Dua Gergasi Internet Indonesia, Gojek dan Tokopedia Ke Meja Rundingan

Beberapa portal berita ternama seperti Bloomberg dan Reuters baru sahaja melaporkan berita tergempar mengenai dua start-up teknologi terbesar di Indonesia iaitu Gojek dan Tokopedia. Perkembangan ini wajar diikuti kerana ia bakal menjadi peristiwa bersejarah sekiranya ia menjadi kenyataan.

Gabungan kedua-dua gergasi ini membawa nilai pasaran sebesar USD18 bilion berbanding Grab (USD 14.3 bilion), dan berpotensi untuk berkembang lebih besar sekiranya pihak pengurusan berjaya merealisasikan sinergi antara dua entiti tersebut.

Gojek merupakan raja penghantaran barang yang serupa dengan Grab di Malaysia, manakala Tokopedia merupakan syarikat e-dagang mirip Shopee dan Lazada. Gabungan kedua-duanya akan menjadikan mereka syarikat internet terbesar di rantau Asia Tenggara.

Dikatakan bahawa kedua-duanya telah bersedia untuk berunding, dengan matlamat untuk membawanya ke arah penyenaraian di bursa saham. Entiti tersebut juga dilaporkan berkemungkinan besar disenaraikan di Jakarta atau New York atau kedua-duanya sekaligus.

Daripada sudut sinergi, Gojek dan Tokopedia saling melengkapi dalam rangkaian logistik di mana Gojek menyediakan servis last-mile delivery dan Tokopedia menyediakan platform untuk third-party seller. Kejayaan yang lahir daripada gabungan ini juga bakal membuatkan pesaing lain mengundurkan diri akibat kekurangan modal untuk merebut kuasa pasaran, dan juga membuka pintu untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negara.

Ini bukanlah berita yang baru kerana mereka dikatakan telah memikirkan idea kerjasama tersebut sejak tahun 2018. Namun, baru-baru ini rundingan Gojek bersama Grab telah menemui jalan buntu, membuka ruang untuk rundingan baharu bersama Tokopedia.

Ketiga-tiga syarikat ini sedang bersaing sengit untuk mengembangkan operasi mereka melangkaui servis yang ada. Contohnya dalam perkhidmatan fintech, iaitu pembayaran, perbankan, insurans, dan pinjaman.

Selain daripada itu, Gojek dan Tokopedia telah berkembang pesat daripada pandemik COVID-19 yang melonjakkan permintaan penghantaran barang dan makanan, serta pertambahan transaksi bayaran secara elektronik.

Gojek dengan 190 juta muat turun aplikasinya, mempunyai koleksi data pengguna yang tidak ternilai. Data tersebut membolehkan mana-mana syarikat memperluaskan pemasaran dan melonjakkan jualan produk dengan mudah. Data tersebut juga boleh dianalisa untuk menyediakan perkhidmatan baru seperti perkhidmatan pinjaman.

Sebelum “perkahwinan” dua gergasi ini menjadi kenyataan, kedua-dua pihak pengurusan perlu berhati-hati kerana menjayakan perkahwinan dua syarikat besar adalah amat sukar. Ianya melibatkan integrasi pihak pengurusan, sumber manusia, sistem, dan yang paling penting, wawasan atau hala tuju syarikat.

Ini akan menjadi titik perhatian umum dan kedua-duanya perlu berusaha agar tidak banyak kesilapan yang dilakukan dalam proses integrasi tersebut.

Temasek Holdings, Sequoia Capital dan Google merupakan antara pelabur terkenal dalam kedua-dua entiti tersebut. Alibaba dan Softbank juga tidak melepaskan peluang untuk turut melabur di dalam Tokopedia manakala Warburg Pincus dan Tencent adalah pelabur di dalam Gojek.

Dikatakan juga bahawa pengasas dan beberapa pegawai atasan dalam Gojek dan Tokopedia adalah teman rapat dan berhasrat untuk mencapai kata sepakat dalam separuh pertama tahun 2021.

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Sumber Rujukan: Bloomberg, Reuters, Nikkei Asia, The Edge, Channel News Asia

Sebelum Gojek dan Tokopedia jadi nak IPO tahun ini, apa kata kita belajar dulu pelaburan saham di peringkat global.

Sedap buat duit dalam USD. Saham-saham gergasi dunia seperti Microsoft, Google, Twitter dan Zoom semua ada di Wall Street.

Kejap, tahu tak berapa pulangan saham ini pada 2020?

Zoom – 390.86%
AMD – 86.78%
Twitter – 67.65%
Microsoft – 38.48%
Google (Alphabet) – 28.05%

Dan yang bestnya, minimum unit untuk memiliki saham ini semua hanya satuuuuu unit je.

Teringin nak explore pasaran saham Wall Street? Terlepas sesi Wall Street yang pertama tahun lepas?

Pendaftaran SAHAM WALL STREET 2.0 kini dibuka..!!!

Ini adalah kelas intensif.

Bila tu?

Tarikh: 6-7 Februari 2021 (Sabtu-Ahad)
Masa: 9 pagi – 5 petang
Belajar secara Live melalui aplikasi ZOOM

Menampilkan Tuan Mukhriz Mangsor (ACSI, CFTe, MSTA) sebagai coach utama.

ILMU MAHAL YANG BAKAL ANDA BELAJAR DARI WEBINAR SAHAM WALL STREET

1. LEARN A WINNING SYSTEM

• Cara mula dengan modal kecil dan cara untuk gandakannya – “roll profits”

2. PROVEN FUNDAMENTAL

3. READ CHART LIKE A PRO

4. PLATFORM

• Cara guna Platform global untuk melabur dan berdagang di pasaran saham US

5. SCREENER

6. PORTFOLIO MANAGEMENT

7. SENTIMEN

8. SAHAM KAJIAN

9. SAHAM-SAHAM WATCHLIST

Alhamdulillah, antara feedback yang kami dapat dari webinar yang lalu…

“Pengajaran Tuan Mukhriz straight to the point. Strategi & trading mekanikal boleh difahami dan dipraktiskan.”

“Dapat lebih info dari pengalaman seorang pelabur sebenar bagi saham USA..”

“Silibus tersusun, cara pemilihan saham dan market structure..”

Speaker dah power, modul pun power.

InshaAllah kita jadikan 2021 tahun untuk kita tambah skill baru agar dapat memberi kesenangan kepada keluarga.

Seperti biasa ada harga istimewa menanti kepada early bird, cepat klik:

➡️ https://thekapital.my/wallstreet

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Di Sebalik Status Patuh Syariah: Bagaimana SC Menilai Sesebuah Syarikat?

Bagi pelabur Muslim di Malaysia, memilih saham patuh Syariah bukan sekadar memenuhi keperluan pelaburan, tetapi juga memastikan setiap keputusan pelaburan selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Hari ini, lebih 70% daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana sesuatu syarikat boleh mendapat status tersebut? Adakah ia hanya bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan atau terdapat proses penilaian yang lebih menyeluruh?

Hakikatnya, status patuh Syariah tidak diberikan secara automatik. Setiap syarikat yang tersenarai akan melalui proses saringan yang sistematik oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggunakan metodologi yang telah ditetapkan. Semakan ini bukan sahaja menilai aktiviti perniagaan syarikat, malah turut melihat kedudukan kewangan dan beberapa aspek kualitatif yang lain.

Dalam artikel ini, kita akan memahami bagaimana proses saringan tersebut dijalankan dan mengapa ia penting kepada setiap pelabur.

Siapa Yang Menentukan Status Patuh Syariah?

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menentukan status patuh Syariah bagi syarikat yang tersenarai ialah Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

MPS terdiri daripada pakar dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan pasaran modal yang bertanggungjawab memastikan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai patuh Syariah memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Senarai sekuriti patuh Syariah akan dikemas kini dua kali setahun, lazimnya pada bulan Mei dan November, berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat. Ini bermakna status sesebuah saham boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Mengapa Perlu Ada Proses Saringan?

Tidak semua syarikat menjalankan aktiviti yang sepenuhnya patuh Syariah. Sebagai contoh, terdapat syarikat yang:

  • memperoleh sebahagian kecil pendapatan daripada faedah konvensional,
  • menyewakan premis kepada perniagaan yang tidak patuh Syariah,
  • atau mempunyai hutang berasaskan faedah.

Jika tiada proses saringan, pelabur akan sukar menentukan sama ada sesuatu saham benar-benar sesuai untuk dilaburkan.

Oleh itu, MPS menggunakan metodologi yang mengambil kira bukan sahaja aktiviti utama syarikat, tetapi juga sumbangan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh Syariah dan struktur kewangan syarikat.

Secara umum, metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibahagikan kepada tiga komponen utama:

  1. Penilaian aktiviti perniagaan.
  2. Penilaian nisbah kewangan.
  3. Penilaian kualitatif.

Ketiga-tiga komponen ini saling melengkapi bagi memastikan syarikat benar-benar memenuhi prinsip Syariah.

1. Penilaian Aktiviti Perniagaan

Langkah pertama ialah melihat sumber pendapatan syarikat. Jika aktiviti utama syarikat jelas bercanggah dengan Syariah, syarikat tersebut tidak akan diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.

Antara aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk:

  • perbankan konvensional,
  • insurans konvensional,
  • perjudian,
  • arak dan aktiviti berkaitan,
  • produk berasaskan khinzir,
  • makanan dan minuman yang tidak halal,
  • hiburan yang bercanggah dengan Syariah,
  • tembakau dan rokok,
  • serta aktiviti lain yang diputuskan tidak mematuhi prinsip Syariah oleh MPS.

Walau bagaimanapun, terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang patuh Syariah tetapi mempunyai sedikit pendapatan daripada aktiviti sampingan yang tidak patuh. Dalam keadaan ini, MPS akan menggunakan penanda aras tertentu bagi menentukan sama ada sumbangan tersebut masih berada dalam had yang dibenarkan.

Penanda Aras 5%

Aktiviti yang dianggap jelas bercanggah dengan Syariah tertakluk kepada penanda aras 5%. Ini bermaksud sumbangan pendapatan daripada aktiviti tersebut mestilah kurang daripada 5% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

Sebagai contoh:

Sebuah syarikat memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM500 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta datang daripada faedah bank konvensional.

Pengiraannya ialah:

RM10 juta ÷ RM500 juta × 100%

= 2%

Oleh kerana jumlah tersebut berada di bawah penanda aras 5%, syarikat masih boleh dipertimbangkan sebagai patuh Syariah, tertakluk kepada syarat-syarat lain.

2. Penilaian Nisbah Kewangan

Selain melihat aktiviti perniagaan, MPS turut menilai struktur kewangan syarikat. Tujuannya ialah memastikan syarikat tidak terlalu bergantung kepada unsur riba dalam operasi kewangannya.

Dua nisbah utama yang dinilai ialah:

a) Tunai Konvensional Berbanding Jumlah Aset

Pengiraan ini hanya mengambil kira tunai yang disimpan dalam akaun atau instrumen konvensional. Tunai yang ditempatkan dalam instrumen Islam tidak diambil kira. Nisbah ini mestilah kurang daripada 33%.

b) Hutang Berfaedah Berbanding Jumlah Aset

Nisbah kedua melihat jumlah hutang yang dikenakan faedah berbanding keseluruhan aset syarikat. Pembiayaan Islam dan sukuk tidak termasuk dalam pengiraan ini. Sekiranya hutang berfaedah melebihi had yang ditetapkan, syarikat mungkin gagal memenuhi syarat patuh Syariah. Penanda aras yang digunakan juga ialah kurang daripada 33%.

3. Penilaian Kualitatif

Walaupun sesebuah syarikat memenuhi syarat dari segi angka, MPS turut menilai aspek kualitatif.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah:

  • imej syarikat,
  • persepsi umum terhadap aktiviti syarikat,
  • sama ada operasi syarikat bercanggah dengan nilai dan prinsip Islam,
  • serta unsur yang boleh menimbulkan keraguan kepada pelabur Muslim.

Ini menunjukkan bahawa penilaian patuh Syariah bukan sekadar bergantung kepada formula matematik, tetapi turut mengambil kira maqasid dan semangat Syariah.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua syarikat.

Syarikat A menghasilkan makanan halal dan memperoleh hampir keseluruhan pendapatan daripada jualan produknya. Namun, sebahagian kecil wang tunainya disimpan dalam akaun konvensional dan jumlahnya masih berada di bawah had yang ditetapkan.

Syarikat B pula menjalankan perniagaan utama yang sama, tetapi sebahagian besar pendapatannya datang daripada aktiviti yang tidak patuh Syariah.

Walaupun kedua-duanya menjual produk yang hampir sama, keputusan saringan mungkin berbeza kerana sumber pendapatan dan struktur kewangan mereka tidak serupa.

Inilah sebabnya pelabur tidak boleh menilai status patuh Syariah hanya berdasarkan nama atau jenis perniagaan sesebuah syarikat.

Mengapa Status Patuh Syariah Boleh Berubah?

Ada pelabur yang terkejut apabila mendapati saham yang dibeli sebelum ini tidak lagi berada dalam senarai patuh Syariah.

Perkara ini boleh berlaku kerana:

  • perubahan model perniagaan,
  • peningkatan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh,
  • perubahan struktur hutang,
  • atau perubahan kedudukan kewangan syarikat.

Oleh sebab itu, pelabur disarankan menyemak senarai terkini yang diterbitkan oleh SC setiap kali kemas kini diumumkan.

Adakah Saham Patuh Syariah Menjamin Keuntungan?

Jawapannya ialah tidak. Status patuh Syariah hanya menunjukkan bahawa syarikat memenuhi garis panduan Syariah yang ditetapkan oleh MPS.

Ia bukan petunjuk bahawa harga saham akan meningkat atau syarikat pasti mencatat keuntungan. Sebelum membuat keputusan pelaburan, pelabur masih perlu melakukan analisis fundamental, analisis teknikal (jika berkaitan) serta menilai prospek industri dan tahap risiko syarikat. Patuh Syariah dan prestasi pelaburan ialah dua perkara yang berbeza.

Bagaimana Pelabur Menyemak Status Patuh Syariah?

Pelabur boleh menyemak status sesuatu saham melalui senarai rasmi yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Senarai ini dikemas kini dua kali setahun dan menjadi rujukan utama kepada pelabur individu, pengurus dana Islam, syarikat broker Islam serta institusi kewangan Islam.

Kesimpulan

Metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibangunkan bagi memastikan pelabur Muslim mempunyai panduan yang jelas dalam memilih sekuriti yang mematuhi prinsip Syariah. Proses ini bukan sahaja menilai jenis aktiviti perniagaan syarikat, malah turut mengambil kira struktur kewangan dan aspek kualitatif bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh.

Sebagai pelabur, memahami bagaimana sesuatu saham diklasifikasikan sebagai patuh Syariah akan membantu anda membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin dan berinformasi. Pada masa yang sama, jangan menganggap status patuh Syariah sebagai satu-satunya faktor dalam memilih saham. Analisis terhadap prestasi kewangan, prospek syarikat, pengurusan dan risiko pelaburan tetap perlu dilakukan.

Akhir sekali, sentiasalah menyemak senarai terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana status patuh Syariah boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat. Dengan gabungan ilmu Syariah dan ilmu pelaburan, anda bukan sahaja berpeluang membina kekayaan, malah dapat melabur dengan lebih tenang dan bertanggungjawab.