Kelab Gergasi Liga Perdana Inggeris Dikritik Kerana Layanan ‘Double Standard’ Kepada Pekerja Berkenaan Isu Gaji

Sebut sahaja Liga Perdana Inggeris, rata-rata rakyat Malaysia mengenali hampir semua pasukan dan pemain yang bertanding di di dalam liga tersebut. Liga Perdana Inggeris merupakan liga bola sepak yang sangat diminati oleh rakyat negara kita memandangkan liga tersebut merupakan liga yang paling popular berbanding dengan liga bola sepak lain.

Ini disebabkan Liga Perdana Inggeris adalah liga bola sepak yang paling kompetitif di dunia. Saban tahun, juara datang dari pasukan yang berbeza, tidak seperti liga bola sepak Eropah yang lain yang mana hampir setiap musim pasukan yang sama akan memenangi liga domestik mereka.

Liga Perdana Inggeris juga merupakan liga yang paling untung berbanding liga lain di Eropah. Pada tahun lepas sahaja, Liga Perdana Inggeris telah menjana hampir €6 bilion berbanding daripada segi hak penyiaran.

Kini dengan penularan Covid -19, semua aktiviti perlawanan bola sepak di Eropah mula digantung dan Liga Perdana Inggeris juga tidak terkecuali. Apa yang menjadi bualan ramai orang pada ketika ini adalah sebahagian kelab gergasi di dalam Liga Perdana Inggeris itu memberi layanan yang tidak adil kepada para pekerja mereka.

Hal ini terjadi kepada kelab yang menyandang Liga Juara Eropah pada musim lepas iaitu Liverpool. Kelab ini dipercayai masih meneruskan pembayaran kepada pemain utama mereka dengan bayaran yang tinggi seperti biasa, walaupun terdapat cadangan untuk memotong gaji pemain mereka sebanyak 30%.

Apa yang menyedihkan adalah pengurusan kelab Liverpool telah mengeluarkan kenyataan untuk tidak membayar gaji kepada pekerja bawahan kelab tersebut sepanjang tempoh perintah berkurung yang sedang berjalan di England.

Dipercayai seramai 80% pekerja di kelab itu tidak akan menerima gaji dan hanya menerima elaun yang diberikan oleh kerajaan Britain, sama seperti rakyat lain.

Tindakan yang dilakukan oleh kelab Liga Perdana Ingeris ini telah mendapat kritikan dari pemain lagenda England dan Liverpool iaitu Jamie Carragher yang tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah kelab yang  memotong gaji pekerja dibelakang tabir mereka ketika berhadapan dengan krisis ini bagi menyelamatkan kewangan kelab mereka.

Selain daripada Liverpool, Tottenham Hotspur juga mengambil langkah yang sama dengan tidak membayar gaji kepada pekerja mereka. Kelab–kelab kecil yang lain seperti Newcastle United dan Norwich City juga turut melakukan hal yang sama bagi menjaga kewangan kelab mereka.

Walaubagaimanapun, tidak semua kelab di Liga Perdana Inggeris mengambil tindakan yang sama seperti Liverpool dan Tottenham Hotspur. Dua lagi kelab gergasi yang berada di hadapan seperti Manchester United dan Manchester City berjanji tidak akan mengabaikan mana-mana pekerja mereka. Menurut pemilik kelab Manchester City, Khaldoon Al Mubarak telah berjanji bahawa kelab itu akan membayar gaji pekerja mereka seperti biasa.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.