatan Kakeibo membahagikan perbelanjaan kepada 4 kategori utama:
  1. Survival (perbelanjaan yang wajib, contohnya sewa rumah, kereta, bil air, bil elektrik, makanan dan sebagainya)
  2. Budaya (Menonton filem di pawagam dan sebagainya)
  3. Pilihan (Perkara yang bukan menjadi keutamaan, tanpanya kita tidak terjejas. Contohnya bersiar-siar, melepak dengan rakan-rakan)
  4. Extra (perbelanjaan luar daripada perancangan pada awal bulan, contohnya parti hari jadi, kerosakan kereta dan sebagainya).
  • Dalam 4 kategori ini, utamakan yang lebih utama. Jika ada yang anda perlu elakkan dari pembaziran, anda boleh membatalkan perbelanjaan tersebut.
  • Apakah yang perlu atau boleh diperbaiki? Apakah jenis kategori yangkita terlalu banyak berbelanja? Perhatikan dan lakukan kajian. Tinjauan setiap hari, minggu dan bulanan sangat digalakkan, bagi mencari cara penjimatan wang yang lebih baik.

Falsafah Kakeibo boleh dilaksanakan dengan mudah menggunakan jurnal bertulis atau secara digital. Contoh dengan menggunakan telefon pintar kita, ada banyak aplikasi untuk kita merekodkan pendapatan dan perbelanjaan.

Selamat mencuba!


Dapatkan Khidmat Nasihat Berkaitan Kewangan Daripada Perancang Kewangan Yang Berlesen

Anda sedang berdepan dengan masalah kewangan dan tak tahu nak tanya siapa? Ada masalah nak menyimpan dan tak tahu nak melabur kat mana?

Zaman sekarang ni, ramai yang claim mereka pakar, tapi berapa ramai yang merupakan Perancang Kewangan atau Financial Planner yang berlesen? Kalau nak tahu di Malaysia, bilangan mereka ini tak sampai pun seribu orang, memang rare sangat.

Memperkenalkan My Personal Finances (MyPF Premier)

Kini anda selangkah saja lagi untuk mendapatkan manfaat bagi mengembangkan kewangan peribadi bagi menuju kebebasan kewangan yang dicari-cari.

Mereka menghubungkan anda kepada Perancang Kewangan yang berdaftar dan boleh membantu daripada segi:

  • Penasihat yang membimbing dalam menetapkan sasaran kewangan, mengulas dan berkongsi ilmu
  • Khidmat nasihat yang kerap dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, dan menjawab segala kemusykilan berkaitan kewangan
  • Pembelajaran secara hands-on dalam pelaburan, termasuklah saham, hartanah dan lain-lain

Bila dah kenalpasti masalah yang dihadapi, punca masalah tersebut dan cadangan daripada mereka yang pakar untuk mengatasinya; barulah rasa lega sikit kan? Seolah-olah dah nampak cahaya di hujung terowong.

Jom kita jadi ahli MyPF Premier hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.