Lesong Mart Bakal Lahir Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Pemborongan Dan Peruncitan

Lesong Mart ditubuhkan pada 5 Julai 2019 dengan sasaran menjadi Pasar Mini berkonsepkan Produk Muslim seratus peratus.

Pasar Mini Lesong Mart memudahkan masyarakat untuk mendapatkan barangan keperluan berstatus Halalan Toyyiba selari dengan konsep Halal, Bersih dan Suci.

Dengan visi menjadi peneraju produk Muslim tunggal, Lesong Mart berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan Muslim yang profesional selain mengumpul, menganalisa serta memasarkan produk Muslim.

Lesong Mart juga akan menjadi ONE STOP CENTER sebagai pemudahcara selain tumpuan golongan kurang berkemampuan berbelanja melalui penyaluran pemberian bantuan zakat dan infak dalam bentuk baucar kerajaan.

Lesong Mart juga akan melahirkan golongan Bumiputera yang akan menceburi bidang pemborongan dan peruncitan secara serius.

Pasar Mini Lesong Mart mendapat perhatian umum masyarakat bukan sahaja dalam kalangan pengguna Muslim tetapi juga bukan Muslim dan ini membuktikan produk yang dihasilkan usahawan Muslim mendapat permintaan yang tinggi.

Menurut Pengarah Urusan Lesong Mart Sdn Bhd, Datuk Mohamad Zaini Md Taha, pihaknya mendapat bimbingan dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Perbadanan Nasional Berhad, PNS, Amanah Ikhtiar Malaysia, AIM dan Tekun Nasional.

‘Kita dapat bimbingan bantuan sokongan daripada PNS. PNS banyak membantu kita selain daripada tu juga Amanah Ikhtiar juga banyak membantu. Tekun Nasional, MARA kita ada PNB. Banyak agensi-agensi kerajaan yang membantu kita untuk melahirkan pengeluar-pengeluar produk ini. Jadi untuk bina Lesong Mart ini kita mungkin boleh melalui Kementerian Pembangunan Usahawan juga menyediakan ruang untuk kita dapatkan pembiayaan.’ katanya selepas pelancaran cawangan ke-50 Pasar Mini Lesong Mart di Putra Height, Subang Jaya, Selangor yang telah dirasmikan pembukaannya oleh Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting

Lesong Mart Sendirian Berhad merancang untuk mendaftarkan 700 pasar mini di bawah jenama Lesong Mart menjelang akhir tahun ini. Ia selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang digariskan kerajaan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI