Zakat Pengeluaran i-Lestari

Tahun 2020 merupakan tahun yang penuh dengan perbincangan kewangan. Isu moratorium, Bantuan Prihatin Nasional, Belanjawan 2021, dan yang menjadi isu polemic adalah tentang pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP).

April tahun lalu, KWSP memperkenal skim i-Lestari yang memberi kemudahan kepada pencarum mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan dengan jumlah RM6,000. Anggaran kerajaan skim ini akan memanfaatkan hamper 4.7 juta pencarum dengan nilai RM11.6 bilion.

Walaupun i-Lestari bertujuan membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19, tidak kurang ramai yang mengambil kesempatan membincangkan pengeluaran i-Lestari bagi tujuan-tujuan lain seperti memperbaiki aliran tunai semasa dan membuat pelaburan.

Di sini timbul satu persoalan berhubung status Zakat pengeluaran i-Lestari. Melihat keputusan Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) KWSP, zakat hanya dikenakan ke atas simpanan yang layak dikeluarkan dan digunakan tanpa sekatan pada kadar 2.5% tertakluk kepada Nisab (kadar minimum bersamaan 85 gram emas) yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat negeri masing-masing.

Antara jenis pengeluaran yang tertakluk pada zakat adalah pengeluaran ketika umur 50, 55, atau 60, pengeluaran ketika meninggalkan negara, pengeluaran pekerja pencen atau pesara pilihan, dan pengeluaran melebihi RM1 juta.

Manakala pengeluaran yang tidak tertakluk pada zakat adalah seperti berikut:

  • Pengeluaran bagi memenuhi keperluan asas (hajah asliyyah) seperti pengeluaran berkaitan pemilikan kediaman (iaitu pengeluaran membeli/membina rumah, pengeluaran mengurangkan/ menyelesaikan baki pinjaman perumahan dan pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan), pendidikan, kesihatan dan hilang upaya.
  • Pengeluaran haji yang bertujuan untuk menampung perbelanjaan asas mengerjakan ibadah Haji bagi ahli beragama Islam.
  • Pelaburan di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA) yang masih di bawah kawalan KWSP iaitu ahli yang belum mencapai umur 55 tahun atau belum mengeluarkan semua simpanan ahli.

JKPS juga membuat ketetapan bahawa bagi yang menggunakan pengeluaran bagi membayar hutang, zakat hanya dikenakan ke atas baki pengeluaran setelah ditolak bayaran hutang sekiranya mencapai Nisab.

Maka bagaimana pula dengan pengeluaran i-Lestari?

Berdasarkan Soalan Lazim i-Lestari (boleh rujuk: https://www.kwsp.gov.my/ms/faq-i-lestari) yang dikeluarkan oleh pihak KWSP, pihak JKPS telah menetapkan bahawa pengeluaran i-Lestari bagi tujuan menampung Hajah Asliyah tidak dikenakan zakat. Apa itu Hajah Asliyah?

Hajah Asliyah adalah keperluan asas seperti makanan  pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Bagi pengeluaran untuk tujuan-tujuan ini adalah dikecualikan zakat. Ia konsisten dengan keputusan umum JKPS berhubung zakat ke atas simpanan KWSP.

Namun bagi pengeluaran bukan disebabkan Hajah Asliyah contohnya mengambil peluang pengeluaran bagi membuat pelaburan, maka zakat dikenakan pada kadar 2.5% sekiranya mencapai Nisab dan tidak tertakluk kepada Haul (tempoh setahun).

Nilai pengeluaran itu boleh dimasukkan sebagai pendapatan lain dalam kalkulator zakat untuk dikira sebagai zakat bulanan atau tahunan berdasarkan cara kiraan masing-masing.

Sumber: Kalkulator Zakat Pendapatan

Setakat artikel ini ditulis, pihak KWSP belum mengeluarkan Soalan Lazim perihal zakat. Semoga kita mengambil berat perihal zakat ke atas harta kita agar harta kita diberkati dan terus berkembang selain memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan kita.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.