Malaysia Kekal Peneraju Pasaran Modal Islam: Laporan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 2019

Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam (ICM) termasuk sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia dan pusat dana Islam yang terkemuka bagi dana dan pengurusan modal Islam.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan hari ini berkata pada 2019, ICM mewakili 63.57 peratus daripada pasaran modal Malaysia dengan saiz pasaran sebanyak RM2.04 trilion setakat Disember tahun lepas yang merupakan pertumbuhan sebanyak 8.23 peratus berbanding 2018.

Tahun 2019 turut menyaksikan terbitan sukuk bernilai RM102.39 bilion atau 77.09 peratus daripada jumlah terbitan korporat manakala Aset di Bawah Pengurusan (AUM) Islam di negara ini berjumlah RM180.52 bilion atau 21.93 peratus daripada industri pengurusan dana.

Sekuriti patuh syariah merangkumi 64.06 peratus daripada jumlah permodalan pasaran ekuiti dan bernilai sebanyak RM1.1 trilion, kata SC.

“Industri pengurusan dana Islam juga menyaksikan penawaran produk pelaburan baharu dan berinovatif.

“Ini termasuk Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam berasaskan emas, dana Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab Islam serta Sukuk sosial dan hijau,” katanya.

Malah, setakat Disember 2019, terdapat 23 syarikat pengurusan dana Islam yang menawarkan perkhidmatan penuh.

Selain itu, bagi memudahcarakan pembangunan suatu konsep wakaf yang dikaitkan dengan pasaran modal, SC turut mengkaji untuk memanfaatkan produk pelaburan seperti skim pelaburan kolektif yang mana pulangan yang dijana akan disalurkan kepada projek atau inisiatif wakaf.

“SC juga sedang membangunkan struktur dana wakaf untuk rujukan pengurus dana yang berminat untuk menerbitkan produk sedemikian dengan mengambil kira keputusan daripada perundingan terperinci bersama industri.”

Dalam pada itu, SC juga telah melesenkan Wahed Technologies sebagai firma pengurus pelaburan digital Islam (DIM) pertama di Malaysia pada 9 Ogos 2019, berikutan saranan Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam (IFWMB) untuk memudahkan model, produk dan perkhidmatan perniagaan digital Islam yang baru di negara ini.

Ini bagi menyediakan para pelabur akses kepada pelbagai portfolio patuh Syariah secara cekap serta telus dan memudahcarakan hubungan dengan pasaran antarabangsa menerusi syarikat induknya, Wahed Invest yang beroperasi di lebih 130 negara.

SC melancarkan IFWMB bagi tempoh lima tahun pada 2017 untuk merangka hala tuju strategik bagi industri dana dan pengurusan kekayaan Islam di Malaysia. – Bernama

Sumber: BH Online

Muat turun aplikasi Wahed Invest di https://wahedinvest.com/get-started/ dan dapatkan bonus permulaan sebanyak RM10 dengan menggunakan kod ‘ezaado1’ sewaktu pendaftaran.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.