Tik Tok, Senjata Rahsia Walmart Untuk Bersaing Dengan Amazon Dalam Dunia E-Commerce

Sama seperti banyak perniagaan yang lain, Walmart mengahadapi cabaran yang getir ketika musim pandemik melanda. Syarikat ini menguasai pasaran barangan runcit di Amerika Syarikat dengan menawarkan harga yang rendah.

Walmart sukar disaingi oleh pesaing yang lain kerana strategi yang mereka lakukan sangat berkesan. Setiap kedai Walmart terletak di antara jarak 5 batu dari rumah setiap penduduk Amerika Syarikat yang merangkumi 70% kawasan di negara tersebut.

Ketika wabak pandemik ini merebak, jualan di dalam kedai telah turun dengan begitu mendadak sekali dan Walmart tidak terkecuali. Syarikat itu kini bergantung kepada jualan E-commerce bagi meneruskan perniagaan mereka. Malangnya, apabila memasuki dunia E-commerce, Walmart terpaksa bersaing dengan gergasi peruncitan dunia iaitu Amazon.

Walmart mampu menewaskan pesaingnya di dalam jualan kedai fizikal tetapi apabila berdepan dengan Amazon, mereka tidak mampu untuk bersaing malah jauh ketinggalan di belakang Amazon dalam E-commerce.

Di antara langkah yang pernah dilakukan Walmart untuk bersaing dengan Amazon adalah dengan meniru program seperti Amazon Prime pada tahun 2015. Setahun kemudian, Walmart telah membeli jet.com untuk menguatkan penguasaan mereka dalam pasaran E-commerce.

Kredit Gambar: Anvil Mediainc

Pada tahun ini pula, Walmart telah memperbaharui programnya yang diberi nama Walmart Plus untuk merebut pelanggan Amazon. Kini, Walmart melangkah ke depan dalam menguasai pasaran E-commerce negara itu dengan membeli sebahagian syarikat media sosial yang sangat popular iaitu Tik Tok.

Baca: Walmart Plus, Program Terbaru Dari Walmart Untuk Bersaing Dengan Amazon Prime

Seperti yang kita sedia maklum, pentadbiran Donald Trump telah menghalang Tik Tok daripada terus beroperasi di negara tersebut kerana menurut Donald Trump, syarikat tersebut adalah wakil kepada Kerajaan Komunis China dalam mengumpul data  penduduk Amerika Syarikat. Ini disebabkan hubungan yang rapat di antara Parti Komunis China dengan Tik Tok.

Donald Trump yang memberi kata dua kepada ByteDance untuk keluar dari Amerika Syarikat atau operasi syarikat tersebut dijual kepada mana-mana syarikat yang ada di Amerika Syarikat. Akhirnya ByteDance terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Donald Trump dan mereka telah menjual operasi syarikat tersebut kepada Oracle dan juga Walmart.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa Walmart begitu berminat untuk mendapatkan Tik Tok sedangkan perniagaan syarikat tersebut tidak mempunyai kaitan di antara satu sama lain. Tak ramai yang tahu bahawa tujuannya adalah untuk menggunakan platform Tik Tok untuk membuat iklan bagi pasaran E-commerce di Amerika Syarikat.

Tik Tok yang merupakan aplikasi yang sangat popular di mana dalam tempoh yang singkat, aplikasi tersebut telah mempunyai beratus juta pengguna di Amerika Syarikat. Walmart ingin menggunakan populariti Tik Tok untuk membuat livestreaming video commerce yang mana pengiklanan ini telah dibuat oleh ByteDance di China dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Teknik pengiklanan ini menggunakan influencer untuk mempromosikan barangan yang dijual secara langsung. Dengan teknik pengiklanan sebegini yang masih baru, ia mempunyai peluang yang cerah untuk berjaya di Amerika Syarikat.

Menerusi teknik ini, Walmart dijangka dapat merapatkan jurang di antara mereka dan Amazon tak lama lagi.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.