Adakah Anak Yang Masih Dalam Kandungan Ibu Berhak Menerima Pusaka Bapanya?

Setiap anak kandung berhak menerima bahagian harta pusaka daripada ibu bapa mereka. Istimewanya syariat pembahagian harta pusaka adalah, Allah telah menjelaskan dengan terperinci bahagian-bahagian yang berhak diperoleh oleh setiap waris.

Pembahagian harta pusaka ini dipanggil faraid. Daripada sudut Bahasa, faraid mempunyai beberapa makna, di antaranya adalah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan.

Manakala daripada sudut istilah pula, faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya kepada warisnya menurut hukum Islam.

Oleh itu, Al-Quran telah memperincikan bahagian faraid yang berhak dimiliki oleh setiap ahli waris. Dan ayat 11 daripada Surah An-Nisa’ telah memperincikan bahagian faraid yang berhak diterima bagi anak lelaki dan anak perempuan.

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.”

(Surah An-Nisa’ Ayat 11)

Daripada ayat ini jelas kita faham, bahagian faraid bagi anak-anak adalah seperti berikut.

  • Jika ibu atau bapa meninggal dunia dan meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, maka bahagian anak lelaki adalah 2 kali bahagian anak perempuan.
  • Jika ibu atau meninggal dunia dan meninggalkan dua atau lebih anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagian mereka adalah dua pertiga (2/3) daripada nilai harta pusaka. (dibahagikan sama rata kepada semua anak perempuan yang terlibat)
  • Jika ibu atau bapa meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagiannya adalah satu perdua (1/2) atau separuh.

Bagaimana kalau anak masih dalam kandungan ibu semasa bapanya meninggal dunia. Adakah masih dapat hak faraid?

Ya, anak yang masih dalam kandungan ibu semasa bapanya meninggal dunia masih mempunyai hak faraid dengan syarat anak itu hendaklah hidup (selepas dilahirkan) secara pasti sekalipun satu lahzhah (sebentar).

Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh Mazhab As-Syafie yang menyatakan pewarisan itu ditetapkan bagi mereka yang hidup, maka tiada harta pusaka bagi waris yang mati.

Mudah kata, jika bernyawa saja, maka seseorang itu telah berhak menerima pusaka.

Cuma persoalan yang timbul adalah bagaimanakah yang dikatakan sebagai bernyawa atau hidup?

Maka ulama’ mazhab Syafie mengatakan hidup atau bernyawa seseorang itu ditentukan dengan dua cara; secara hakikat dan taqdiran (penetapan).

Maksud nak tahu anak dalam kandungan atau janin tu hidup secara hakikat adalah dengan buat scan, tengok pergerakan bayi dan doctor sahkan janin itu sihat (hidup).

Manakala maksud taqdiran (penetapan) pula adalah dengan penetapan wujudnya ruh janin yang dalam kandungan.

Sebab tu, bahagian pusaka bagi janin yang dalam kandungan itu perlu diasingkan awal-awal sebagai langkah berhati-hati dan hanya akan berkuatkuasa dengan syarat janin itu lahir hidup.

Ini berdalilkan hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَهَلَّ الْمَوْلُودُ وُرِّثَ

 “Jika anak yang dilahirkan itu menangis keluar suara, maka sabit baginya harta pusaka.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, anak yang masih dalam kandungan berhak menerima harta pusaka bapanya yang meninggal dunia. Walaubagaimanapun, hak pusaka tersebut hanya terlaksana setelah dipastikan anak tersebut hidup selepas dilahirkan. 

7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta

Isu harta pusaka merupakan isu yang panas sejak dari dulu lagi. Sehingga mengakibatkan sebanyak RM70 bilion harta rakyat Malaysia kena beku.

Jom kita bersama-sama Tuan Fakhrur Radzi yang merupakan seorang perunding harta pusaka Islam dalam topik ‘7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta’.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.