4 Tips Nak Buat Pelan Pewarisan Perniagaan

Sebagai seorang usahawan, pernahkah kita terfikir bagaimana perniagaan yang dijalankan dapat terus beroperasi walaupun selepas kita tiada nanti?

Siapa yang akan menguruskannya? Bagaimana nasib para pekerja? Adakah perniagaan kita akan turut mati setelah kita mati?

Perkara ini seharusnya bermain di minda seorang usahawan, tidak kira yang masih muda atau pun yang telah lanjut usia. Ini kerana, perancangan pewarisan perniagaan adalah suatu kemestian yang dilakukan oleh semua usahawan.

Ada usahawan yang ingin ‘bersara’ awal dan menyerahkan urusan perniagaan kepada anak. Ada pula usahawan yang ingin terus mengemudi perniagaannya sehingga ke hujung usia.

Kedua-duanya memerlukan kepada perancangan pewarisan perniagaan.

Hak Pengurusan dan Hak Milik

Sebelum membuat perancangan pewarisan perniagaan, perlu difahami terlebih dahulu perbezaan di antara Hak Pengurusan dan Hak Milik (Management vs. Ownership). Kedua-duanya adalah perkara yang berbeza.

Contoh mudah, kita sebagai usahawan berhasrat untuk menyerahkan tanggungjawab menguruskan perniagaan kepada anak yang dirasakan paling berpotensi untuk menguruskannya dan dalam masa yang sama memberikan saham pemilikan yang sama rata kepada semua anak-anak.

Bagi tujuan ini, seharusnya usahawan mendapatkan bantuan daripada perancang kewangan profesional dan juga peguam yang terlibat secara langsung dengan perancangan pewarisan perniagaan. Mereka akan dapat membantu dalam memberikan khidmat nasihat serta strategi terbaik bagi memastikan pewarisan perniagaan berjalan dengan baik.

Bahkan mereka juga akan mencadangkan strategi terbaik untuk meminimakan cukai semasa proses pewarisan tersebut.

Tips Perancangan Pewarisan Perniagaan

1. Tiada istilah terlalu awal atau terlalu lambat, melainkan jika usahawan tersebut meninggal dunia sebelum membuat perancangan. Perancangan pewarisan hakikatnya adalah satu strategi keluar (exit strategy) usahawan dalam sesebuah perniagaan.

Sampai bila nak uruskan perniagaan? Berniaga bukan macam bekerja kerajaan, ada masa pencen dan dalam masa sama masih terima pendapatan (pencen).

2. Libatkan ahli keluarga. Realitinya, kita sebagai usahawan pasti lebih cenderung untuk mewariskan perniagaan kepada ahli keluarga sendiri, sama ada hak pengurusan mahu pun hak pemilikan.

Oleh itu, libatkan ahli keluarga dalam perbincangan pewarisan tersebut. Jangan buat keputusan selagi tidak mendapat input daripada mereka.

Boleh jadi ada ahli keluarga yang mahu menyumbang secara langsung dalam pengurusan perniagaan dan boleh jadi mereka hanya mahu terima bahagian saham pemilikan tanpa pening kepala bab pengurusan.

Kuncinya adalah berbincang dan dapatkan pandangan daripada ahli keluarga.

3. Latih pewaris perniagaan yang telah dilantik. Beri dia kepercayaan dan tanggungjawab menguruskan jabatan, projek dan kerja-kerja yang terdapat dalam perniagaan.

Letak satu tempoh masa untuk melihat perkembangan prestasi pewaris tersebut, sama ada dia memang benar-benar layak atau pun perlu mencari pengganti lain.

4. Dapatkan khidmat nasihat profesional. Peguam, akauntan dan perancang kewangan profesional akan dapat membantu usahawan melicinkan lagi proses pewarisan perniagaan.

Sekiranya berlaku sebarang gangguan (hiccup) dalam proses pewarisan tersebut, golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam pewarisan perniagaan akan menyediakan jalan keluar supaya proses dapat berjalan lancar.

Kesimpulannya, perancangan pewarisan perniagaan hakikatnya memerlukan kolaborasi golongan profesional dan juga pandangan daripada ahli keluarga juga sekiranya usahawan mahu mewariskan perniagaan kepada keluarga.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian