Kita Tak Akan Jadi Kaya Dengan Hanya Menabung

Nasihat untuk “menjadi kaya” biasanya tertumpu pada wang simpanan, dan memupuk tabiat menabung dari kecil. Memang benar ada individu yang berjaya menabung sampai membeli rumah, tetapi ada juga yang gagal dan terpaksa diisytiharkan sebagai muflis.

Membina kekayaan memerlukan rancangan untuk mengembangkan wang simpanan dan mengatasi kadar inflasi. Terus membaca untuk mengetahui mengapa sikap menabung sahaja tidak mencukupi untuk menjamin masa depan anda.

1. Ia Tidak Menangani Kenaikan Inflasi

Walaupun “simpanan” dan “pelaburan” sering digunakan secara silih berganti, kedua-dua konsep ini mempunyai tujuan yang berlainan.

Simpanan memelihara wang daripada kerugian fizikal, tanpa mengambil kira perubahan nilai wang tersebut.

Walaupun menyimpan wang adalah tabiat yang baik, ia tidak semestinya melindungi anda daripada keadaan pasaran seperti kemerosotan ekonomi atau kadar inflasi yang tinggi, yang mungkin menyebabkan nilai simpanan anda merosot dari masa ke masa.

Sebagai contoh, anda menabung RM10 dalam akaun simpanan. Amaun ini mencukupi untuk membeli satu minuman bubble tea. Tetapi, dalam masa setahun, harga minuman tersebut meningkat ke RM10.30. Walaupun anda masih mempunyai simpanan RM10, barangan yang boleh dibeli dengan jumlah wang tersebut akan berkurangan.

Inilah yang dikatakan inflasi.

Untuk menangani inflasi dan mengekalkan taraf hidup semasa anda, anda perlu menambahkan nilai simpanan anda pada kadar yang sama atau lebih tinggi daripada kadar inflasi semasa.

Beberapa cara untuk mencapai matlamat ini adalah dengan melaburkan wang dalam hartanah, unit amanah, Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dan skim persaraan swasta (PRS).
Pelaburan seperti ini meningkatkan nilai simpanan anda dan melindungi nilai wang tersebut dari kemerosotan ekonomi.

2. Ia Mengambil Masa Lebih Lama Untuk Mencapai Matlamat Anda

Kita dinasihati untuk menabung dari usia muda. Antara sebabnya ialah untuk menjamin masa depan atau untuk memenuhi hasrat membeli rumah atau kereta. Bagi orang ramai, nasihat ini memanglah berbaloi.

Walaubagaimanapun, cara ini memerlukan masa yang panjang untuk mencapai matlamat. Terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tinggi.

Contohnya, jika isi rumah anda mempunyai pendapatan median di Malaysia (RM5,000) dan anda dapat menabung 20% dari pendapatan ini bagi tujuan membayar wang pendahuluan untuk rumah yang berharga RM600,000.

Wang simpanan bulanan RM5,000 x 20% = RM1,000
Wang pendahuluan rumah RM600,000 x 10% = RM60,000

Tempoh masa yang diperlukan = RM60,000/RM1,000 = 60 bulan = 5 tahun

Bandingkan jika wang ini dilaburkan dengan kadar 6%:

RM1,000 x 60 bulan x 6% setahun = RM69,485.79.

Dengan ini, anda boleh melihat yang pelaburan dengan kadar yang konservatif mempunyai nilai kewangan 15% lebih tinggi dari hanya menabung. Dengan cara ini, anda boleh mencapai matlamat anda dalam tempoh masa yang lebih pendek.

3. Ia Tidak Menghasilkan Pulangan Yang Tinggi

Pada masa ini, akaun simpanan di bank biasanya memberi hasil pulangan kurang dari 2%. Jika dibandingkan dengan purata kadar inflasi untuk 10 tahun yang bernilai 2.23%, nilai wang anda telah merosot jika hanya menabung sahaja.

Find more statistics at Statista

Menabung melalui Tabung Haji menjadi kebiasaan untuk golongan beragama Islam. Akan tetapi, pulangan yang pada suatu ketika membayar dividen tinggi sudah berkurangan sehingga kadar 3.05% pada 2019 dan 1.25% pada 2018.

Nasihat untuk memupuk tabiat menyimpan wang atau menabung untuk masa depan perlu dikaji semula. Ibubapa mungkin perlu mengambil kira nasihat ini: melabur RM1,000 sahaja, dengan kadar pulangan purata 10% setahun, akan menjadi RM1,465 dalam tempoh lima tahun – ini merupakan pulangan pelaburan lebih 46%!

Tidak ada satu strategi pelaburan yang akan menjamin kejayaan, tetapi sekurang-kurangnya kemungkinan mencapai matlamat anda adalah lebih baik berbanding dengan semata-mata menabung.

Setiap kaedah pelaburan mempunyai ciri dan risikonya tersendiri, dan tertakluk kepada keadaan pasaran yang tidak menentu. Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, ketidaktentuan tersebut dijangka bergerak ke arah trajektori yang lebih tinggi dan menghasilkan pulangan kewangan yang besar bagi pelabur.

Artikel ini diterbitkan untuk kali pertama di iMoney Malaysia. Layari laman web iMoney untuk mempelajari cara-cara mengurus kewangan peribadi anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.