6 Skandal Kewangan Yang Pernah Menggemparkan Malaysia

Setiap daripada kita pasti tahu serba sedikit tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan? Skandal yang berkaitan dengan bekas pemimpin nombor satu negara ini merupakan skandal kewangan terbesar serta menggemparkan negara dan juga dunia.

Ini kerana kerugian yang dianggarkan bernilai berbilion dollar!

Tetapi tahukah anda? 1MDB bukanlah satu-satunya skandal kewangan yang pernah berlaku dalam negara kita. Berikut merupakan 6 skandal kewangan terbesar yang pernah berlaku di negara ini.

1. Skandal Maminco (1981)

Kalau nak tahu, Malaysia dahulunya merupakan pengeluar timah terbesar di dunia! Kita menguasai 31% pengeluaran timah dunia ketika itu. Dan timah merupakan di antara eksport terbesar yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Jadi, untuk mengawal harga timah, sebuah syarikat yang diberi nama Mamico Sdn. Bhd. telah ditubuhkan. Apa yang dilakukan oleh syarikat ini adalah ia akan melakukan pembelian ‘olok-olok’ secara kontrak.

Ini dilakukan supaya harga timah kekal tinggi kerana terdapatnya permintaan. Bagi melakukan pembelian ini, Maminco telah membuat pinjaman dengan Bank Bumiputra (kini CIMB) yang berjumlah RM1.5 bilion.

Pada mulanya strategi ini berjaya. Tetapi disebabkan tiada kawalan harga, negara pengeluar timah yang lain mula menjual timah mereka dengan harga yang lebih rendah sehingga menyebabkan harga timah negara jatuh.

Maminco akhirnya tidak dapat membayar kembali pinjaman dan menyebabkan negara menanggung kerugian yang sangat besar.

2. Skandal Perwaja Steel (1992)

Perwaja Steel ditubuhkan dalam usaha untuk menggalakkan ekonomi berasaskan perindustrian di negara ini. Sebagai langkah awal, mereka telah menjalankan usaha sama dengan syarikat dari Jepun iaitu Nippon Steel Corporation.

Tetapi disebabkan oleh masalah pengeluaran dan operasi, Nippon Steel telah menarik diri dari usaha sama ini dan meninggalkan Perwaja Steel untuk menanggung segala hutang. Hutang yang ditanggung ketika itu telah mencecah RM1 bilion!

Bagi menyelamatkan syarikat ini, kerajaan telah memberikan RM2 bilion dengan dana daripada Bank Bumiputra dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Namun, syarikat ini terus mengalami kerugian sehingga aset-asetnya mula dilupuskan pada tahun 2018 bagi melunaskan hutang-hutang yang ditanggung,

3. Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)

Zon Bebas Pelabuhan Klang atau Port Klang Free Zone (PKFZ) merupakan cetusan idea daripada bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr. Ling Liong Sik. PKFZ dibina untuk menambahkan lagi kemasukkan kargo ke Pelabuhan Klang. Ini sekaligus dapat menjana ekonomi serta menambah peluang pekerjaan.

Setelah dibuka, PKFZ mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelabur dari dalam dan luar negara. Spekulasi tentang skandal PKFZ mula timbul apabila kos projek meningkat berkali ganda daripada anggaran kos awal iaitu RM1.1 bilion.

Melalui audit yang dilakukan pada tahun 2008, kos keseluruhan projek ini adalah RM12.5 bilion! Perbezaan yang sangat ketara bukan?

4. Skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF)

Kes yang melibatkan anak syarikat Bank Bumiputera Berhad (BBMB) ini merupakan skandal kewangan terbesar negara yang pertama. Kes ini turut mendapat perhatian media antarabangsa kerana melibatkan pembunuhan dan juga syarikat yang berpangkalan di Hong Kong.

Pada tahun 1983, BMF telah meluluskan pinjaman yang besar kepada Carrian Group yang berpangkalan di Hong Kong. Masalahnya syarikat ini mempunyai rekod yang samar-samar. Carrian Group kemudiannya gagal melunaskan hutang yang dipinjam.

BMF kemudian menghantar pegawai mereka ke Hong Kong untuk melakukan audit bagi menyiasat kes ini. Tetapi pegawai mereka iaitu Jalil Ibrahim telah dibunuh. Namun sebelum dibunuh, Allahyarham sempat menghantar laporan audit yang membuktikan terdapat salah laku dalam urusan meluluskan pinjaman BMF.

Kes ini berlanjutan selama 17 tahun di Hong Kong. Kerajaan pula terpaksa menyalurkan dana berbilion ringgit bagi menutup kerugian yang dialami BMF.

5. Skandal Perdagangan Mata Wang Bank Negara Malaysia (BNM)

Pada awal 1990-an, Bank Negara Malaysia pernah melibatkan diri dalam perdagangan mata wang. Apa yang dilakukan BNM ialah, mereka akan membeli mata wang negara lain dalam kuantiti yang besar beberapa kali dalam masa sehari.

Ini kemudiannya akan mempengaruhi pelabur-pelabur lain untuk membeli mata wang yang sama sekaligus meningkatkan nilai mata wang tersebut. BNM kemudiannya akan menjual semula mata wang ini pada harga yang lebih tinggi.

Tetapi dalam satu transaksi jual beli, BNM telah membeli Pound Sterling dengan nilai yang sangat besar kerana menjangkakan mata wang tersebut akan meningkat naik. Namun sebaliknya yang berlaku dan ini telah menyebabkan BNM kerugian lebih daripada RM30 bilion!

Pada tahun 2017, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI untuk menyiasat kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia dalam perdagangan mata wang asing ini mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.

Namun, kerajaan telah menarik balik laporan polis yang disyorkan laporan RCI dan mengklasifikasikan kes itu sebagai “Tiada tindakan lanjut” atau NFA- No further action.

6. 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

1Malaysia Development Berhad merupakan syarikat pembangunan strategik milik penuh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia. 1MDB telah ditubuhkan sebagai suatu langkah inisiatif strategik pembangunan ekonomi negara Malaysia untuk jangka masa panjang, dengan mendapatkan kerjasama dan menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI).

Kontroversi timbul apabila ada yang mengaitkan hartawan Pulau Pinang Jho Low, yang mempunyai ikatan rapat dengan anak tiri Dato Seri Mohd Najib Razak (Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu) iaitu Riza Aziz, menerusi Jho Low telah berjaya menyedut $700 juta USD; dari permuafakatan niaga antara 1MDB dan syarikat eksplorasi minyak terkemuka dunia PetroSaudi.

Katanya juga Jho Low telah memiliki pinjaman yang disahkan oleh Perdana Menteri bernilai US$1 bilion tanpa mendapatkan kebenaran dari Bank Negara terlebih dahulu.

Sejumlah wang yang berjumlah $700 juta USD atau RM2.67 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan di AmBank dan Affin Bank, yang mana kedua-kedua akaun tersebut penamanya adalah Dato Seri Mohd Najib Razak.

Setakat ini, Malaysia telah berjaya mendapatkan semula $322 juta (RM1.3 bilion) aset 1MDB daripada nilai $4.5 bilion aset yang didakwa telah dicuri daripada 1MDB.

Sumber Rujukan:

  1. https://iluminasi.com
  2. https://sozcyili.blogspot.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.