iProperty.com.my Mendedahkan 10 Kawasan Kediaman Paling Popular Di Malaysia Pada Tahun 2020

iProperty.com.my, telah mendedahkan 10 kawasan kediaman yang paling banyak dicari oleh pembeli rumah Malaysia pada tahun 2020. Data yang diperolehi berdasarkan carian tertinggi oleh pengunjung yang melayari Laman Web Hartanah No. 1 di  Malaysia, iProperty.com.my, dari bulan Januari hingga Disember 2020.

Kawasan-kawasan ini disusun secara menaik dan populariti bagi setiap kawasan dipaparkan dalam bentuk peratusan (%).

Nombor 10: Kota Damansara

Peratusan carian: 6.79%

Kemudahan dan infrastruktur yang bertambah baik, ditambah pula dengan sistem pengangkutan yang semakin luas, ia menjadikan kawasan ini cukup selesa untuk didiami. MRT Kota Damansara memudahkan akses ke kawasan-kawasan lain di Lembah Klang dan dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya ketika waktu puncak.

Selain itu,  Kota Damansara juga menawarkan hartanah dari pelbagai lingkungan harga. Median harga bagi sebuah kondominium ialah RM600,000 manakala median harga sewa bagi sebuah unit kondominium yang  dilengkapi perabot serta tiga bilik tidur berkeluasan 1,237 kps ialah RM2,300. Bukan itu sahaja, kawasan ini juga mudah untuk diakses melalui LDP dan NKVE yang hanya memerlukan perjalanan memandu yang singkat dari Bandar Utama, Mutiara Damansara, Damansara Perdana, dan lain-lain.

Nombor 9: Rawang

Peratusan carian: 6.93%

Rawang telah mengalami pelbagai transformasi selama hampir 200 tahun sejak era British Malaya. Kini, Rawang telah berkembang dengan pesat, dari sebuah kawasan bandar lama kepada sebuah kawasan bandar yang maju. Permintaan serta perkembangan hartanah yang pesat telah membuka pasaran hartanah kediaman di Rawang. Rumah teres di sini juga masih dalam julat harga yang mampu milik berbanding dengan kawasan-kawasan lain di Lembah Klang. Berdasarkan data dari Brickz, median harga bagi sebuah rumah teres di Rawang ialah RM289,000.

Harga yang lebih berpatutuan ini telah mendorong lebih ramai pembeli untuk berpindah ke Rawang. Mereka yang berkeluarga, tidak kira warga tempatan atau warga asing yang ingin memiliki rumah teres juga berminat untuk berpindah ke Rawang kerana terdapat pelbagai pilihan pusat pengajian seperti sekolah kebangsaan, sekolah vernakular dan sekolah antarabangsa.

Nombor 8: Tropicana

Peratusan carian: 7.57%

Tropicana Golf & Country Resort merupakan komuniti berpagar yang eksklusif dan menyeluruh. Kawasan kejiranan berkeluasan 625 ekar ini terletak di kawasan pinggir bandar Petaling Jaya dan ia merupakan kawasan kediaman bagi mereka yang sukakan keselesaan dan rumah berkonsepkan rumah rehat (resort).

Kawasan ini juga menawarkan pelbagai pilihan rumah seperti rumah pautan, semi-D, dan banglo yang dikelilingi landskap yang memukau serta rimbunan tumbuhan hijau yang menenangkan. Median harga bagi sebuah banglo di  Tropicana Golf & Country Resort ialah RM2.3 juta.

Nombor 7: Ipoh

Peratusan carian: 7.71%

Ipoh merupakan ibu negeri Perak dan juga merupakan salah satu tarikan terbesar di Malaysia. Bandar yang dahulunya merupakan kawasan perlombongan ini terletak kira-kira 200 km dari Kuala Lumpur (KL) dan 150 km dari Butterworth (Seberang Perai).

Berdasarkan senarai hartanah di iProperty.com.my, rumah-rumah teres di Ipoh dilengkapi kemudahan tiga hingga lima bilik tidur serta berkeluasan dari 1,200 kps hingga 4,550 kps. Median harga bagi sebuah rumah teres di Ipoh pula ialah RM220,000. Bukan itu sahaja, Ipoh juga menduduki tangga teratas bagi kawasan popular di Malaysia dengan hartanah di bawah RM500,000.

Nombor 6: Ampang

Peratusan carian: 8.22%

Selain Mont Kiara, Ampang juga menjadi pilihan komuniti ekspatriat kerana kemudahan yang disediakan seperti sekolah antarabangsa, kemudahan perubatan swasta dan juga tempat-tempat hiburan.

Selain itu, ia juga merupakan sebuah kejiranan bagi sebilangan besar komuniti warga Korea di Lembah Klang. Seterusnya, kawasan ini juga terletak berdekatan KL Golden Triangle dan jalan serta lebuh raya utama seperti Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, AKLEH dan MRR2. Bukan itu sahaja, kawasan ini juga turut disenaraikan sebagai salah satu kawasan rumah sewa di Malaysia yang paling tinggi cariannya pada tahun 2020. Median harga bagi sebuah kondominium di Ampang ialah RM 1.15 juta.

Nombor 5: Damansara Heights

Peratusan carian: 9.67%

Kejiranan Damansara Heights atau Bukit Damansara turut dikenali sebagai Beverly Hills Malaysia kerana dipenuhi dengan deretan banglo, villa, dan juga kediaman mewah yang lain. Antara kejiranan yang berdekatan ialah Bukit Kiara, Sri Hartamas, dan Bukit Tunku manakala median harga bagi sebuah banglo di Damansara Heights ialah RM 3.5 juta.

Selain daripada golongan elit, kawasan ini turut menarik minat golongan ekspatriat kerana kehidupan malam yang penuh hiburan dan menarik, serta pelbagai pilihan restoran. Bukan itu sahaja, ia juga dikelilingi dengan jaringan lebuh raya dan jalan raya utama yang baik seperti Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Damansara, Kerinchi dan Damansara Link. Selain itu, akses ke Lebuhraya Sultan Abdul Halim juga mudah kerana lokasinya yang berdekatan.

Nombor 4: Cheras

Peratusan carian: 10.60%

Cheras masih berada dalam lima tangga teratas bagi kawasan yang paling dicari oleh pembeli rumah di Malaysia. Walaupun ia telah turun ke tangga keempat pada tahun 2020, Cheras masih lagi popular dalam kalangan pembeli rumah dan juga bakal pembeli rumah. Cheras bukan sahaja kawasan bandar dengan akses paling mudah ke laluan rel utama, malah ia merupakan salah satu kawasan rumah sewa di Malaysia yang paling tinggi cariannya pada tahun 2020.

Dengan perkhidmatan pengangkutan awam dan kemudahan-kemudahan lain yang sudah tersedia serta pelbagai pilihan jenis rumah, ia menjadikan Cheras sebagai salah satu tarikan bagi mereka yang ingin membeli rumah dan juga pelabur. Median harga bagi sebuah kondominium di Cheras (KL) ialah RM350,000.

Nombor 3: Shah Alam

Peratusan carian: 10.66%

Ibu negeri Selangor ini merupakan bandar terancang pertama di Malaysia dan dikenali dengan tarikan kawasan yang mesra keluarga seperti i-City. Selain itu, LRT Bandar Utama-Klang Line atau LRT 3 turut menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia di Klang yang bukan sahaja memendekkan masa perjalanan di kawasan-kawasan lain di sekitar Lembah Klang malah turut menjamin pertumbuhan modal bagi hartanah di Shah Alam terutamanya projek yang berdekatan dengan laluan tren.

Laluan  LRT baru ini akan menambahbaik jaringan pengangkutan untuk seramai dua juta orang dari Koridor Barat ke bahagian lain di Lembah Klang. Terdapat sekurang-kurangnya empat hartanah di  Shah Alam yang berdekatan LRT 3 . Median harga bagi sebuah kondominium di Shah Alam ialah RM390,000.

Berdasarkan laporan separuh tahun pertama 2020 Portal Demand Analytics oleh iProperty.com.my, Shah Alam merekodkan permintaan hartanah kediaman yang positif sebanyak +7.63%.

Nombor 2: Petaling Jaya

Peratusan carian: 15.60%

Petaling Jaya meningkat dari tangga keenam pada tahun lepas kepada tempat kedua pada tahun 2020. Ia juga merupakan antara salah satu kawasan yang mendapat carian tertinggi dalam kalangan penyewa pada tahun 2020. Ini didorong oleh kedudukan PJ yang berdekatan dengan KL dan pelbagai kemudahan yang sudah tersedia.

Selain dari 1 Utama yang sudah popular sejak sekian lama, terdapat pusat beli belah berdekatan lain seperti Paradigm Mall, Atria Shopping Gallery, dan Starling Mall di Uptown Damansara.

LRT 3 juga menambahbaik jaringan pengangkutan awam di PJ dengan memudahkan perjalanan ke Bandar Utama, Shah Alam, dan Klang. Akan datang, lima stesen LRT 3 akan dibina di kawasan PJ.

Nombor 1: Johor Bahru

Peratusan carian: 16.24%

Johor Bahru mengungguli carta bagi kawasan yang mendapat carian tertinggi dalam kalangan pembeli rumah di Malaysia pada tahun 2020. Johor merupakan pilihan tempat tinggal yang menarik bagi warga asing yang bekerja di Singapura. Walaubagaimanapun, penutupan sempadan Johor-Singapura disebabkan wabak COVID-19 yang melanda telah membantutkan niat pembelian mereka.

Walaupun pasaran hartanah kediaman di JB kekal perlahan pada tahun 2020, diharapkan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura yang dijangkakan siap pada tahun 2024 mampu memberi pelbagai impak perubahan dan limpahan ekonomi terutamanya di Iskandar Malaysia.

Berdasarkan laporan separuh tahun pertama 2020 Portal Demand Analytics oleh iProperty.com.my, rumah teres merupakan satunya satunya yang kekal stabil dari segi median harga. Bagi separuh tahun pertama ini, segmen rumah teres merekodkan perolehan modal sebanyak +4.97% dan harga median bagi sebuah rumah teres ialah RM360,000.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami:

Mengenai REA Group & iProperty.com.my

REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang mengkhusus kepada hartanah. Disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.au, realcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan perniagaan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. REA Group juga memiliki pegangan saham besar dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.com, maakan.com dan housing.com di India.

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. Dengan lebih 3 juta lawatan setiap bulan, iProperty.com.my merupakan portal hartanah pendahulu pasaran yang menawarkan carian dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Untuk berita berkaitan REA Group dan iProperty.com.my, layari www.iproperty.com.my/newsroom dan ketahui permintaan dan trend hartanah kediaman, perkembangan teknologi dan produk serta banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.