3 Jenis Persaraan, Oleh Itu Rancanglah Persaraan Anda Dengan Baik

Media sosial sekarang kecoh perihal kemahuan rakyat supaya kerajaan beri kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dari Akaun 1 secara ‘one-off’ kepada semua pencarum.

Kerajaan juga telah beri kebenaran untuk pengeluaran Akaun 1 sekiranya hilang pekerjaan. Pengeluaran Akaun 1 boleh dilakukan sehingga RM60,000 bergantung kepada baki akaun 1 KWSP.

Kalau bincang mengenai persaraan, ramai yang pandang remeh mengenai persediaan untuk persaraan. Mereka yang masih muda akan rasa dana persaraan tidak diperlukan kerana rasa masa masih panjang sebelum kita bersara.

Cuba kita bayangkan, kita ambil contoh Ali yang mula bekerja umur 25 tahun. Ali perlu bekerja selama 35 tahun sehingga umur 60 tahun. Lepas bersara, Ali tidak mempunyai pendapatan dan perlu bergantung kepada simpanan sehingga meninggal dunia.

Kalau kita buat anggaran kasar, berapa peratus gaji yang perlu kita simpan supaya dana persaraan mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tempoh persaraan sedangkan kita hanya bekerja selama 35 tahun?

Mari kita lihat beberapa jenis persaraan yang boleh terjadi dalam hidup kita.

1. Persaraan Wajib (Mandatory)

Persaraan wajib adalah persaraan sekiranya kita mencapai had umur persaraan iaitu 60 tahun. Kebiasaannya mereka yang mencapai umur 55 ke 60 tahun, tahap produktiviti akan menurun.

Apabila mencapai umur persaraan 60 tahun, majikan boleh memberhentikan pekerja tetap atas alasan sudah mencapai umur persaraan.

Setiap orang perlu bersedia daripada segi kewangan untuk memastikan pesara mampu meneruskan kehidupan tanpa perlu bekerja. Simpanan KWSP merupakan salah satu cara untuk memastikan mereka yang mencapai umur persaraan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Namun begitu, menurut laporan tahunan KWSP 2018, 2.8 juta rakyat Malaysia mempunyai simpanan kurang daripada RM20,000. Data ini sangat membimbangkan kerana sudah pastinya ia tidak mencukupi untuk pesara menampung kehidupan mereka.

Selain bergantung kepada caruman KWSP, cara lain untuk meningkatkan tabung persaraan adalah dengan membuat caruman tambahan ke dalam akaun KWSP atau membuka akaun Private Retirement Scheme (PRS), dana persaraan yang diuruskan oleh pihak swasta.

2. Persaraan Pilihan (Optional)

Persaraan pilihan ialah kelebihan untuk mereka yang mampu bersara awal kerana sudah mempunyai tahap kewangan yang mencukupi. Kebiasaannya mereka yang sudah mencapai kebebasan kewangan mempunyai pilihan untuk bersara awal.

Cara untuk mencapai persaraan awal ialah dengan memastikan kita mempunyai pendapatan pasif yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan hidup kita.

3. Persaraan Akibat Keadaan Kesihatan

Ada juga yang terpaksa bersara awal kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan terutama apabila umur dah semakin lanjut. Mereka yang mengalami sakit kritikal atau hilang upaya kekal tidak lagi mampu untuk bekerja.

Situasi ini sangat sukar untuk mereka yang tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik, kerana tahap kesihatan mungkin berubah sekelip mata seperti ditimpa kemalangan dan sebagainya.

Mereka yang cakna dengan perancangan kewangan peribadi sudah pasti akan mempunyai pelan takaful nyawa dan insurans sebagai income replacement akibat tidak lagi mampu bekerja.

Kesimpulan

Adalah penting untuk kita merancang kewangan dengan baik dan pastikan kita mempunyai dana persaraan yang mencukupi. Selain daripada itu, ada juga yang terlibat dengan gerakan FIRE iaitu Financial Independence, Retire Early untuk bersara awal.

Dana persaraan digunakan untuk mencapai kebebasan kewangan dengan pendapatan pasif yang cukup untuk menampung perbelanjaan hidup.

Siapa yang tak suka kalau dapat bersara awal? Lepas tu bolehlah nak melancong satu dunia waktu masih muda.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.