Setiap anak kandung berhak menerima bahagian
harta pusaka daripada ibu bapa mereka. Istimewanya syariat pembahagian harta
pusaka adalah, Allah telah menjelaskan dengan terperinci bahagian-bahagian yang
berhak diperoleh oleh setiap waris.
Pembahagian harta pusaka ini dipanggil faraid. Daripada sudut Bahasa, faraid mempunyai beberapa makna, di antaranya adalah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan.
Manakala daripada sudut istilah pula, faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya kepada warisnya menurut hukum Islam.
Oleh itu, Al-Quran telah memperincikan bahagian
faraid yang berhak dimiliki oleh setiap ahli waris. Dan ayat 11 daripada Surah
An-Nisa’ telah memperincikan bahagian faraid yang berhak diterima bagi anak
lelaki dan anak perempuan.
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.”
(Surah An-Nisa’ Ayat 11)
Daripada ayat ini jelas kita faham, bahagian faraid bagi
anak-anak adalah seperti berikut.
Jika ibu atau bapa meninggal dunia dan
meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, maka bahagian anak lelaki
adalah 2 kali bahagian anak perempuan.
Jika ibu atau meninggal dunia dan meninggalkan dua
atau lebih anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagian mereka
adalah dua pertiga (2/3) daripada nilai harta pusaka. (dibahagikan sama rata
kepada semua anak perempuan yang terlibat)
Jika ibu atau bapa meninggal dunia dan
meninggalkan seorang anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka
bahagiannya adalah satu perdua (1/2) atau separuh.
Bagaimana kalau anak masih dalam kandungan ibu semasa bapanya meninggal dunia. Adakah masih dapat hak faraid?
Ya, anak yang masih dalam
kandungan ibu semasa bapanya meninggal dunia masih mempunyai hak faraid dengan
syarat anak itu hendaklah hidup (selepas dilahirkan) secara pasti sekalipun
satu lahzhah (sebentar).
Ini adalah pendapat yang
diutarakan oleh Mazhab As-Syafie yang menyatakan pewarisan itu ditetapkan bagi
mereka yang hidup, maka tiada harta pusaka bagi waris yang mati.
Mudah kata, jika bernyawa saja,
maka seseorang itu telah berhak menerima pusaka.
Cuma persoalan yang timbul adalah bagaimanakah yang dikatakan
sebagai bernyawa atau hidup?
Maka ulama’ mazhab Syafie mengatakan
hidup atau bernyawa seseorang itu ditentukan dengan dua cara; secara hakikat
dan taqdiran (penetapan).
Maksud nak tahu anak dalam
kandungan atau janin tu hidup secara hakikat adalah dengan buat scan, tengok
pergerakan bayi dan doctor sahkan janin itu sihat (hidup).
Manakala maksud taqdiran
(penetapan) pula adalah dengan penetapan wujudnya ruh janin yang dalam
kandungan.
Sebab tu, bahagian pusaka bagi janin yang dalam kandungan itu perlu diasingkan awal-awal sebagai langkah berhati-hati dan hanya akan berkuatkuasa dengan syarat janin itu lahir hidup.
Ini berdalilkan hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا اسْتَهَلَّ الْمَوْلُودُ وُرِّثَ
“Jika anak yang dilahirkan itu menangis
keluar suara, maka sabit baginya harta pusaka.”
(Hadis Riwayat Abu
Daud)
Kesimpulannya, anak yang masih
dalam kandungan berhak menerima harta pusaka bapanya yang meninggal dunia.
Walaubagaimanapun, hak pusaka tersebut hanya terlaksana setelah dipastikan anak
tersebut hidup selepas dilahirkan.
7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta
Isu harta pusaka merupakan isu yang panas sejak dari dulu lagi. Sehingga mengakibatkan sebanyak RM70 bilion harta rakyat Malaysia kena beku.
Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.
Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.
Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.
Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.
Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.
Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025
Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.
Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an
Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.
Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.
Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.
Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.
Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.
Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas
Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.
Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.
Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu
Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:
“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.
Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.
Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.
Negeri
Kedudukan yang ditemui
Tahun / status
Kelantan
Ada kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematian
Secara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkan
Fatwa 2023; panduan 2020
Johor
Dahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 2025
2013 → berubah 2026
Sarawak
Pernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkan
Keputusan terdahulu
Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?
Kita ambil contoh mudah.
Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.
Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.
Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.
Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.
Jadi bukan bermaksud:
“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”
Tidak.
Yang betul ialah:
“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”
Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?
Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.
Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.
Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:
Pertama, harta sepencarian.
Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.
Kedua, harta pusaka.
Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.
Ketiga, faraid.
Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.
Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:
“Ini semua akan difaraidkan.”
Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.
Namun, jangan salah faham
Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.
Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.
Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.
Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.
Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.
Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.
Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”
Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.
Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:
“Berapa banyak isteri dapat?”
Tetapi:
“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”
Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.
Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.
Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.
KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.
Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.