Penyelesaian Pengurusan Kredit Dan Pemantauan Kredit Percuma Untuk Syarikat, PKS & Pengguna

Ketika kerajaan dan barisan hadapan penjagaan kesihatan memerangi wabak Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac juga mencetuskan cabaran ekonomi dan kewangan yang belum pernah dilihat sebelum ini dalam kalangan syarikat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengguna.

Malah, ‘normal baharu’ pada hari ini memerlukan syarikat dan PKS Malaysia untuk memindahkan urusan perniagaan mereka ke platform digital dengan selancar yang boleh; sama ada untuk menjalankan proses perniagaan, membuat keputusan mahupun menguruskan kredit. Ini membolehkan mereka beroperasi dari jauh, secara berkolaborasi dan jimat kos. Pada masa yang sama, para pengguna turut perlu memantau kesihatan kredit dan melindungi identiti peribadi mereka.

Experian, syarikat perkhidmatan maklumat global terkemuka di dunia, pantas menguatkan kehadirannya di Malaysia pada tahun 2019 dengan memperoleh saham majoriti di RAMCI (RAM Credit Information Sdn Bhd) yang sejak itu telah dijenamakan semula sebagai Experian pada Disember lalu. Demi membantu pengguna dan perniagaan Malaysia yang kini menghadapi pandemik Covid-19, Experian menawarkan penyelesaian pemantauan kesihatan kredit dan pengurusan kredit secara percuma dalam menempuhi cabaran masa kini.

Memperkasakan Syarikat dan PKS ke arah Digital

Syarikat dan PKS Malaysia boleh mendapat langganan 2 bulan percuma untuk CrediTrack+ yang menawarkan penyelesaian untuk pengurusan risiko kredit dan pengutipan hutang selain pengurusan hubungan pelanggan secara digital, perkongsian & penyimpanan fail selamat, serta analisis perniagaan.

Platform digital yang padu, lancar dan serba-boleh ini mengintegrasikan maklumat pelanggan dan membantu para peniaga untuk menilai, melindungi dan menguruskan proses pengurusan kredit mereka dengan berkesan.

Selama tempoh 2 bulan, mereka dapat menilai prospek berpotensi dengan menggunakan 60 laporan kredit percuma, melindungi perniagaan melalui pemantauan percuma sehingga 500 pelanggan, pembekal dan rakan kongsi sedia ada setiap bulan. Selain itu, mereka juga boleh mengakses platform pemulihan dan pengurusan kredit untuk memantau serta mengurus pembayaran. Syarikat juga dijamin dapat menyimpan dokumen dan laporan penting dengan selamat di platform CrediTrack+.

Dawn Lai, Ketua Pegawai Eksekutif, Experian Information Services (Malaysia), berkata, “Kami juga menggalakkan syarikat dan PKS supaya berfikir bukan sahaja untuk mengendalikan cabaran semasa, namun turut mengambil pandangan jangka panjang bagi memanfaatkan CrediTrack+ demi meningkatkan kemampuan digital mereka dan mempersiapkan diri untuk peluang pertumbuhan dalam ekonomi digital.

“Inilah masa yang paling penting untuk syarikat dan PKS Malaysia berpeluang mengubah perniagaan mereka ke platform digital supaya mereka dapat mengatasi krisis ini, sekaligus mempersiapkan diri apabila ekonomi kembali bermula ke era digital baharu. Experian berperanan untuk membawa transformasi digital kekal dan kami percaya kami dapat membantu syarikat dan PKS dalam mempercepatkan usaha transformasi digital mereka di saat yang mencabar ini. Dengan keadaan semasa, kami berpeluang untuk berkerjasama dengan banyak syarikat dan PKS untuk meningkatkan kemampuan digital mereka dan kami berharap ramai lagi akan tampil untuk melakukan perkara yang sama,” gesa Lai.

Mendidik Pengguna mengenai Kesihatan Kewangan

Bagi pengguna, Lai mengumumkan bahawa Experian di Malaysia menawarkan perkhidmatan pemantauan kesihatan kredit percuma selama 3 bulan melalui JagaMyID.

“Pengguna mesti mengambil tanggungjawab untuk mengesan dan mencegah penipuan identiti sambil mengekalkan dan menguruskan kesihatan kredit mereka semasa pandemik Covid-19 ini. Ia adalah penting bagi mereka untuk mengetahui sebarang perubahan pada profil kredit mereka dan juga untuk sentiasa menilai skor kredit mereka melalui laporan tersebut. Mereka yang mengalami kesulitan kewangan juga mungkin tertanya-tanya bagaimanakah pembayaran lambat atau pembayaran yang dikurangkan akan mungkin mempengaruhi laporan  Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat  (CCRIS) oleh Bank Negara. Kami menggesa individu yang mempunyai kegusaran sebegini untuk bersikap proaktif dan memeriksa laporan kredit mereka secara berkala supaya setiap maklumat tersenarai mengenai penangguhan pinjaman atau perubahan adalah tepat dan menghubungi pemberi pinjaman dan pemiutang mereka untuk membincangkan pilihan yang ada, ” katanya.

Antara ciri-ciri lain, JagaMyID percuma Experian membolehkan pengguna mengakses skor kredit mereka yang terkini (iScore), mengemas kini profil kredit peribadi mereka, menyemak maklumat CCRIS mereka dan mendapatkan maklumat lain yang berkaitan dengan saman undang-undang, tindakan muflis, hutang lapuk dan pembayaran ingkar oleh pemiutang bukan bank.

“Ini adalah penting untuk mendapatkan gambaran makro dari keseluruhan portfolio kredit dan pinjaman anda. Menguruskan kesihatan kredit anda dengan baik juga memperkasakan anda untuk berunding ke arah kadar faedah atau syarat kredit yang lebih baik tatkala anda menempuh masa hadapan yang tidak menentu,” jelas Lai.

Dev Dhiman, Pengarah Urusan, Asia Tenggara & Pasaran Baharu Experian berkata, “Selari dengan arahan global Experian, kami bersiap sedia untuk membantu syarikat, PKS, pengguna dan kerajaan dalam kegawatan ekonomi ini. Dalam masa terdekat, apabila ekonomi kembali bermula, syarikat perlu mengakses kredit dengan cepat. Pengguna, syarikat, pemberi pinjaman dan kerajaan perlu mengambil kira dan menguruskan risiko dengan berhati-hati dalam persekitaran yang telah berubah ini.

“Melihat keadaan semasa, kepakaran Experian dalam data, analitik dan pengambilan keputusan secara langsung amatlah bermanfaat dalam memacu kemudahan dalam pemulihan ekonomi. Oleh itu, kami bersedia untuk menggunakan pengalaman dan pengetahuan kami dari pengendalian perniagaan dan biro maklumat pengguna di lebih 20 pasaran seluruh dunia dimana kami akan dapat berkongsi data terbaik dunia dan penyelesaian yang akan membantu dalam membuat keputusan supaya dapat melayari ketidaktentuan ‘gelora’ masa hadapan dengan berkesan,” tambahnya lagi.

Di samping itu, Dhiman menekankan bahawa pendidikan berterusan mengenai pengurusan kredit dan kewangan adalah sangat penting. Experian kini berusaha untuk berinteraksi dengan syarikat, PKS dan pengguna di samping berbincang dengan kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia dalam meneroka peluang kerjasama untuk memberikan nasihat dan mencadangkan penyelesaian untuk mengatasi cabaran semasa.

Mengulas mengenai usaha untuk membantu Malaysia, Dhiman berkongsi bahawa dengan hampir 1,000 pekerja di Malaysia yang merupakan pasaran terbesar buat Experian di Asia Tenggara, syarikat ini mempunyai tanggungjawab korporat untuk menjaga kesejahteraan mereka dan membantu masyarakat di negara ini.

Untuk menuntut langganan percuma sekarang:

(Syarikat & PKS) Langganan 2 bulan percuma CrediTrack+

(Pengguna) Langganan 3 bulan percuma JagaMyID

Mengenai Experian

Experian® adalah syarikat perkhidmatan maklumat global terkemuka di dunia. Saat-saat terpenting dalam kehidupan – dari membeli rumah atau kereta, menghantar anak melanjutkan pelajaran, sehinggalah mendapatkan pelanggan baharu untuk mengembangkan perniagaan – kami meletakkan kuasa di tangan pengguna dan pelanggan kami untuk menguruskan data mereka dengan yakin. Antaranya, kami membantu individu untuk mengawal kewangan mereka dan mengakses perkhidmatan kewangan. Kami turut membantu perniagaan untuk membuat keputusan yang lebih bijak supaya mereka dapat berkembang lebih maju. Selain itu, kami membantu pemberi pinjaman untuk memberi pinjaman dengan lebih bertanggungjawab, di samping membantu organisasi untuk mencegah penipuan dan jenayah identiti. Kami mempunyai 17,200 pekerja yang beroperasi di 44 negara dan saban hari, kami melabur ke arah teknologi baharu, bakat baharu dan inovasi untuk membantu semua pelanggan kami memaksimumkan setiap peluang yang tiba. Kami disenaraikan di Bursa Saham London (EXPN) dan tersenarai dalam FTSE 100 Index.

Ketahui lebih lanjut di www.experian.com.my atau lawati laman kandungan global kami untuk mendapatkan berita dan pandangan terkini dari Kumpulan Syarikat kami.

Penjenamaan Semula RAM Credit Information (RAMCI) Ke Experian

RAM Credit Information (RAMCI) kini ialah Experian di Malaysia. Ia secara rasmi dijenamakan semula pada bulan Disember 2019; mewujudkan satu perniagaan bersatu yang menawarkan pelanggan akses yang lebih baik untuk rangkaian penyelesaian yang lebih meluas dari data sehinggalah ke saat membuat keputusan, dikuasakan dengan keupayaan Experian yang berskala global dan terkemuka dalam industri. Dengan ini, Experian kini beroperasi sebagai salah satu biro kredit terkemuka di Malaysia yang diakreditasi di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010. Kami telah membina reputasi sebagai penyedia maklumat kredit dan perniagaan yang dipercayai dalam beberapa dekad kebelakangan ini dan mempunyai pangkalan data komprehensif yang telah dibina sejak 25 tahun yang lalu. Experian merupakan Agensi Pelaporan Kredit (APK) pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan International ISO 27001: 2013 pada Januari 2017.

Hari ini, kami mempunyai pengetahuan domain memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna di Malaysia serta di peringkat global menerusi pelbagai perkhidmatan yang komprehensif. Kami turut berkolaborasi dengan persatuan dan koperasi bagi memenuhi keperluan ahli-ahli mereka. Keupayaan teras Experian termasuk maklumat kredit atas talian, perkhidmatan pemantauan, perkhidmatan pemarkahan kredit, dan perkhidmatan  maklumat antarabangsa.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.